Pages

Thursday, November 15, 2012

Israel sedia guling Mahmud Abbas


pix_gal0Baitulmaqdis: Kementerian Luar Israel mengemukakan kertas dasar menyarankan penggulingan Presiden Mahmud Abbas (gambar) jika usaha Palestin mendapatkan status negara pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan lewat bulan ini.

Menumbangkan rejim Abu Mazen (Abbas) adalah satu-satunya pilihan dalam kes ini. Pilihan lain bermakna mengibarkan bendera putih dan mengaku kegagalan kepemimpinan Israel untuk berdepan dengan cabaran, menurut kertas yang diperoleh AFP itu.
Kertas itu adalah draf dokumen yang diluluskan oleh Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, sebelum diserahkan kepada pegawai Israel yang bertanggungjawab merangka tindak balas kepada usaha Palestin itu.


Lieberman dilaporkan sudah pun meluahkan pandangannya bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) perlu dihapuskan jika usaha di PBB itu berjaya.

Palestin dijadual membentangkan usaha mendapatkan status negara pemerhati di Perhimpunan Agung pada 29 November ini, yang menyaksikan mereka dijangka mendapat sokongan mudah, di sebalik tentangan Amerika Syarikat dan Israel.

Kertas kementerian itu memberi amaran Israel mesti menghukum Abu Mazen jika Palestin diberi status negara di PBB.

Stesen televisyen Israel, Channel 10, melaporkan awal bulan ini Lieberman menyokong penghapusan PA, dalam komen kepada ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton.
Jika Palestin meneruskan projek mereka di PBB, mereka memang memusnahkan peluang rundingan damai. Jika mereka terus dengan projek ini, saya akan memastikan PA runtuh, stesen itu memetik Lieberman sebagai berkata pada 24 Oktober lalu.

Seorang pegawai kanan Israel memberitahu AFP semalam rejim itu turut mempertimbangkan membatalkan separuh atau semua Perjanjian Oslo 1993 sebagai reaksi kepada tindakan Palestin itu.

Dakwaannya ialah rayuan Palestin kepada PBB melanggar Perjanjian Oslo yang membatalkan perjanjian berkenaan.

Perjanjian Oslo menyatakan setiap perbalahan akan diselesaikan menerusi rundingan secara langsung, katanya.
AFP

No comments: