Pages

Tuesday, September 25, 2012

Miliki ingatan luar biasa

LONDON 24 Sept. - Seorang pemuda Britain mempunyai keunikan tersendiri, apabila mampu mengingati apa yang dilakukan, dimakan, dipakai serta segala butiran laporan berita dan keadaan cuaca pada sebarang tarikh sebelum ini.
Aurelien Hayman, 20, merupakan antara sebilangan kecil manusia yang mempunyai kelebihan dikenali sebagai hyperthymesia, keupayaan ingatan bersifat autobiografi yang tinggi.
Hanya 20 orang di dunia memiliki keunikan itu dan Hayman merupakan satu-satunya di Britain yang mempunyai kelebihan tersebut.
Dengan anugerah yang dimilikinya, pemuda itu boleh mengingati semua perkara yang dilakukannya pada mana-mana tarikh yang dipilih walaupun baju yang dipakai pada tarikh itu telah berlalu 10 tahun lepas.
Malah, pelajar jurusan kesusasteraan Universiti Durham itu juga boleh mengingati setiap butiran perbualan, rancangan televisyen yang ditonton serta lagu yang didengar sebelum ini.
“Saya tidak menyedari kelebihan ini sehingga saya berumur 14 tahun. Saya boleh mengingati semua perkara dengan jelas walaupun ia telah berlaku bertahun-tahun lalu," katanya.
Sebagai contoh, jika Hayman disuruh mengingati situasi pada 1 Oktober 2006, dia menjawab, cuaca pada hari itu mendung dan dia mendengar lagu When You Were Young oleh The Killers.
Katanya, pada hari tersebut, dia turut mengajak seorang gadis keluar, namun pelawaan itu ditolak.
“Saya memakai baju berwarna biru dan terserempak gadis yang menolak pelawaan saya di tengah bandar Cardiff pada hari yang sama," katanya.
Namun, Hayman berkata, anugerah yang diperolehinya itu tidak memberi kelebihan kepadanya dalam peperiksaan.
“Saya boleh mengingati banyak perkara secara umumnya, namun ia tidak membantu dalam pelajaran saya di universiti," jelasnya. - AGENSI

2,000 tentera Syria berpindah ke Jordan

AMMAN 25 Sept. - Lebih 2,000 tentera Syria berpaling tadah ke Jordan sejak konflik melanda negara itu pada tahun lalu, kata komander pengawal sempadan dalam satu kenyataan, hari ini.
“Bilangan pelarian Syria yang memasuki sempadan Jordan sehingga Rabu lalu melebihi 74,000 orang dan daripada jumlah itu 2,053 orang adalah tentera pelbagai pangkat,’’ kata Brigadier Jeneral, Hussein al-Ziyud.
Ziyud berkata, askar tersebut telah dibawa ke tempat khas dengan kawalan istimewa.
Katanya, kebanyakan mereka ditembak ketika cuba memasuki negara ini. - AFP

Iran beri amaran keras

Iran beri amaran keras
Hajizadeh (kiri) menyatakan Israel tidak akan menyerang Iran
melainkan ia mendapat sokongan Amerika Syarikat. - Foto EPA

TEHERAN - Iran, kelmarin dengan lantang memberi amaran keras untuk menyasarkan tiga pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) jika Israel melancarkan serangan ke atas negara itu.
Komander Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Jeneral Amir Ali Hajizadeh berkata, pangkalan terbesar tentera AS di Qatar, Bahrain dan Afghanistan adalah sasaran sah mereka kerana rejim Zionis tidak akan melancarkan serangan ke atas negara itu tanpa campur tangan Washington.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika perang tercetus. Iran tidak mahu memulakan apa-apa peperangan melainkan jika kami berasa terancam dengan musuh," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Jim Gregory menyifatkan amaran Iran tersebut kononnya sebagai retorik untuk meningkatkan lagi ketegangan yang tercetus.

Dalam perkembangan berkaitan, Britain, Perancis dan Jerman sebulat suara menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan lebih tegas ke atas Iran, berikutan keengganan negara itu untuk menghentikan program nuklear mereka.

Difahamkan butiran sekatan baru tersebut masih dalam rundingan dan ia akan dibincangkan semasa mesyuarat di Bruseels pada 15 Oktober depan.

Awal tahun lalu, EU  mengenakan embargo ke atas eksport minyak Iran dan beberapa sektor lain sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara itu pada masa ini. - AFP

Jualan iPhone cecah lima juta unit



GAMBAR menunjukkan iPhone 5.


NEW YORK - Gergasi elektronik Amerika Syarikat (AS), menyatakan semalam bahawa jualan iPhone 5 mencecah lima juta unit selepas telefon pintar terbaharu itu dilancarkan pada hujung minggu lalu.
Apple dalam satu kenyataan berkata, sebahagian pelanggan terpaksa menunggu untuk memiliki gajet terbaharu tersebut ekoran jumlah permintaan kini melebihi bekalan.
"Permintaan untuk iPhone 5 menakjubkan dan kami sedang berusaha keras untuk membekalkan iPhone 5 kepada setiap pelanggan kami," kata Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook.
Menurutnya, iPhone 5 mula dijual di AS, Australia dan beberapa negara lain pada Jumaat lalu.
Gajet pintar itu akan dijual di 22 buah negara pada Jumaat ini.
iPhone 5 dijual pada harga bermula daripada AS$199 (RM611) untuk model berkapasiti 16 gigabit (GB) hingga AS$399 (RM1,225) bagi versi 64GB di AS. - Agensi

Tiga penulis blog dipenjara



AFP
BEBERAPA anggota polis memeriksa pintu masuk ke mahkamah yang menjadi tempat tiga penulis blog dihukum penjara di Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam semalam.


BANDAR RAYA HO CHI MINH - Sebuah mahkamah di selatan Vietnam memenjarakan tiga penulis blog kerana kesalahan menyebarkan propaganda antipemerintah dalam satu perbicaraan singkat tetapi penuh dramatik.
Selepas perbicaraan selama beberapa jam, penulis blog berprofil tinggi, Nguyen Van Hai yang turut dikenali sebagai Dieu Cay dihukum penjara 12 tahun.
Seorang anggota polis wanita yang menjadi penulis blog, Ta Phong Tan pula dihukum penjara selama 10 tahun. dia menjerit semasa dibawa keluar dari mahkamah.
Ibu Tan meninggal dunia selepas membakar dirinya di hadapan sebuah bangunan pihak berkuasa tempatan pada Julai lalu bagi membantah dakwaan terhadap anak perempuannya itu.
"Jenayah mereka serius dan jelas berniat jahat terhadap negara," kata presiden mahkamah berkenaan di sini, Nguyen Phi Long.
Menurutnya, kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan membuat kenyataan penutup kerana mereka mencetuskan kekacauan di dalam mahkamah.
"Mereka mesti dikenakan hukuman yang berat," katanya.
Sementara itu, tertuduh ketiga, Phan Thanh Hai, 43, merupakan satu-satunya penulis blog yang mengaku bersalah dalam perbicaraan tersebut.
Dia dihukum penjara empat tahun selepas berjanji tidak akan mengulangi jenayah itu dan tidak akan berhubung lagi dengan pihak yang memusuhi negara.
Mereka didapati bersalah dalam kes berhubung beberapa artikel yang disiarkan dalam laman web Free Journalists Club dan beberapa artikel lain dalam web masing-masing.
Laman web itu diharamkan di Vietnam.
Ketiga-tiga penulis blog berkenaan mengecam rasuah dan ketidakadilan di negara berkenaan selain mengkritik dasar luar Hanoi.
Kesemua defendan perlu menjalani hukuman tahanan di dalam rumah antara tiga tahun hingga lima tahun selepas mereka selesai menjalani hukuman penjara.
- AFP

Monday, September 24, 2012

Lagi maut serangan pesawat pengintip di Pakistan

Lagi maut serangan pesawat pengintip di Pakistan
Saksi memberitahu, pesawat pengintip AS turut berlegar-legar
di kawasan sekitar selepas serangan.

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dipercayai diserang oleh pesawat pengintip Amerika Syarikat (AS) di wilayah sempadan tenggara Pakistan dan Afghanistan, semalam.

Menurut pegawai keselamatan Pakistan, serangan disasarkan ke arah kenderaan di kawasan Dattakhel, utara Waziristan iaitu satu daripada tujuh lokasi sarang kumpulan berkaitan Al-Qaeda.

Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selain kenderaan yang digunakan mereka hancur sama sekali.

"Identiti mereka masih belum dipastikan tetapi kawasan ini sememangnya diduduki oleh kumpulan militan di bawah pimpinan Gul Bahadur," kata pegawai keselamatan di Peshawar.

Sementara itu, seorang pegawai memberitahu kenderaan yang diletupkan itu sedang menuju ke sebuah perkampungan di barat Miranshah yang menempatkan ibu pejabat kumpulan pemberontak Waziristan utara.

Seorang saksi berkata, pesawat pengintip itu dilihat berlegar-legar di kawasan terbabit selepas melakukan serangan yang mana turut mengundang rasa ketakutan kepada penduduk sekitar.

Serangan berlaku selepas tercetusnya protes berdarah terhadap penyiaran filem anti-Islam di bangunan Kedutaan AS di Pakistan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 17 terbunuh, kelmarin. - Al-JAzeera

GPS pada kasut?

GPS pada kasut?
Kasut dilengkapi lampu LED yang berkelip ketika menunjukkan arah jalan yang betul.

LONDON - Risau sesat jalan atau sukar mengingati jalan ke tempat dituju? Kasut yang dilengkapi sistem kemudahan sistem penentu kedudukan global (GPS) mungkin dapat  bantu selesaikan masalah anda.

Seorang pereka kasut, Dominic Wilcox menggabungkan bahagian tumit kasut dengan papan litar GPS dan lampu kelip-kelip LED yang berfungsi penunjuk arah jalan. 

Jika anda berasa sesat jalan atau keliru  ke lokasi  dituju, hanya perlu menghentakkan kaki tiga kali kemudian lampu LED akan menyala tanda GPS dihidupkan.

"Saya membuat keputusan untuk mencipta sepasang kasut yang boleh memandu arah pemakainya pulang ke rumah dengan selamat tanpa perlu sesat lagi. Saya mendapat idea ini daripada filem Wizard of Oz yang menceritakan bagaimana watak Dorothy hanya perlu menghentak kasutnya kemudian sampai ke rumah," kata pemegang Sarjana Seni daripada Kolej Diraja Kesenian, London.

Kasut yang mendapat pengiktirafan daripada syarikat Global Footprint yang memiliki warisan lama bersama Dr Martens and Barkers itu, dilengkapi dengan perisian komputer dan kabel USB supaya apabila si pemakainya sampai di rumah, kemudian memakainya semula untuk keluar berjalan-jalan kasut ajaib itu dapat menjejaki alamat rumah tuannya.

Kasut itu memiliki antena di dalam tumit sebelah kiri yang mengandungi lampu LED berfungsi sebagai kompas selain berkomunikasi dengan pasangannya di sebelah kanan menggunakan sistem tanpa wayar bagi menunjukkan sejauh mana jalan yang perlu dilalui tuannya. - The Mail

Nasib anak kahwin bapa sendiri tanpa sedar

OHIO - Gempar! Ujian DNA yang dijalankan ke atas sebatang berus gigi akhirnya mendedahkan satu rahsia ‘gelap’ hubungan anak dan bapa.

Pendedahan itu hampir meragut nyawa, memusnahkan hubungan institusi kekeluargaan dan meruntuhkan iman.

Kisah benar ini terbongkar selepas kematian suaminya yang merungkai siapa sebenarnya suami ataupun bapa kepada seorang wanita, Valerie Spruill.

Bagi Spruill, apa yang berlaku adalah tidak masuk akal dan tidak menyangka dia telah mengahwini ‘bapanya’ yang tidak pernah dikenali seumur hidupnya.

“Perkara ini sangat buruk dan boleh memusnahkan hidup seseorang. Malah ia hampir musnah,” katanya ketika dihubungi wartawan CNN, Khamis lalu.

Kisah peribadi Spruill, 60, wanita yang berasal dari Doylestown, Ohio mula diterbitkan bulan ini dalam Akron Beacon Journal dengan tujuan dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah sama dan diambil iktibar.

Ia adalah sebuah kisah yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana perkara itu berlaku dan mampu menarik perhatian orang jauh termasuk di India dan Australia.

Persoalan yang sama terbit di hati Spruill sendiri sehingga dia terpaksa bergelut dengan kebenaran semenjak dia mengetahui kebenarannya pada 2004 iaitu enam tahun selepas suaminya, Percy Spruill meninggal dunia.
“Saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak kerana perbincangan mengenai perkara itu tidak pernah timbul.
“Saya rasa, kalau dia tahu pun, dia semestinya tidak akan memberitahu saya,” ujarnya kesal.
Spruill sebelum ini telah mengesahkan DNA yang ditemui pada berus gigi suaminya.
Sebaik mengetahui kebenaran itu, Spruill berhadapan dengan tekanan emosi dan fizikal yang teruk sehingga diserang strok dua kali dan telah didiagnosis mendapat diabetes.
“Sakit dan tekanan akan membunuh diri saya tetapi saya terpaksa melepaskan tekanan ini.
“Saya hanya memberitahu cerita untuk melepaskan kesakitan saya,” kata Spruill.
Bagaimanapun, Spruill percaya Tuhan sedang mengujinya kerana melalui pengalaman ini telah membentuk hidupnya.
Bercerita mengenai detik perkenalan pasangan itu, Spruill berkata, dia bertemu suaminya di Akron dan menetap di Doylestown, sebuah pinggir bandar untuk golongan pekerja yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari pusat bandar New York.
Itu adalah perkahwinannya yang kedua. Spruill digambarkan sebagai seorang suami yang baik dan tidak lokek. Dia juga dikatakan memberi layanan yang baik terhadap ‘anak-anak tirinya’.

“Kami mempunyai kehidupan yang baik,” katanya.

Pada mulanya, dia terpaksa berhadapan dengan kemarahan dan membenci suaminya atas apa yang berlaku.
Namun, melalui proses terapi dia akhirnya mulai menerima apa yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sebaliknya, semua itu ialah ketentuan takdir.
Kebelakangan ini, dia turut dihubungi beberapa pasangan yang senasib dengannya.
Mereka memberitahu Spruill, kisahnya itu menjadi teladan kepada mereka untuk menguruskan kisah masing-masing.
“Mereka cuba berkawan dengan saya sekarang,” katanya.
Sementara yang lain, masih sukar dan kurang mesra.
“Ada yang berpendapat, ‘apa yang rahsia, biarlah rahsia’.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang pendapat mereka itu. Saya hanya tahu apa yang saya fikirkan.
“Tuhan Maha Berkuasa dan Dia telah mengajar kita untuk berkata benar walau dalam situasi apa pun,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Spruill mengakui, tidak ramai di antara mereka yang berkata benar dan dia telah mempelajarinya daripada pengalaman sejak dari kecil.
Mengimbau kisah lalu, ibu Spruill telah hamil masih remaja ketika berpacaran dengan bapanya yang ketika itu berusia 15 tahun.

Selepas dilahirkan, Spruill yang baru berusia tiga bulan telah diserahkan ibunya untuk dijaga oleh datuk dan neneknya, di mana selama ini dia menganggap sebagai orang tua kandungnya.
Ketika berusia lapan atau sembilan tahun, barulah Spruill mengetahui bahawa wanita yang sering datang menziarahinya itu ialah ibu kandungnya yang sebenar dan bukannya kawan keluarganya seperi yang didakwa sebelum ini.
Namun, tidak ada sesiapa pernah membicarakan mengenai siapa bapa kandungnya sebelum ini.
Kini, tiada siapa yang tinggal untuk memberikan Spruill jawapan mengenai suaminya itu. Ibunya, Christine meninggal dunia pada 1984 manakala kedua orang datuk dan neneknya pula telah lama meninggal dunia.
Sebelum ini, Spruill telah mengetahui ibunya bekerja sebagai pelacur dan pernah ditahan pada 1980 kerana terlibat skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan James Barbuto, seorang hakim yang disabitkan bersalah kerana mengugut dan memaksa melakukan seks kasar ke atas seorang kerani mahkamah di pejabatnya.
“Ibu telah mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada saya. Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak akan pernah menyesal ataupun merungut,” katanya.
Bagaimanapun, dia percaya, dia masih mempunyai adik beradik kandung dan tiri dari suaminya, termasuk di sebelah ibunya.
Katanya, dia ingin mencari mereka dan memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan.
Kini, Spruill bahagia bersama tiga orang cahaya mata dan lapan orang cucu.
Dia sebelum ini terpaksa berhadapan dilema untuk memberitahu anak-anaknya bahawa lelaki yang menjadi bapa tiri  mereka itu sebenarnya adalah datuk mereka sendiri.
Spruill yang sebelum ini terpaksa mendapatkan sokongan dari pakar terapi, "bantu saya untuk memberitahu anak-anak saya,” katanya.
“Saya telah memaklumkan kepada mereka dua tahun lalu dan mereka benar-benar terkejut mengenai perkara itu. Namun, penerimaan mereka jauh lebih baik berbanding saya.”
Beberapa hari sebelum rahsia ini diketahui umum, Spruill memberitahu cucu-cucunya.
"Mereka benar-benar menyokong saya. "Mereka juga kata mereka tetap sayangkan saya dan perlu beritahu apa yang diperlukan oleh saya,” jelasnya lagi.

Semenjak bersara dari jabatan perakaunan Goodyear di mana beliau telah bertugas selama 34 tahun, dia mengisi masa lapangnya dengan menulis kisah hidupnya dan berharap dapat menerbitkannya kelak.
"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diberi peluang untuk melalui kehidupan ini.
"Ia juga merupakan satu keajaiban kerana saya masih di sini dan saya mahu orang lain tahu, jika mereka turut melalui pengalaman seperti saya, mereka tetap boleh meneruskan kehidupan," katanya lagi.
* Dipetik dari laporan CNN

600 budak mangsa seksual paderi

Penderaan seksual terhadap kanak-kanak oleh paderi Roman Katolik merupakan isu terbesar di Australia
Penderaan seksual terhadap kanak-kanak oleh paderi Roman Katolik
merupakan isu terbesar di Australia sejak tahun kebelakangan ini.

MELBOURNE - Pengurusan Gereja Roman Katolik Australia di Victoria mengesahkan lebih 600 budak perempuan menjadi mangsa serangan seksual paderi sejak tahun 1930-an.

Ketua Paderi Melbourne, Denis Hart menggambarkan jenayah itu adalah jijik dan memalukan sekali gus menjatuhkan maruah mereka.

Pengakuan itu terbongkar melalui satu penyerahan kertas siasatan melibatkan beberapa kes penderaan kepada Parlimen yang mana disangkal oleh ahlinya bahawa jumlah sebenar mangsa dera mungkin meningkat kepada 10,000 kanak-kanak.

Setakat ini, pihak gereja memaklumkan hanya 620 kes penderaan seksual kanak-kanak berlaku sejak 80 tahun lalu dengan majoriti kes berlaku antara tahun 1960-an dan 1980-an, selain menyiasat 45 kes baru.

Dalam satu kenyataan, Hart berkata, semua pihak harus telus dan terbuka apabila membincangkan isu yang tragis di Victoria dan mungkin tempat-tempat lain.

"Siasatan dilakukan bagi membela mangsa selain memeriksa tindak balas pihak gereja secara meluas terutama sepanjang 16 tahun lalu dan beberapa cadangan mempertingkatkan penjagaan mangsa selain mencari langkah pencegahan," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Chrissie Foster mendedahkan dua anak perempuannya dirogol seorang paderi sejak pertengahan 1980-an dan gereja hanya mendedahkan angka sebenar pada Jumaat lalu.

"Kami telah membuat laporan polis namun sehingga kini pihak gereja tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap paderi berkenaan," kata Foster.

Kerajaan negeri Victoria terpaksa membuka siasatan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak oleh pengamal agama dan badan bukan kerajaan selepas puluhan mangsa  membunuh diri. -Al-Jazeera

Gempa bumi sederhana landa selatan kepulauan Mariana

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi berukuran 5.1 pada skala Richter melanda selatan kepulauan Mariana pada pukul 7.42 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, gempa itu berpusat di dalam laut pada kedudukan 1,624km timur laut Jayapura, Indonesia dan 2,880km timur laut Kinabatangan, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, kata jabatan itu dalam kenyataan di sini.- Bernama

Iran tuduh Siemens sabotaj program nuklear

Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Alaeddin Boroujerdi
Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Alaeddin Boroujerdi

TEHERAN - Iran, kelmarin menuduh Syarikat Siemens di Jerman mengimplan bahan letupan kecil di dalam peralatan yang dibeli oleh negara itu untuk program pengayaan uranium mereka.

Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Alaeddin Boroujerdi menyatakan pakar keselamatan Iran berjaya menemui bahan letupan tersebut sebelum ia meletup.

"Ia sepatutnya meletup selepas dipasang pada sistem dan sememangnya  bertujuan untuk memusnahkan program kami, namun kebijaksanaan pakar kami berjaya menggagalkan konspirasi pihak musuh," katanya.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Siemens berkeras menafikan tuduhan itu.

Jurucakap syarikat berpusat di Munich, Alexander Machowetz berkata, Siemens tidak pernah menjalinkan urusan perniagaan bersama Teheran termasuk yang berkaitan dengan program nuklear Iran sejak 1979. -AP

Libya bubar kumpulan militia

BENGHAZI: Pihak berkuasa Libya semalam memutuskan untuk membubarkan semua kumpulan militia yang tidak termasuk dalam kawalan kerajaan.

Ketua Parlimen, Mohammed al-Megaryef mengumumkan keputusan itu sehari selepas penduduk Benghazi memberontak menentang kumpulan militia dalam keganasan yang meragut 11 nyawa.


Kerajaan juga mengambil keputusan untuk menyatukan tentera, pasukan Kementerian Dalam negeri dan Briged Kementerian Pertahanan yang terdiri daripada kumpulan bekas pemberontak yang menggulingkan rejim Muammar Gaddafi.

Ribuan penduduk Benghazi menunjuk perasaan membantah penguasaan kumpulan milita sebelum menawan markas mereka, kelmarin. - AFP

Mujica presiden ‘paling miskin’

MUJICA dan isterinya cuma ada sebuah kereta murah.
MUJICA dan isterinya cuma ada sebuah kereta murah.

MONTEVIDEO: Presiden Uruguay, Jose Mujica, mendapat gelaran unik, el presidente mas pobre (Presiden Termiskin) apabila dia menyumbangkan 90 peratus daripada gajinya kepada rakyat negara itu.
Bercakap kepada akhbar Sepanyol, El Mundo, semalam Mujica berkata dia menerima gaji AS$12,500 (RM38,132) sebulan tetapi dia hanya mengambil kira-kira 10 peratus atau AS$1,250 (RM4,575) untuk kegunaan sendiri.
“Ia mencukupi untuk saya dan keluarga, atau saya perlu mencukupkan keperluan dengan gaji sebegitu kerana ramai penduduk Uruguay yang hidup dengan pendapatan jauh lebih kecil daripada itu,” katanya.

Selain Mujica, 77, isterinya, Lucia Topolansky, 67, turut menyumbang pendapatannya sebagai senator kepada tabung negara.


Pasangan suami isteri itu menetap di sebuah rumah petani di Montevideo.

Mereka memiliki seunit kereta Volkswagen Beetle bernilai kira-kira RM6,000.

Mantan pejuang gerila itu menyertai politik dengan bergabung bersama parti aliran kiri sebelum terpilih sebagai presiden pada 2010.

Uruguay menjadi satu daripada negara paling rendah kadar rasuah di Amerika Selatan.

Selain digelar Presiden Termiskin, Mujica juga mendapat penghormatan ramai kerana dikenali sebagai Presiden Paling Pemurah.

Dia tidak memiliki akaun bank atau hutang, manakala sahabatnya yang paling baik ialah seekor anjing bernama Manuela.

Mujica bukanlah presiden pertama menyumbang gajinya untuk negara.

Presiden Amerika Syarikat (AS), John F Kennedy - berasal dari keluarga kaya - turut mendermakan sebahagian gajinya, manakala presiden ke-31 negara itu, Herbert Hoover, tidak pernah menerima sebarang wang daripada dana awam bagi mengelakkan dia dikaitkan dengan rasuah. - Agensi

Iran mungkin serang Israel

TEHERAN: Iran mungkin melancarkan serangan terhadap Israel jika rejim Zionis itu melakukan persiapan untuk melancarkan serangan ke atasnya.

Pegawai kanan Pengawal Revolusi, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh memberi amaran itu sehari selepas ketuanya berkata, peperangan antara kedua-dua negara itu pasti berlaku.


“Perang Dunia Ketiga akan meletus sekiranya Israel dan Iran terbabit dalam konflik ketenteraan,” kata Amir yang bertanggungjawab terhadap sistem peluru berpandu Pengawal Revolusi.

“Iran akan melancarkan serangan jika Israel melakukan persiapan sepenuhnya untuk menyerang kami. Tetapi, buat masa ini, kami tidak melihat Israel sudah bersiap sedia untuk menyerang,” katanya.


Beliau juga berkata, Iran akan melihat sebarang serangan yang dilakukan Israel sebagai sudah mendapat kebenaran daripada Amerika Syarikat.


“Kerana itu, sama ada rejim Zionis itu menyerang dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan Amerika Syarikat, kami tetap akan menyerang pangkalan Amerika di Bahrain, Qatar dan Afghanistan,” katanya.

Beliau juga memberi amaran, Israel tidak akan dapat menggambarkan tindak balas Iran.


“Ia akan menanggung kerugian amat besar yang akan membawa kepada kemusnahannya dari muka bumi ini,” kata Amir.

Israel dan Amerika Syarikat percaya program nuklear Iran bertujuan menghasilkan senjata nuklear yang berupaya mengancam kewujudan negara Yahudi itu serta statusnya sebagai satu-satunya negara Asia Barat yang memiliki senjata nuklear.


Kelmarin, Ketua Pengawal Revolusi, Jeneral Mohammad Ali Jafari, berkata, peperangan Iran dengan Israel pasti berlaku, tetapi bila dan di mana, belum dapat dipastikan. - AFP

Mursi pertahan hubungan dengan Ikhwanul Muslimin

WASHINGTON: Presiden Mesir, Mohamed Mursi semalam menegaskan sekali lagi hubungannya dengan Ikhwanul Muslimin, pertubuhan yang diragui oleh ramai pihak di Barat.

“Saya membesar dengan Ikhwanul Muslimin. Saya belajar prinsip hidup ketika dalam Ikhwan. Saya belajar mencintai negara saya dengan Ikhwan. “Saya belajar politik dengan Ikhwan. Dan saya juga menjadi pemimpin Ikhwan,” katanya dalam wawancara dengan akhbar New York Times sebelum berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Dalam wawancara itu, beliau juga berkata, Amerika Syarikat tidak boleh berharap Mesir untuk hidup dengan mengikut telunjuknya, seperti yang berlaku di Barat.

Mursi turut menggesa Amerika Syarikat mengubah pendekatannya terhadap dunia Arab. - AFP

Tentera Bashar makin tersepit

ATMA: Sebahagian besar wilayah Syria kini dikuasai oleh penentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad.

Seorang pemimpin Tentera Pembebasan Syria (FSA), Kolonel Ahmed Abdel Wahab berkata, sama ada penentang menerima bantuan dari luar atau tidak, kerajaan Bashar akan jatuh dalam masa beberapa bulan lagi.


Beliau yang mendakwa mengetuai satu briged terdiri daripada 850 pejuang dalam FSA berkata, tentera yang setia kepada Bashar kini hanya bergantung kepada kekuatan udara.

“Jika kami memiliki senjata antipesawat dan peluru berpandu antikereta kebal, rejim Bashar akan tumbang lebih cepat.


“Sekiranya negara luar tidak memberi senjata itu kepada kami, saya yakin kami tetap akan menang. Cuma ia akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya kepada wartawan di Atma, berhampiran sempadan Syria-Turki.


Menurutnya, kumpulan penentang kini boleh bergerak bebas di sebahagian besar negara itu.

“Di kebanyakan wilayah, tentera menjadi tahanan di berek mereka sendiri. Mereka jarang keluar dan kami boleh bergerak bebas.


“Di Damsyik pula, selagi kami tidak berada di jalan utama, kami juga boleh bergerak bebas,” katanya. Ahmed, yang sembilan bulan lalu berpangkat kolonel dalam pasukan tentera Syria berkata, beliau berpaling tadah kerana tidak sanggup melihat jenayah melampau yang dilakukan rejim Bashar yang membunuh rakyatnya sendiri. Menurutnya, dia menghadiri mesyuarat harian dengan pemimpin FSA dan menerima arahan daripada mereka.

Bagaimanapun, katanya dia masih berhubung dengan pegawai yang masih berkhidmat dengan tentera Bashar. “Semangat mereka rendah. Anggota berfahaman Sunni tidak berpaling tadah kerana bimbangkan keselamatan keluarga mereka,” katanya. - AFP

Gadis ratu ular berbisa


Laili Syuhada menunjukkan aksi memasukkan kepala ular ke dalam mulutnya ketika membuat persembahan di Bachok, kelmarin.
Laili Syuhada menunjukkan aksi memasukkan kepala ular
ke dalam mulutnya ketika membuat persembahan di Bachok, kelmarin.

Pelajar Tingkatan Empat jadi anak murid Raja Ular Kelantan
Bachok: Seorang gadis dari Kuala Krai, Kelantan, mengisi hujung minggu dengan beraksi bersama ular berbisa, termasuk tedung selar.

Laili Syuhada Abdul Razak, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Krai, bukan saja berani bermain ular bisa, malah mencium serta memasukkan kepala ular berbisa itu ke dalam mulutnya.
Beliau berkata, minat untuk bermain ular ini timbul sejak awal tahun lalu sehingga sanggup berguru dengan Raja Ular Kelantan, Hamdan Mahadi, 26, bagi meningkatkan kemahiran mengawal serta beraksi dengan ular.

"Sejak kecil lagi, saya sudah tertarik untuk mendekati reptilia ini dan kini mendalami minat dengan Hamdan sehingga mampu mengadakan persembahan bersama ular tedung selar dan senduk.

"Sepanjang mengadakan persembahan belum pernah terjadi kejadian tidak diingini dan berterima kasih kepada Hamdan yang memberi banyak tunjuk ajar untuk berdepan dengan reptilia ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia di Beris Kubur Besar, dekat sini, kelmarin.

Guru sentiasa bersama

Laili Syuhada berkata, beliau sedar kegiatan ini merbahaya, namun tidak takut berdepan dengan ular kerana gurunya akan sentiasa bersama untuk memastikan keselamatannya terjamin.
"Sebelum memulakan sebarang persembahan, Hamdan akan memberikan beberapa petua supaya tidak tersilap langkah," katanya.

Ibunya, Rosnani Yaakob, 39, mengakui pada awalnya agak keberatan untuk membenarkan anaknya terbabit dalam kegiatan bermain dengan ular, namun selepas melihat kesungguhannya, beliau membenarkan walaupun masih risau terhadap keselamatannya.

Kembalikan semula Perak Man

ARTIFAK Perak Man menjadikan Malaysia dan Perak terkenal di dunia.
LENGGONG - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan khususnya Jabatan Warisan Negara digesa mempertimbangkan hasrat kerajaan Perak mahu membawa pulang rangka sebenar manusia pertama di Asia Tenggara, Perak Man ke daerah ini.
Ketika ini, rangka Perak Man atau Orang Perak yang hidup kira-kira 11,000 tahun lalu ditempatkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur sejak Julai 2006 lalu.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sudah tiba masanya artifak yang menjadi sebutan dunia itu dikembalikan semua ke tempat asalnya dan ditempatkan di Galeri Arkeologi di sini.
Katanya, permintaan tersebut wajar diberi perhatian serius memandangkan jumlah pengunjung ke galeri terbabit meningkat mendadak sehingga empat kali ganda sejak Lembah Lenggong diisytiharkan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pertandingan misai, janggut di timur Perancis

KOMBINASI gambar menunjukkan beberapa peserta yang menyertai pertandingan misai dan janggut di Mulhouse kelmarin. - Reuters


MULHOUSE - Lebih 100 orang menyertai pertandingan misai dan janggut peringkat Eropah di sini, timur Perancis kelmarin.
Pertandingan peringkat Eropah itu diadakan buat kali pertama.
Panel juri akan menilai dan memilih pemenang pertandingan tersebut. - Agensi

Pembangkang bincang guling rejim Bashar

AZMAT (kiri) dan Bousha (kanan) duduk pada mesyuarat untuk menggulingkan rejim Bashar di sebuah hotel di Damsyik semalam.

DAMSYIK - Tokoh-tokoh pembangkang mengadakan mesyuarat tergempar untuk menggulingkan rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Kira-kira 16 parti pembangkang mengambil bahagian pada satu persidangan yang diketuai Badan Penyelaras Kebangsaan Untuk Perubahan Demokratik di Syria.
Ketua badan itu, Hasan Abdulazim hadir pada mesyuarat tersebut.
Tokoh-tokoh pembangkang itu berhimpun di sebuah hotel di sini semalam.
Perbincangan pada persidangan itu diadakan bagi mencari pendekatan aman untuk menamatkan peperangan di Syria.
Mesyuarat itu diadakan dengan kawalan ketat.
Duta Rusia, Azmat Allah Kolmahmedov dan Duta Iran, Mohammad Riza Shibani turut hadir pada mesyuarat tersebut.
Rusia dan Iran merupakan sekutu kuat Bashar.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Duta Algeria, Bousha Saleh dan Timbalan Ketua Kedutaan China, Feng Biao.
Kuasa Usaha Mesir, Alaa Abdul-Aziz turtu hadir.
Pertempuran di Syria bermula sejak Mac tahun lalu.
Ia berlaku selepas kumpulan pemberontak bangkit menentang pemerintahan Bashar yang dianggap tidak melakukan perubahan politik dan kebebasan bersuara.
Lebih 20,000 orang terbunuh dalam pertempuran melibatkan tentera Syria dengan kumpulan pemberontak itu. - Agensi