Pages

Thursday, January 3, 2013

Serangan udara sambut tahun baharu di Syria



sebahagian dari bangunan yang musnah akibat dibedil jet pejuang tentera Syria dalam beberapa siri serangan udara di Deraya berhampiran Damsyik pada 29 Disember 2012. - reuters
DAMSYIK 2 Jan. - Beberapa siri serangan udara menggegarkan Damsyik, ketika penduduk meraikan kedatangan tahun baharu semalam, menimbulkan keraguan terhadap usaha diplomatik bagi menghentikan konflik berlarutan di Syria sejak 21 bulan lalu.
Sementara itu, lapangan terbang Aleppo di utara Syria terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan serangan berulang pemberontak.
Siri serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas aktivis melaporkan penemuan berpuluh-puluh mayat penduduk kelmarin, menjadi bukti konflik meruncing di Syria, ketika kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad mengalu-alukan sebarang inisiatif rundingan bagi menamatkan konflik itu.
Tentera Syria meningkatkan serangan jet pejuang dengan mengebom timur laut dan barat daya, pinggir bandar Damsyik serta kubu kuat pemberontak berdekatan laluan utama ke lapangan terbang Damsyik.
Aktivis, Abu Kinan berkata, tiga serangan udara oleh pesawat MiG menyasarkan Daraya sejak pagi semalam dan serangan masih berterusan.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, beberapa pertempuran besar pula berlaku berdekatan bandar Bait Saham dan Aqraba sepanjang jalan ke lapangan terbang dan tembakan itu menyebabkan tiga orang awam terbunuh berdekatan Ziabiyeh.
Pertempuran merebak sehingga luar Damsyik sejak beberapa minggu kebelakangan ini, di lokasi pemberontak mewujudkan pangkalan mereka.
Di utara Syria, yang kebanyakan dikawal pemberontak, pihak berkuasa mengumumkan penutupan sementara lapangan terbang antarabangsa Aleppo, selepas beberapa siri serangan pemberontak beberapa hari kebelakangan ini.
"Terdapat cubaan berterusan oleh militan pembangkang yang menyasarkan lapangan terbang awam hingga berpotensi mencederakan orang awam," kata pegawai lapangan terbang.
Namun katanya, penutupan itu hanya untuk tempoh yang pendek ketika tentera berusaha menawan kembali beberapa kawasan yang ditawan pemberontak di sekitarnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130103/lu_04/Serangan-udara-sambut-tahun-baharu-di-Syria#ixzz2GvCOpCXG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: