Pages

Friday, January 4, 2013

Lemak beri tenaga ketika sakit



GEMUK sedikit tidak mengapa tetapi jika berlebihan, ia akan bawa masalah. – Gambar hiasan


WASHINGTON – Berat badan berlebihan beberapa kilogram bukan sesuatu yang buruk, demikian menurut satu analisis baharu melibatkan hampir tiga juta orang. Analisis tersebut yang dibuat di Amerika Syarikat (AS) mendapati mereka yang memiliki berat badan berlebihan atau sedikit obes berkecenderungan hidup lebih lama. Namun, pakar-pakar kesihatan memberi amaran manfaat tersebut akan hilang sekiranya berat berlebihan beberapa kilogram itu bertambah dengan banyaknya.
Para penyelidik kajian berkenaan menggunakan data daripada hampir 100 kajian di seluruh dunia merangkumi maklumat kesihatan melibatkan lebih 2.8 juta orang dewasa. Antara sampel populasi tersebut, terdapat sekitar 270,000 kematian sepanjang tempoh kajian dijalankan. Selepas beberapa faktor lain seperti usia, jantina, tabiat merokok telah dikawal, kumpulan dengan ketinggian dan berat badan ‘berlebihan’ didapati kurang berisiko untuk mati sebanyak enam peratus berbanding mereka yang memiliki berat badan normal.
Kajian sama turut mendapati mereka yang ‘sedikit obes’ dengan ketinggian dan berat merangkumi indeks jisim badan (BMI) antara 30 hingga 35 didapati lima peratus kurang berisiko meninggal dunia sepanjang tempoh kajian. Namun, bagi mereka yang obes dengan BMI 35 dan ke atas, kadar kematian melonjak sebanyak 29 peratus berbanding subjek yang mempunyai berat badan normal. Penemuan terbaharu itu disiarkan Selasa lalu dalam jurnal saintifik, Journal of the American Medical Association (JAMA).
Pengarang-pengarang kajian itu memberikan beberapa sebab mengapa sedikit berat berlebihan baik untuk tubuh manakala berat ekstrem pula memudaratkan manusia. Mereka berkata, pertambahan lemak badan membekalkan manfaat metabolisme yang dapat melindungi jantung atau simpanan lemak berlebihan dapat membantu semasa ketiadaan selera makan ketika sakit. Ketua penyelidik berkenaan daripada Pusat AS Untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pernah menyiarkan satu kajian kontroversi pada 2005.
Kajian itu menunjukkan terdapat kaitan antara berat berlebihan dan jangka hayat lebih lama. Namun, kali ini, analisis kajian serupa dibuat berdasarkan sampel lebih besar yang diambil dari negara-negara berbeza di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Amerika Selatan. Dua saintis bioperubatan, Steven Heymsfield dan William Cefalu dalam satu editorial yang turut disiarkan Selasa lalu dalam jurnal JAMA mengulas, kajian terbaharu itu dan beberapa penyelidikan lain menunjukkan sejumlah kecil lemak berlebihan memberikan simpanan tenaga yang diperlukan badan manusia ketika sakit atau membantu dalam cara lain.
Kata mereka, faktor-faktor tersebut masih memerlukan kajian lanjut. “Penemuan ini menunjukkan tidak semua pesakit yang diklasifikasi mempunyai berat berlebihan atau obesiti tahap satu terutamanya mereka yang menghidap sakit kronik memerlukan rawatan pengurangan berat badan,” jelas mereka. Pengarah CDC, Thomas Friedan ketika mengulas penemuan tersebut berkata: “Kita perlu lebih belajar tentang obesiti termasuk kaedah terbaik untuk mengiranya”. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2GxUps2RV 
Hakcipta terpelihara 

No comments: