Pages

Monday, November 12, 2012

13 korban gempa bumi di Myanmar


SEBUAH jambatan masih dalam pembinaan merentasi Sungai Irrawaddy, runtuh akibat gempa bumi semalam.
SEBUAH jambatan masih dalam pembinaan merentasi Sungai Irrawaddy, runtuh akibat gempa bumi semalam.
SHWEBO: Satu gempa bumi kuat melanda Myanmar semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.
Gegaran itu yang mencetuskan panik di bandar raya Mandalay, turut mencederakan 40 orang.
Gempa 6.8 magnitud itu melanda kawasan pedalaman 116 kilometer ke utara Mandalay, disusuli dengan gegaran selepas gempa, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Empat pekerja terhumban ke dalam Sungai Irrawady di utara bandar berkenaan yang terletak berhampiran pusat gempa itu.

Mereka dikatakan antara mangsa yang terbunuh, lapor kumpulan sukarelawan Save The Children.

Sementara itu, sebuah kuil runtuh di Kampung Kyauk Myaung akibat gempa itu, meragut dua nyawa. Seorang lagi mati di Mandalay.

Di bandar Sint Ku, bencana itu menyebabkan enam penduduk mati, termasuk dua yang terkorban apabila sebuah lombong emas runtuh.

“Penduduk begitu bimbang mengenai kemungkinan berlaku satu lagi gempa,” kata kumpulan itu.

Sementara itu, penduduk di Mandalay meluru keluar dari bangunan yang bergoncang kuat ketika gempa berlaku.

Bagaimanapun, tidak ada kerosakan besar dilapor berlaku di bandar itu.

“Saya lari keluar dari rumah sambil mendukung anak. Semua penduduk berkumpul di jalan raya. Ada yang meraung sementara yang lain mengalami pening kepala,” kata seorang penduduk San Yu Kyaw.

USGS mengeluarkan amaran kuning dengan berkata, gempa itu mungkin menyebabkan kematian dan kerosakan berhampiran kawasan kejadian.

Gempa itu yang mulanya dikatakan berukuran 7.0 magnitud, melanda jam 7.42 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer.

Ia disusuli dengan dua gegaran selepas gempa berukuran 5.0 magnitud selang 20 minit.

Seorang pegawai Jabatan Bantuan dan Penempatan Semula berkata, kebanyakan yang cedera adalah pekerja binaan. - AFP

No comments: