Pages

Thursday, November 15, 2012

Telan 220 butir berlian

BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
JOHANNESBURG: Seorang penyeludup menelan 220 butir berlian bernilai RM7 juta sebelum cuba menaiki sebuah pesawat, semalam.
Penyeludup warga Lubnan yang namanya tidak didedahkan dan berusia 25 tahun, ditahan ketika menaiki sebuah pesawat yang hendak berlepas dari Johannesburg ke Dubai.

Pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo memberinya makan julap untuk memaksa berlian berkenaan keluar dari sistem penghadamannya.
Polis mengesahkan menahan suspek di pintu masuk selepas menerima maklumat.

“Lelaki itu sudah bersiap sedia untuk menaiki kapal terbang dengan berlian di dalam perutnya.

“Pegawai kami menerima maklumat mengenai kegiatannya dan menahannya di lapangan terbang. “Dia kemudian dibawa untuk pemeriksaan dan kami menemui 220 berlian di dalam perutnya yang bernilai 20 juta rand (RM7 juta),” kata jurucakap polis, Paul Ramaloko.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan menelan berlian itu sebelum tiba di lapangan terbang atau menelannya kerana cemas selepas nampak polis di pintu masuk ke pesawat.

“Tidak wajar bagi kami untuk meramalkan mengenai apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Lelaki itu diperiksa secara menyeluruh sebelum berlian itu ditemui.

“Kami tidak pasti sama ada dia menelannya sebelum tiba di lapangan terbang atau ,ketika ditahan,” kata Ramaloko.

Suspek ditahan oleh pasukan unit elit polis Afrika Selatan, ‘Hawks,’ dan dijadual dihadapkan ke mahkamah esok.

Menurut Ramaloko, penahanan semalam adalah yang kedua selepas seorang lagi lelaki Lubnan berusia 27 tahun ditangkap di lapangan terbang sama Mac lalu. - DM

Israel sedia guling Mahmud Abbas


pix_gal0Baitulmaqdis: Kementerian Luar Israel mengemukakan kertas dasar menyarankan penggulingan Presiden Mahmud Abbas (gambar) jika usaha Palestin mendapatkan status negara pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan lewat bulan ini.

Menumbangkan rejim Abu Mazen (Abbas) adalah satu-satunya pilihan dalam kes ini. Pilihan lain bermakna mengibarkan bendera putih dan mengaku kegagalan kepemimpinan Israel untuk berdepan dengan cabaran, menurut kertas yang diperoleh AFP itu.
Kertas itu adalah draf dokumen yang diluluskan oleh Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, sebelum diserahkan kepada pegawai Israel yang bertanggungjawab merangka tindak balas kepada usaha Palestin itu.


Lieberman dilaporkan sudah pun meluahkan pandangannya bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) perlu dihapuskan jika usaha di PBB itu berjaya.

Palestin dijadual membentangkan usaha mendapatkan status negara pemerhati di Perhimpunan Agung pada 29 November ini, yang menyaksikan mereka dijangka mendapat sokongan mudah, di sebalik tentangan Amerika Syarikat dan Israel.

Kertas kementerian itu memberi amaran Israel mesti menghukum Abu Mazen jika Palestin diberi status negara di PBB.

Stesen televisyen Israel, Channel 10, melaporkan awal bulan ini Lieberman menyokong penghapusan PA, dalam komen kepada ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton.
Jika Palestin meneruskan projek mereka di PBB, mereka memang memusnahkan peluang rundingan damai. Jika mereka terus dengan projek ini, saya akan memastikan PA runtuh, stesen itu memetik Lieberman sebagai berkata pada 24 Oktober lalu.

Seorang pegawai kanan Israel memberitahu AFP semalam rejim itu turut mempertimbangkan membatalkan separuh atau semua Perjanjian Oslo 1993 sebagai reaksi kepada tindakan Palestin itu.

Dakwaannya ialah rayuan Palestin kepada PBB melanggar Perjanjian Oslo yang membatalkan perjanjian berkenaan.

Perjanjian Oslo menyatakan setiap perbalahan akan diselesaikan menerusi rundingan secara langsung, katanya.
AFP

Berita Harian | Gempa bumi 6.1 magnitud gegar Chile


SANTIAGO: Gempa bumi kuat berukuran 6.1 magnitud menggegarkan bahagian tengah dan utara Chile pagi tadi tetapi tiada laporan kerosakan atau kecederaan, kata Pejabat Kecemasan Kebangsaan negara itu.

Gempa bumi dengan pusat gempa berdekatan bandar La Higuera kira-kira 500 kilometer utara ibu negara Chile.
Kajian Geologi Amerika Syarikta (USGS) di Washington berkata, gempa itu berukuran 6.1 pada skala magnitud.

Pada Februari 2010, gempa bumi kuat melanda wilayah tengah Maule dan selatan Valparaiso sehingga menyebabkan ombak tsunami dan mengorbankan lebih 500 orang serta kerosakan harta benda berbilion dolar. - AFP

Doktor hanya caj pesakit AS$5 di AS




DOHNER (kanan) berbual dengan seorang pesakit di kliniknya di Rushville pada 20 Oktober lalu.



RUSHVILLE, Illinois - Seorang doktor perubatan mengenakan bayaran sebanyak AS$5 (RM15.20) untuk setiap pesakit yang mahu memeriksa kesihatan mereka di kliniknya di sini.
Dr. Russell Dohner yang berusia 87 tahun itu sebelum ini mengenakan bayaran hanya AS$2 (RM6.12) di kliniknya pada tahun 1955.
"Saya hanya mahu menjadi seorang doktor yang membantu orang ramai yang menghadapi masalah kesihatan," katanya.
"Saya tidak pernah berhasrat untuk memperoleh banyak wang," tambahnya.
Setiausaha doktor itu, Edith Moore mengutip bayaran pendaftaran itu.
Dohner memberitahunya supaya tidak mengambil bayaran tersebut terhadap beberapa pesakit.
Bagaimanapun, beberapa pesakit membuat bantahan kerana doktor tersebut enggan menerima sebarang bayaran.
"Saya akan membayar anda AS$20 (RM61.25) pada masa depan," kata salah seorang pesakit. - Agensi

Gerhana matahari penuh di utara Australia



BENTUK cincin berikutan gerhana matahari yang dapat dilihat di Palm Cove.



PALM COVE, Australia - Puluhan ribu orang berhimpun di utara Australia untuk memerhatikan fenomena gerhana matahari penuh semalam.
Mereka menyaksikan bulan melintasi matahari sekali gus menyebabkan suasana gelap berlaku di sekitar wilayah Queensland.
Bulan perlahan-lahan bergerak melindungi matahari yang menyebabkan terbentuknya fenomena lingkaran cincin.
Perjalanan gerhana matahari itu berlaku pada waktu yang singkat selepas waktu subuh.
Gerhana itu juga boleh disaksikan di Taman Negara Garig Gunak Barlu, Wilayah Utara yang terletak kira-kira 250 kilometer di timur Darwin.
Secara keseluruhan gerhana itu berlaku selama dua minit bermula pukul 6.38 pagi waktu tempatan semalam.
Kebanyakan mereka yang menyaksikan gerhana itu memakai cermin mata khas bagi melindungi mata mereka.
"Wow, serangga dan burung tidak berbunyi," kata seorang pelancong yang menyaksikan gerhana itu, Geoff Scott di laman Twitter.
Seorang lagi pelancong, Stuart Clark turut membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan gerhana itu amat cantik.
Para saintis kini mengkaji kesan gerhana itu terhadap kehidupan marin di Terumbu Karang Besar dan burung-burung di hutan Queensland.
Sejumlah pelancong dan saintis menyaksikan fenomena tersebut yang berlaku buat kali pertama dalam tempoh 1,300 tahun di utara negara ini.
Seramai 50,000 hingga 60,000 orang sanggup datang ke utara negara ini untuk menyaksikan fenomena itu.
Sebanyak tiga penerbangan ditempah khas bagi membawa 1,200 saintis dari Jepun ke wilayah tersebut.
Kali terakhir gerhana penuh itu berlaku ialah 11 Julai 2010 di kawasan Pasifik Selatan.
Gerhana penuh akan berlaku pada 20 Mac 2015 di Iceland, Kepulauan Faroe dan Kepulauan Svalbard di Norway.
Bagi kalangan penduduk asli Australia, bulan itu kerap dianggap sebagai lelaki manakala matahari mewakili perempuan.
"Sebahagian (penduduk asli Australia) percaya, matahari bercinta dengan lelaki tetapi ia (matahari) tidak dapat membalas perasaan cinta menyebabkan matahari mengejar bulan di langit," kata seorang pakar astronomi penduduk asli Australia, Duane Hamacher. - Agensi

Tak boleh henti ketawa


KANAK-KANAK itu bermain bersama abangnya Alex.
KANAK-KANAK itu bermain bersama abangnya Alex.
GALE bersama Elliot.
GALE bersama Elliot.
PRESTON: Seorang kanak-kanak menghidap masalah neurologi yang jarang berlaku, yang membuatnya tidak berhenti ketawa.
Elliot Eland dari Preston, Lancashire, dilahirkan dengan menghidap sindrom Angelman, kecelaruan kromosom yang menyebabkan kesukaran belajar dan sentiasa tersenyum.
Penghidap sindrom itu menunjukkan perilaku riang, selalu tersenyum atau ketawa dan kelihatan begitu mudah gembira.

Sindrom itu begitu jarang dihidapi hinggakan kurang daripada 1,000 kes dilapor di Britain.

Ibu Elliot, Gale berkata: “Apabila kami bersedih, ketawa Elliot akan membantu kami melupakan masalah yang dihadapi. Anda hanya perlu melihatnya dan ketawanya akan membuat kami gembira semula.

“Sekiranya anda mempunyai anak, anda pasti mahu mereka gembira. Elliot sentiasa gembira.”

Menurutnya, satu-satunya masalah ialah apabila Elliot bermain dengan abangnya, Alex.

“Apabila Alex secara tidak sengaja disakiti Elliot, dia akan menangis. Tetapi Elliot akan terus ketawa. Ia merisaukan kerana kami tidak mahu Alex menyangka Elliot gembira apabila dapat menyakitinya,” kata Gale.

Gale, 41, dan suami, Craig, 34, hanya menyedari keadaan sebenar Elliot apabila dia berdepan dengan masalah makan ketika bayi.

“Saya tidak menyangka Elliot berdepan dengan masalah lebih besar. Saya mulanya menyangka dia menghadapi masalah makan,” kata Gale.

Pada minggu keenam pemeriksaan kesihatan, doktor berkata, Elliot kelihatan terlalu kurus dan merujuknya ke Hospital Royal Preston serta diperiksa oleh pakar pediatrik yang serta-merta mengarah kanak-kanak itu dimasukkan ke wad.

Ketika di hospital, kanak-kanak itu menjalani pelbagai ujian darah, imbasan MRI dan sinar-X. Mujur pakar pediatrik itu pernah berdepan dengan pesakit Sindrom Angelman dan menjalankan ujian darah ke atas Elliot.

“Saya mula bimbang apabila diberitahu dia perlu menjalankan ujian genetik itu.

“Kami benar-benar terkejut apabila keputusan ujian menunjukkan positif dan dimaklumkan dia menghidap Angelman. Saya tidak pernah mendengar mengenai penyakit itu sebelum ini,” kata Gale.

Pakar perubatan menggalakkan pasangan suami isteri untuk menjalankan penyelidikan mengenai penyakit itu di Internet.

“Ketika dalam perjalanan pulang, suami saya mencari maklumat mengenai sindrom Angelman menerusi telefon bimbitnya.

“Dia mula membaca mengenainya dan akhirnya saya menangis hingga terpaksa memberihentikan kereta di tepi jalan.

“Sukar untuk kami menerimanya kerana tidak banyak yang kami tahu mengenai sindrom itu.

Ibu bapa Elliot juga berkata, mereka melihat senyumannya dari sudut yang menggembirakan.

“Kami sentiasa menganggap dia sentiasa gembira. Kami tidak pernah memikirkan ia adalah kesan daripada simptom yang lebih serius,” kata Gale. - DM

Wednesday, November 14, 2012

Pramugari Egypt Air mula pakai hijab

KAHERAH - Semua krew wanita pesawat Egypt Air memakai hijab buat kali pertama sejak syarikat penerbangan nasional itu diasaskan pada 1932.

Jurucakap Egypt Air berkata, etika pemakaian itu perlu dipatuhi selepas menerima saranan daripada ulama.

“Beliau sarankan pemakaian itu dan hukumnya wajib, terutama penerbangan ke Jeddah,” katanya.

Ketika pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, hijab dianggap janggal, terutama mereka yang bertugas di stesen televisyen dan syarikat penerbangan nasional.

Namun, selepas beliau diganti dengan Mohamed Mursi, wanita diberi kelonggaran mengenakan hijab. - AFP

Israel serang tempat simpanan senjata Palestin

RAMALLAH - Israel melancarkan serangan udara secara langsung ke atas kawasan penyimpanan senjata tentera Palestin, semalam.

Wakil tentera mendakwa serangan telah dilancarkan dengan 110 buah roket sejak Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, kami tidak akan bertolak ansur jika berlaku cubaan mencederakan orang awam Israel dan akan menyerang kembali sesiapa saja yang cuba melakukan keganasan terhadap negara Israel,” kata wakil Angakatan Tentera Israel.

“Organisasi pengganas Hamas yang patut bertanggungjawab terhadap segala aktiviti keganasan yang berpunca dari Semenanjung Gaza,” ujarnya.

Serangan mula berlaku sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata Israel akan meningkatkan tindak balas ketenteraan ke atas Gaza.

“Dunia mesti memahami yang Israel tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan untuk mencederakan kami. Kami juga sentiasa bersedia untuk bertindak balas,” kata Netanyahu, Ahad lalu.

Tentera Israel juga mula menyerang kumpulan pengganas di Gaza.

Menurut agensi media, 30 rakyat Palestin cedera dengan leboh 10 orang berada dalam keadaan kritikal akibat serangan itu.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhous memberi amaran terhadap Israel kerana keganasan semakin meningkat dan sasaran mereka kepada orang awam terhadap Israel  dan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu saja.

Tiga serangan udara dilancar di Gaza

Tiga serangan udara dilancar di Gaza
Beberapa penduduk mengusung jenazah saudara mereka yang terkorban dalam serangan udara terbaru di Gaza yang dilancarkan sejak Sabtu lalu. Foto: AFP
GENTING GAZA - Israel melancarkan tiga serangan udara terbaru di kawasan barat bandar Gaza, semalam, yang menyasarkan tempat simpanan senjata tentera Hamas, termasuk kem latihan Ezzedine al-Qassam.

Menurut pihak berkuasa, insiden itu berlaku sehari selepas tentera bersenjata Palestin suarakan hasrat mereka melaksanakan gencatan senjata jika rejim Zionis henti pencerobohan mereka.

Tawaran tersebut dibuat selepas tujuh penduduk Palestin termasuk empat orang awam terbunuh akibat serangan udara dilancarkan oleh Israel sejak Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan lain, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu beri amaran kononnya mereka ada hak dan kewajipan untuk melindungi penduduk Israel.

"Negara antarabangsa perlu memahami situasi ini kerana kami perlu bertindak menghentikan serangan roket dari Palestin," katanya pada lawatan di selatan Israel bersama diplomat asing. 

Sementara itu, jurucakap tentera Israel memaklumkan serangan balas itu dilancarkan selepas kumpulan militan Gaza menembak enam roket ke selatan negara itu. - AP

Pertandingan janggut di Las Vegas





LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Seorang peserta Austria, Fritz Sendlhofer memenangi pingat emas pada pertandingan janggut kategori Gerabaldi di sini pada Ahad lalu.
Dia turut memenangi Anugerah Pilihan Orang Ramai dan bonus sebanyak AS$1,000 (RM3,066).
Seorang peserta Jerman, Hans-Peter Weis memenangi pingat emas bagi kategori janggut gaya bebas. - Reuters

Tuesday, November 13, 2012

Serangan di sempadan Turki

Asap tebal memenuhi ruang udara di bandar Ras al-Ain dekat sempadan Turki selepas dibom tentera Syria dapat dilihat dari bandar Ceylanpinar, wilayah Sanliurfa di Turki, semalam. - REUTERS
CEYLANPINAR, Turki 12 Nov. - Sebuah pesawat perang Syria, hari ini mengebom kubu pemberontak di Ras al-Ain, yang terletak beberapa meter dari sempadan Turki, menyebabkan 16 orang maut dan sejumlah besar rakyat Syria melarikan diri ke negara jiran itu.
Helikopter bersenjata turut menyerang sasaran berdekatan bandar itu yang jatuh ke tangan pemberontak pada Khamis lalu.
Jet itu menyerang hanya beberapa meter dari pintu sempadan yang memisahkan Ras al-Ain dari kem pelarian Turki di Ceylanpinar, menyaksikan asap tebal menyelubungi kawasan tersebut.
Wartawan Reuters di Ceylanpinar melaporkan pesawat itu terbang di sekitar sempadan dan pada satu ketika memasuki ruang udara Turki.
Tidak dapat dipastikan sasaran bom tersebut, namun sejumlah penduduk awam melarikan diri dari kawasan itu dan memanjat pagar sempadan memasuki Turki.
Kira-kira 9,000 rakyat Syria tiba di Turki dalam tempoh 24 jam pada minggu lepas, meningkatkan jumlah pelarian Syria berdaftar kepada 120,000 orang, keadaan yang membimbangkan Ankara ekoran ketibaan musim sejuk. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121113/lu_01/Serangan-di-sempadan-Turki#ixzz2CB3rLu4h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artifak emas abad ketiga Sebelum Masihi ditemui




REUTERS
MAHKOTA emas yang ditemui di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari, Bulgaria pada Khamis lalu.


SOFIA - Sejumlah artifak emas pada abad ketiga Sebelum Masihi dipamerkan oleh pihak Muzium Arkeologi Bulgaria di sini kelmarin.
Antara artifak yang ditemui itu ialah patung emas berbentuk muka kuda, cincin, mahkota dan gelang emas.
Sekumpulan ahli arkeologi menemui artifak itu semasa melakukan kerja-kerja penggalian di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari di utara negara ini pada Khamis lalu.
Artifak tersebut milik suku kaum Thrace, Getae pada akhir abad keempat atau permulaan abad ketiga Sebelum Masihi.
Menurut ketua pasukan arkeologi itu, Diana Gergova, makam tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan pemerintah Getae, Cothelas.
Dia berkata, ia kemungkinan ditanam pada satu majlis pengebumian. - Agensi

Zionis sahkan serangan balas ke atas Syria



DUA buah kereta kebal tentera Israel mengawal
Bukit Golan dekat Kampung Bariqa, Syria semalam.
BAITULMUQADDIS - Tentera Israel semalam melancarkan serangan balas ke atas Syria sebagai respons terhadap serangan mortar di Bukit Golan, kata satu sumber tentera.
"Sebelum ini, serangan mortar mengenai sebuah kawasan di pekarangan pos tentera Israel di Bukit Golan yang disebabkan oleh konflik dalaman Syria," kata sumber tentera tersebut.
Menurutnya, askar-askar tentera Israel melancarkan bedilan meriam kereta kebal.
Sumber tersebut menyatakan bedilan tersebut dihalakan ke arah lokasi bedilan mortar tersebut dilancarkan.
Tentera Israel turut memberi amaran bahawa jika tentera Syria terus melancarkan serangan, pihaknya akan melancarkan serangan yang lebih besar.
"Bedilan dari Syria ke Israel tidak akan dikompromi," kata satu kenyataan daripada tentera Israel. - AFP

Israel ancam serangan besar-besaran di Gaza



BEBERAPA anggota polis memeriksa sebuah rumah yang mengalami kerosakan akibat serangan roket para pejuang Palestin di bandar Netivot, Israel semalam.



BAITULMUQADDIS - Beberapa pegawai Israel semalam mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza semalam.
Ancaman itu dibuat selepas 24 jam para pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.
Serangan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa negaranya bersedia untuk meningkatkan serangan balas.
Menteri Pertahanan, Ehud Barak menyatakan para pemimpin pergerakan Hamas akan menerima padah ekoran serangan roket itu.
Seorang pegawai kanan Israel mengesahkan bahawa Netanyahu mengadakan mesyuarat bagi melakukan persediaan untuk kemungkinan satu tindakan yang keras akan dilakukan untuk melindungi penduduk Israel.
Para pejuang Gaza melancarkan 110 roket ke selatan Israel sejak Sabtu lalu.
Salah satu serangan itu mengenai pekarangan sebuah rumah di bandar Netivot.
Tiada sebarang laporan tentang kecederaan dilaporkan ekoran serangan tersebut.
Sehari sebelum itu, jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan di tiga buah lokasi di Gaza.
Beberapa pegawai Israel turut menyatakan serangan balas yang lebih hebat perlu dilancarkan.
Bekas ketua tentera negara itu, Dan Halutz mencadangkan beberapa aset milik pergerakan Hamas perlu diserang sebelum operasi ketenteraan dilancarkan tentera Israel.
Menurut seorang bekas penasihat keselamatan Israel, Giora Eiland, import barangan dan bekalan elektrik ke Gaza perlu dipotong. - Agensi

Monday, November 12, 2012

Guatemala dilanda gempa bumi lagi, kali ini 6.2 magnitud

Berita Harian | Guatemala dilanda gempa bumi lagi, kali ini 6.2 magnitud: "GUATEMALA: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud menggegar pantai Pasifik di Guatemala pagi ini, cuma empat hari selepas gempa kuat mengorbankan berpuluh orang di negara Amerika Tengah itu.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu berpusat pada 180 kilometer barat daya Guatemala City berdekatan pantai negara berkenaan manakala kedalaman direkodkan ialah 29 kilometer.
Rabu lalu, gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menyebabkan 52 orang terkorban dalam kejadian gempa paling kuat dalam tempoh 36 tahun negara itu. - AP "

'via Blog this'

Gunung Lokon meletus, hambur abu setinggi 600 meter

myMetro | Gunung Lokon meletus, hambur abu setinggi 600 meter: "JAKARTA: Gunung Lokon di Sulawesi Utara meletus lagi dan menghamburkan abu setinggi 600 meter dari Kawah Tompaluan.

“Abu ditiup ke arah utara,” kata Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Sorono.
Katanya, buat masa ini belum ada sesiapa cedera akibat bencana itu.

Bunyi letupan yang berlaku pada jam 1.43 petang waktu tempatan boleh didengar hingga ke Gunung Mahawu yang terletak kira-kira enam kilometer dari Kawah Tompaluan.


Sementara itu, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Perhubungan Awam, Sutopo Purwo Nugroho berkata, aktiviti Gunung Lokon meningkat sejak pagi semalam.


Data visual mendapati Kawah Tompaluan mengeluarkan asap putih nipis setinggi 25 hingga 200 meter. - JP "

'via Blog this'

13 korban gempa bumi di Myanmar


SEBUAH jambatan masih dalam pembinaan merentasi Sungai Irrawaddy, runtuh akibat gempa bumi semalam.
SEBUAH jambatan masih dalam pembinaan merentasi Sungai Irrawaddy, runtuh akibat gempa bumi semalam.
SHWEBO: Satu gempa bumi kuat melanda Myanmar semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.
Gegaran itu yang mencetuskan panik di bandar raya Mandalay, turut mencederakan 40 orang.
Gempa 6.8 magnitud itu melanda kawasan pedalaman 116 kilometer ke utara Mandalay, disusuli dengan gegaran selepas gempa, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Empat pekerja terhumban ke dalam Sungai Irrawady di utara bandar berkenaan yang terletak berhampiran pusat gempa itu.

Mereka dikatakan antara mangsa yang terbunuh, lapor kumpulan sukarelawan Save The Children.

Sementara itu, sebuah kuil runtuh di Kampung Kyauk Myaung akibat gempa itu, meragut dua nyawa. Seorang lagi mati di Mandalay.

Di bandar Sint Ku, bencana itu menyebabkan enam penduduk mati, termasuk dua yang terkorban apabila sebuah lombong emas runtuh.

“Penduduk begitu bimbang mengenai kemungkinan berlaku satu lagi gempa,” kata kumpulan itu.

Sementara itu, penduduk di Mandalay meluru keluar dari bangunan yang bergoncang kuat ketika gempa berlaku.

Bagaimanapun, tidak ada kerosakan besar dilapor berlaku di bandar itu.

“Saya lari keluar dari rumah sambil mendukung anak. Semua penduduk berkumpul di jalan raya. Ada yang meraung sementara yang lain mengalami pening kepala,” kata seorang penduduk San Yu Kyaw.

USGS mengeluarkan amaran kuning dengan berkata, gempa itu mungkin menyebabkan kematian dan kerosakan berhampiran kawasan kejadian.

Gempa itu yang mulanya dikatakan berukuran 7.0 magnitud, melanda jam 7.42 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer.

Ia disusuli dengan dua gegaran selepas gempa berukuran 5.0 magnitud selang 20 minit.

Seorang pegawai Jabatan Bantuan dan Penempatan Semula berkata, kebanyakan yang cedera adalah pekerja binaan. - AFP

Jam tangan platinum RM12.6 juta



JAM tangan Patek Philippe milik penyanyi legenda Eric Clapton dipamerkan di firma lelongan Christie's di New York pada 12 Oktober lalu.


GENEVA - Seutas jam tangan milik penyanyi rock legenda, Eric Clapton dijangka dapat dijual pada harga £2.6 juta (RM12.6 juta) dalam satu lelongan di Switzerland.
Menurut akhbar MailOnline, jam kronograf jenama Patek Philippe yang diperbuat daripada logam platinum itu akan dilelong oleh firma Christie di sini hari ini.
Hanya terdapat dua jam tangan platinum Patek Philippe di dunia dengan seutas lagi jam tersebut kini berada di sebuah muzium.
Barangan itu adalah antara 310 jam eksklusif dengan harga keseluruhan mencecah £9.9 juta (RM48.1 juta) yang akan dilelong oleh firma berkenaan.
Berita berhubung jualan jam tersebut disiarkan selepas sebuah lukisan oleh Gerhard Richter milik Clapton dijual £21.3 juta dalam satu lelongan Sotheby's di London sekali gus lelongan termahal di dunia bagi seseorang pelukis yang masih hidup.
Clapton yang popular dengan lagu Wonderful Tonight membeli lukisan tersebut pada harga £2 juta (RM9.7 juta) dalam tahun 2001. - Agensi

Rumah kapsul popular di Wuhan




SEORANG pemuda mandi di dalam rumah kapsul yang disewanya di Wuhan, China.



WUHAN, China - Kadar sewa rumah yang terlampau tinggi mendorong ramai pekerja berkongsi tinggal di bilik-bilik kecil di dalam sebuah bangunan di sini, dalam wilayah Hubei, lapor akhbar New York Daily News.
Setiap bilik kecil itu yang digelar 'rumah kapsul', memiliki keluasan purata cuma 4.5 meter persegi.
Idea tersebut dicetuskan oleh pemilik hartanah tersebut yang membina 55 buah bilik kecil di dalam bangunannya.
Setiap bilik kecil tersebut berfungsi sebagai tempat tidur, ruang tamu, bilik mandi dan dapur sekali gus semua dalam satu.
Penghuninya pula terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya.
Walaupun kecil, ramai penyewa menganggap tinggal di rumah kapsul itu berbaloi memandangkan gaji mereka yang rendah berbanding sewa rumah yang amat mahal di sini. - Agensi

Gempa bumi kuat landa Myanmar



SEBUAH pagoda rosak teruk di bandar Kyauk Myaung selepas dilanda gempa bumi semalam.


YANGON, Myanmar - Sekitar 12 orang dikhuatiri terbunuh dan 16 yang lain cedera apabila satu gempa bumi kuat menggegarkan bahagian utara Myanmar semalam.
Gegaran yang berpusat dekat bandar Shwebo mengakibatkan sebuah jambatan dan sebuah lombong emas runtuh.
Bencana itu turut merosakkan beberapa struktur pagoda lama.
Namun, tiada kecederaan atau kemusnahan besar dilaporkan di bandar kedua terbesar di Myanmar, Mandalay yang terletak dekat Shwebo.
Mandalay terletak sekitar 117 kilometer ke selatan pusat gempa berkenaan.
Seorang pegawai Jabatan Meteorologi Myanmar berkata, gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 7.42 pagi waktu tempatan.
"Ini merupakan gempa bumi terburuk sepanjang hidup saya," kata seorang penduduk Shwebo berusia 52 tahun yang dikenali sebagai Soe Soe.
Menurutnya, tembok konkrit besar sebuah biara runtuh dan beberapa ukiran pada dinding pagoda lain di bandar itu turut rosak.
Kemusnahan turut dilaporkan di Mogok yang merupakan sebuah kawasan perlombongan permata utama di Myanmar.
"Tanah runtuh berlaku di sebahagian lombong batu delima tetapi tiada kecederaan berlaku ekoran kawsan tersebut menempatkan lombong lama," kata seorang penduduk Mogok, Sein Win.
Stesen televisyen Myanmar melaporkan, berpuluh-puluh pagoda di lima buah bandar rosak dalam bencana tersebut.
Bencana itu turut menyebabkan sebuah jambatan yang sedang dibina merentasi Sungai Irrawaddy runtuh.
Infrastruktur tersebut menghubungkan bandar Sintku yang terletak sekitar 65 kilometer ke utara Mandalay dengan bandar Kyaukmyaung.
Gegaran di Myanmar itu turut dirasai hingga ke Bangkok di Thailand. - Agensi