Pages

Tuesday, November 8, 2011

Anak tiri wakil rakyat direman



SUSPEK kes samun kedai serbaneka dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman, semalam.


KOTA BHARU 6 Nov. - Seorang pemuda dipercayai anak tiri kepada wakil rakyat di negeri ini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka di sekitar bandar ini.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik di Mahkamah Majistret di sini pagi ini.

Pemuda berusia 20-an itu disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak dengan menggunakan senjata serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Ketika dibawa ke mahkamah, lelaki yang bertubuh gempal, berambut kerinting dan memakai baju lokap berwarna ungu itu kelihatan tenang.

Suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis di rumahnya di Jalan Telipot, pukul 11.30 malam tadi, selepas pihak berkuasa itu menemui beberapa petunjuk.

Berdasarkan modus operandi, suspek disyaki menyamun sekurang-kurangnya lima buah kedai serbaneka di sekitar bandar ini iaitu di Jalan Parit Dalam, Jalan Seri Cemerlang, Jalan Kebun Sultan, Jalan Merbau dan bersebelahan pasar raya KB Mall baru-baru ini.

Sebelum menyamun, pemuda itu dikatakan berpura-pura untuk membeli kad tambah nilai pra-bayar sebelum mengeluarkan pisau dan melarikan wang.

Malah dia juga dikatakan tidak memakai topi keledar atau topeng untuk menutup muka setiap kali melakukan rompakan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Wanita cacat penglihatan cedera dipukul penyamun



SARIPAH Zakaria (kiri) yang menerima lima jahitan di kepala, ditemani anak bongsunya, Saidatulasma ketika dirawat di Hospital Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 7 Nov. - Seorang wanita yang cacat penglihatan terpaksa menerima lima jahitan setelah dipukul di kepala oleh sekumpulan penyamun yang memecah masuk rumahnya di Kampung Sungai Putat, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, suami mangsa turut cedera di kepala sebelum suspek melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai berjumlah RM1,600.

Berikutan itu, mangsa, Saripah Zakaria dirawat di Hospital Jerantut manakala suaminya, Abd. Aziz Mohamad, 45, di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Saripah, kejadian itu berlaku ketika mereka tidur selepas selesai membuat persiapan juadah untuk menyambut Aidiladha.

"Tiba-tiba saya terdengar suara penyamun memberi arahan kepada kami dan suami saya pula cuba mempertahankan diri dan kemudian terus senyap.

"Tiba-tiba kepala saya dihentak dengan benda keras dan terasa darah mengalir ke dahi," katanya kepada pemberita di Hospital Jerantut semalam.

Dia yang cacat penglihatan sejak 14 tahun lalu berkata, kejadian itu turut disedari oleh anaknya, Marziah Abd. Aziz, 17, setelah mendengar penyamun itu lari keluar dari bilik mereka.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, dua anak lelakinya tiada di rumah kerana keluar berkawal malam bersama penduduk Kampung Sungai Putat berikutan dua kejadian sama berlaku di situ, bulan lalu.

Sementara itu, Marziah berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi bising sebelum terlihat penyamun itu meloloskan diri mengikut pintu dapur.

"Saya segera menelefon abang selepas kejadian itu manakala jiran membantu menghubungi ambulans untuk membawa ibu bapa saya ke hospital," kata Marziah.

Menurut gadis itu, bapanya dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh dan kemudian dipindahkan ke HKL untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kassim memberitahu, usaha memburu suspek dijalankan dengan bantuan Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan negeri di samping kerjasama serta maklumat penduduk setempat.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api," ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

Jurukamera TV terbunuh kena peluru sesat

RIO DE JANEIRO: Seorang jurukamera televisyen mati awal pagi semalam ketika merakamkan serbuan polis ke atas sarang pengganas di pinggir Rio de Janeiro.

Gelson Domingos, 46, terbunuh akibat terkena peluru sesat ketika bertugas membuat liputan di kawasan setinggan di bandar pelabuhan Antares.


Polis berkata, Domingos memakai jaket perlindungan ketika itu tetapi ia gagal menghalang peluru daripada terkena badannya.

“Mangsa disahkan mati ketika tiba di hospital,” katanya.


Domingos merakamkan siri popular di Brazil, TV Bandeirantes yang memaparkan mengenai wartawan televisyen sebagai “mangsa keganasan yang menjejaskan orang tidak berdosa setiap hari” di negara itu.


Empat suspek penjenayah turut terbunuh dan enam pengedar dadah ditahan dalam operias berkenaan. - AFP

myMetro | Jurukamera TV terbunuh kena peluru sesat:

'via Blog this'

Buat duit jual daging korban

MINA: Pasar haram menjual daging korban semakin berleluasa di Makkah, di mana warga asing yang tinggal lebih masa akan membeli daging daripada rumah penyembelihan dan menjualnya kepada kedai daging dan pemilik restoran.

Mereka mengambil kesempatan atas harga kos yang rendah untuk daging korban dan juga ada warga Arab Saudi yang sengaja memberi daging korban kepada mereka yang tinggal lebih masa sebagai memenuhi tuntutan korban.

Seorang warga Pakistan yang tinggal lebih masa di Mina, Arshad Haji berkata, dia menyediakan kotak untuk membawa seberapa banyak daging korban yang boleh dan menjualnya di Makkah.

“Setakat ini saya membawa kira-kira 10 kotak daripada mereka yang mahu menderma daging korban. Kami membawa daging korban dari Mina ke Makkah. Saya mungkin akan dapat dalam SR20,000 (RM16,651) dengan menjual daging korban ke restoran dan kedai daging pada musim haji kali ini,” katanya.


Seorang lagi warga asing yang tinggal lebih masa, Belal Ali, seorang rakyat Afrika, mengaku dia sudah empat tahun mengambil daging korban.


Ketika musim haji ini, dia akan mengambil saja daging korban tetapi kadang-kadang dia akan membelinya.

“Kami akan beli daging itu sebaik saja haiwan itu disembelih. Saya akan membayar antara SR60 (RM 49.95) dan SR120 (RM99.91) untuk seekor kambing, bergantung kepada saiz dan jenis korban itu. Untuk lembu, kosnya di antara SR250 (RM 208) dan SR300 (RM250) seekor,” kata Ali.

“Sebuah trak kecil akan menunggu untuk membawa daging korban ke Makkah, Jeddah atau Taif. Kami jual kambing kira-kira SR400 (RM333) seekor dan lembu SR1,000 (RM832.50) hingga SR2,000 (RM1,665) seekor. Kami dapat untung yang banyak ketika musim haji setiap tahun.”

myMetro | Buat duit jual daging korban:

'via Blog this'

Graduan bawa kereta ayah seludup jemaah ke Makkah

JEDDAH: Seorang pemuda warga tempatan mendapat pendapatan sebanyak SR7,000 (RM 5,828) untuk menyeludup 15 jemaah haji haram ke bandar suci.

Ahmad Al-Kinani, seorang graduan universiti, memandu kereta ayahnya untuk menyeludup jemaah ke Mina, Jumaat lalu, sehari sebelum hari Wukuf, menurut akhbar Al-Eqtisadiah.

Dia berkata, dia membawa jemaah haram yang terdiri daripada warga tempatan dan asing, tiga kali pada hari itu.

Ahmad menggunakan kenderaan yang boleh melalui kawasan berbukit dengan cepat dan mudah.


“Saya cuba membawa mereka melalui tempat pemeriksaan dan jalan gurun tetapi dipaksa berpatah balik tiga kali. Tetapi, saya berjaya masuk ke Makkah melalui tempat pemeriksaan di jalan Makkah lama,” katanya.


Menurut Ahmad, rakannya yang menggalakkan dia mendapatkan wang melalui cara ini.

“Saya berbincang dengan ayah saya mengenai niat saya lebih daripada sekali. Dia tidak menggalakkan kerana risikonya besar dan payah untuk saya memandu di jalan berbukit. Saya bukan pakar seperti penyeludup yang ada banyak pengalaman membawa jemaah haji haram ke bandar suci,” katanya.

myMetro | Graduan bawa kereta ayah seludup jemaah ke Makkah:

'via Blog this'

Tagih nyawa

LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.
LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.
KEPALA BATAS: Pantai Kuala Muda, Penaga, di sini, kini diberi gelaran Pantai Puaka kerana sentiasa dahagakan nyawa, sekurang-kurangnya seorang setiap tahun pasti menjadi korban di kawasan itu.
Penduduk mengesahkan kejadian korban nyawa itu berlaku setiap tahun dan ada mendakwa ia berpunca daripada kesilapan nenek moyang yang membuat perjanjian kerana mempercayai perkara karut.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bakau Tua, Ramli Mahat, 60, berkata, kejadian korban di laut itu saban tahun berlaku di kampung itu.
“Setiap tahun ada saja kejadian lemas di sini dan terbaru, Oktober lalu apabila dua pelajar lemas,” katanya.

Menurutnya, kawasan laut di situ bagaikan sentiasa dahagakan nyawa sekurang-kurangnya seorang setiap tahun.

“Bukan percaya perkara mengarut, tetapi hakikatnya memang ia berlaku,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ramli berkata, papan tanda amaran mandi sudah dipasang, tetapi kawasan pantai di situ umpama kolam renang kepada penduduk terutama kanak-kanak.

“Budak-budak, jika dilarang bukan mahu mendengar kata, takutnya hanya sekejap,” katanya.
Kampung nelayan berusia ratusan tahun itu dihuni kira-kira 5,000 penduduk yang menempatkan hampir 1,000 rumah.

Penduduk, Halimah Ismail, 65, yang menetap di kampung itu sepanjang hayatnya percaya dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan laut Kuala Muda berpuaka kerana sejak kecil, setiap tahun dia mendengar berita kematian di laut.

“Kes mati lemas sudah puluhan kali saya dengar, belum lagi kes nelayan hilang di laut atau mati mengejut di dalam bot ketika keluar menangkap ikan,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang memikirkan nyawa siapa pula selepas ini yang akan menjadi korban laut itu.

“Kebanyakan mangsa korban laut ialah penduduk setempat tidak kira usia,” katanya.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian di kawasan perkampungan nelayan itu ada kaitan dengan perkara tahyul dipercayai berpunca daripada nenek moyang mereka.

Katanya, pada zaman 30-an dulu, dia ada menyaksikan satu upacara seperti memberi makan kepada ‘penunggu’ laut.

“Orang kampung menyembelih kerbau dan kepala haiwan itu diletakkan di atas sebuah rakit berserta pulut kuning dan bertih jagung sebelum rakit dihanyutkan ke tengah laut,” katanya.

Namun, dakwanya, amalan itu sudah dihentikan kerana perbuatan itu syirik dan sejak itu ramai percaya laut yang dahagakan korban, memilih nyawa manusia sebagai gantinya.

“Ada segelintir penduduk kampung cuba mengembalikan kepercayaan itu namun ditentang banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim berkata, berdasarkan rekod Balai Bomba Kuala Muda, setiap tahun dari 2005 hingga 2010, ada satu kes lemas berlaku di Pantai Kuala Muda.

“Tahun ini, dua kes lemas dicatatkan membabitkan tiga kematian iaitu seorang mangsa pada Januari dan dua lagi bulan lalu.

“Setiap tahun kami menerima aduan kes lemas dan orang hilang di laut itu,” katanya.
myMetro | Tagih nyawa:

'via Blog this'

Jurutera wakaf harta RM10 juta

KUALA LUMPUR: “Saya tidak pandai berdakwah dan ini yang mampu saya lakukan sebagai persiapan menghadapi kematian,” kata pewakaf, Ir Mohd Mazlan Md Ismail, 70, dari Kampung Sungai Penchala, di sini.
Mohd Mazlan mewakafkan dua bidang tanah seluas 0.68 hektar serta dua buah rumah dengan nilai anggaran melebihi RM10 juta kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dijadikan pusat pendidikan Islam khas kepada warga emas.

“Sudah lebih dua tahun saya berhasrat mewakafkan harta kepada golongan kurang berkemampuan dan alhamdulillah ia termakbul hari ini selepas MAIWP melaksanakan amanah berkenaan.
“Harapan saya supaya dimanfaatkan sebaiknya dan membantu golongan warga emas untuk mendalami ilmu Islam secara kaedah pondok dengan pendekatan lebih moden,” katanya ditemani isteri, Rabiah Bee Mohamed Sulaiman, 64, ketika penyerahan hak milik kepada MAIWP di rumahnya, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail.

Menurut Mazlan, keputusan itu mendapatkan persetujuan tiga anaknya dan dia serta isteri menetap di sebuah rumah yang diwakafkan sebelum diserahkan sepenuhnya selepas mereka berdua tiada kelak.
Sementara itu, Dr Muhammad Yamin berkata, bagi merealisasikan hasrat pewakaf, pihaknya memutuskan menjadikan wakaf itu sebagai Pusat Pengajian Warga Emas atau dikenali Pusat Pengajian Warga Emas Dar-Assakinah.

“Segala pengurusan pusat pengajian dikelolakan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP dan sebagai permulaan MAIWP akan mengambil antara 10 hingga 15 warga emas atau mengikuti kesesuaian kapasiti rumah ini.
“Namun segala perancangan lain akan dilanjutkan dalam mesyuarat lembaga pada pertengahan tahun ini dan merancang untuk membina satu lagi bangunan di tanah ini bagi membolehkan ramai lagi yang dapat mengikuti pengajian terbabit,” katanya.

Katanya, MAIWP juga akan melantik seorang pengetua bagi menguruskan pusat pengajian yang dibantu pembantu hal ehwal Islam serta seorang pembantu am.
myMetro | Jurutera wakaf harta RM10 juta:

'via Blog this'

Ular tedung jatuh dari siling kedai

BERTUNGKUS-LUMUS...Eddie menangkap ular tedung selar di celah dinding kedai, kelmarin.
BERTUNGKUS-LUMUS...Eddie menangkap ular tedung selar di celah dinding kedai, kelmarin.

MELAKA: Seorang pemilik kedai gambar di Tanjung Kling, di sini, terperanjat besar apabila seekor ular tedung selar sepanjang hampir dua meter terjatuh dari siling sebuah bilik di kedainya, kelmarin.

Peniaga terbabit, Lu Chee Yang, 46, berkata ketika kejadian dia menuju tandas apabila suatu objek jatuh dari siling pada jam 2 petang di bilik khas mencuci gambar.


Dia terkejut apabila mendapati ia ular lalu berlari ke hadapan kedai.

“Saya rasa ular berkenaan datang dari kawasan semak tebal di belakang rumah kerana pernah terserempak haiwan berbisa itu.


“Saya berharap pemilik tanah berkenaan membersihkan semak-samun di situ bagi mengelak sarang ular.


“Saya bernasib baik kerana ular berkenaan jatuh ke lantai, bukan atas saya atau jatuh pada waktu lain dan saya tidak menyedari kehadirannya dalam kedai,” katanya.

Ular berkenaan ditangkap bekas anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Eddie Rizal Amiruddin, 32, yang berpengalaman lebih tujuh tahun dalam tugas itu sepanjang berkhidmat dengan JPAM.

myMetro | Ular tedung jatuh dari siling kedai:

'via Blog this'

Derita lepas mati 5 minit

PASIR GUDANG: Seorang pemandu lori, Rosalan Seyes, 46, disahkan hidup semula hanya kira-kira lima minit selepas disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, dalam kejadian lima bulan lalu.

Bagaimanapun, berita gembira itu sebenarnya dugaan paling mencabar yang perlu dilalui keluarganya apabila diberitahu lelaki berkenaan lumpuh seluruh badan dan perlu menggunakan lampin pakai buang serta menyedut kahaknya setiap tiga jam sekali.


Isterinya, Roslaila Saru, 42, berkata pada mulanya doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia, namun lima minit kemudian, doktor sama mengesahkan suaminya hidup semula selepas nadinya didapati berdenyut dalam kejadian lima bulan lalu.

“Kami gembira apabila diberitahu Rosalan hidup semula, namun sedih apabila diberitahu dia akan lumpuh buat selama-lamanya, menyebabkan saya terpaksa memikul tanggungjawab berat kerana bukan saja perlu menjaganya setiap masa malah menyara lima anak berusia antara 2 hingga 17 tahun.


“Sebelum jatuh sakit, suami bekerja sebagai pemandu lori sejak kira-kira tiga tahun dan kami juga mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah ini demi masa depan anak.


“Tanpa diduga, radang tonsil yang dialami suami bertambah serius hingga mengakibatkan jangkitan kuman menyerang jantung dan organ lain.

“Biarpun mati hidup semula, suami yang dirawat di hospital selama dua bulan pulang ke rumah dalam keadaan hilang upaya termasuk tidak mampu bergerak, berbual mahupun makan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai di sini, semalam. Roslaila berkata, buat masa ini, suaminya bergantung kepada susu disyorkan doktor berharga RM70 setin selama dua hingga tiga hari.


Menurutnya, keadaan itu menyebabkan keluarganya membelanjakan RM1,500 sebulan untuk membeli susu dan lampin pakai buang dewasa.

“Ketika suami dimasukkan ke wad selama dua bulan, kami bergantung kepada wang simpanan keluarga untuk membiayai kos persekolahan empat anak.


“Biarpun situasi dilalui saya amat perit, saya kerap memberi sokongan moral kepada anak terutama anak sulung, Ahfiffah, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini supaya memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya.


Roslaila berkata, buat masa ini, dia masih tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga suami sepanjang masa termasuk mengeluarkan kahak yang terkumpul di tekak lelaki terbabit setiap tiga jam sekali.


“Saya sudah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap, permohonan itu dipertimbang dan diluluskan secepat mungkin,” katanya yang menerima bantuan barangan keperluan harian bernilai RM1,000 daripada pengurusan Pasaraya Econsave Masai di sini, semalam.


Hadir menyampaikan bantuan itu, Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam dan Pengurus Pasaraya Econsave Masai, J Shogi di kediaman keluarga berkenaan.

myMetro | Derita lepas mati 5 minit:

'via Blog this'

Penuntut Malaysia maut ditetak di Surabaya

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut Malaysia maut selepas ditetak di lehernya oleh seorang penjenayah yang cuba melarikan motosikal miliknya di rumah sewa di Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam waktu Jawa Timur (8 malam Malaysia), mangsa yang dikenali sebagai Adrian Jay Pereira, 22, penuntut tahun ketiga jurusan perubatan di Universiti Brawijaya, Malang, dekat Surabaya, dipercayai parah akibat tetakan terbabit.

Setiausaha Pertama (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun ketika dihubungi, berkata mangsa sedang berehat di kediamannya sebelum terdengar bunyi bising di luar.

“Mangsa kemudian meninjau ke luar rumahnya menerusi jendela sebelum melihat seorang lelaki tidak dikenali cuba melarikan motosikalnya.


“Dia menyergah lelaki berkenaan menyebabkan lelaki terbabit melarikan diri sebelum mangsa bertindak mengejarnya,” katanya.


Bagaimanapun, suspek berkenaan gagal dijejaki menyebabkan mangsa berpatah balik ke kediamannya dan ketika sedang membuka topi keledar, tiba-tiba lehernya ditetak.

Seorang rakan serumahnya yang menyedari kejadian terbabit kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kes berkenaan.

Menurut Ludinata, polis masih menunggu laporan bedah siasat.

myMetro | Penuntut Malaysia maut ditetak di Surabaya:

'via Blog this'

3 warga Korea Selatan diculik di Filipina

MANILA: Pihak berkuasa Filipina semalam berkata, mereka mencari tiga lelaki warga Korea Selatan yang diculik di selatan negara itu.

Ketiga-tiga lelaki terbabit kali terakhir dilihat meninggalkan sebuah hotel di selatan bandar Cagayan de Oro pada 21 Oktober lalu, ditemani tiga pemandu pelancong rakyat tempatan, kata Pengarah Polis Daerah, Felicisimo Khu.


“Penculik ada membuat hubungan menggunakan telefon bimbit mangsa,” kata Khu dalam kenyataannya kepada wartawan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan siapa dalang di sebalik penculikan, apa yang dituntut dan siapa yang dihubungi mereka. Polis percaya ketiga-tiga mangsa culik masih ditahan di Lanao del Sur, wilayah hutan tebal kira-kira 50 kilometer dari Cagayan de Oro yang dikenali sebagai tempat perlindungan pelbagai kumpulan bersenjata. Seorang lagi ketua polis tempatan, Superintenden Kanan Orlando Benas, berkata, tiga lelaki Korea itu dipercayai melakukan tinjauan untuk peluang perlombongan. - AFP

myMetro | 3 warga Korea Selatan diculik di Filipina:

'via Blog this'

Bayi maut diputar mesin pemotong rumput

JACKSONVILLE (Florida): Seorang bayi terbunuh dalam kemalangan ngeri apabila dia dikisar mesin pemotong rumput dipandu neneknya, semalam.

Pegawai bomba Titusville, Scott Gaenicke, berkata bayi lelaki berusia 19 bulan itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.


Katanya, mangsa terperangkap di bawah mesin pemotong rumput itu dan parah terkena bilah pisau yang berputar.

“Dia diletakkan dalam trailer sambil ditarik mesin pemotong rumput itu, tetapi tiba-tiba mangsa terjatuh dan dirempuh alat berkenaan,” katanya.


Polis kemudian merampas mesin rumput dan trailer yang ditarik mesin berkenaan untuk membolehkan siasatan dijalankan. - DM

myMetro | Bayi maut diputar mesin pemotong rumput:

'via Blog this'

Kaki ‘gajah’ dipotong tumbuh semula

PENYAKIT LUAR BIASA...jangkitan kuman menyebabkan kaki Mandy membesar melampau.
PENYAKIT LUAR BIASA...jangkitan kuman menyebabkan kaki Mandy membesar melampau.
SERBA SUKAR...Mandy  menggunakan kerusi roda.
SERBA SUKAR...Mandy menggunakan kerusi roda.

LONDON: Seorang wanita yang dipotong satu daripada kakinya kerana membesar sehingga mencapai berat lebih 31.5 kilogram kini cemas apabila organ itu kembali tumbuh dengan pantas.

Mandy Sellars dari Accrington, Lancashire, menghidap penyakit yang jarang berlaku menyebabkan kedua-dua kakinya membesar melampau, manakala tubuhnya kekal seperti biasa.


Pemeriksaan doktor sebelum itu mendapati, kaki kiri Mandy, 36, dijangkiti kuman dan boleh mengancam nyawanya jika tidak dibuang.

Bagaimanapun, 22 bulan selepas menjalani pembedahan itu, baki kaki kirinya mula tumbuh dan membengkak.


Kata Mandy, dia memang berharap pembedahan membuang sebahagian daripada kaki kiri itu akan membolehkan keadaannya stabil.


“Tetapi hati saya berkata, ia akan kembali semula,” katanya.

Mandy berkata, dia mula menghadapi masalah sama “hampir serta-merta” dan ia menyukarkannya memakai kaki palsu.


Tidak lama kemudian, kata Mandy, kakinya menjadi terlalu besar dan berat sehingga ia hampir-hampir menyebabkan kaki palsunya pecah.

Kini kaki Mandy terus membesar dengan berat hampir 32 kilogram dan ukur lilit satu meter.


Bekas sukarelawan pertubuhan kebajikan haiwan itu berharap masalah itu dapat diatasi segera.


Sementara menunggu keadaannya pulih, Mandy berjuang untuk sentiasa berfikiran positif dan meneruskan hidupnya seperti biasa.


Penyakit dialami Mandy agak sama dengan sindrom Proteus yang menjangkiti Man Joseph Merrick sehingga dia digelar Lelaki Gajah.


Kuman Proteus boleh menyebabkan anggota badan manusia membesar.


Dianggarkan hanya ada kira-kira 120 orang di seluruh dunia mengalami masalah dihadapi Mandy. - DM

myMetro | Kaki ‘gajah’ dipotong tumbuh semula:

'via Blog this'

Israel, AS cari sokongan dunia




2011/11/08

ANGGOTA tentera Iran melaung slogan anti-Amerika selepas solat Aidiladha di Tehran, semalam. - Foto REUTERS
ANGGOTA tentera Iran melaung slogan anti-Amerika selepas solat Aidiladha di Tehran, semalam. - Foto REUTERS
Iran dakwa kedua-dua sekutu mahu serang kemudahan nuklear di Tehran

TEHRAN: Iran mendakwa Israel dan Amerika Syarikat cuba mendapatkan sokongan dunia bagi satu serangan tentera terhadap kemudahan nuklear negara itu, ketika Russia semalam memberi amaran bahawa ia akan menjadi 'satu kesilapan yang amat besar.'
Ketegangan berlaku menjelang satu keputusan laporan minggu ini terhadap program nuklear Iran oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di mana diplomat percaya ia akan menumpukan kepada dakwaan terhadap republik Islam itu memasang bahan nuklear dalam kepala peledak dan membangunkan program peluru berpandu.
Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam satu temu bual dengan akhbar Mesir, Al-Akhbar disiarkan semalam memberi amaran terhadap serangan tentera Iran dan sekali lagi menegaskan program nuklear Tehran adalah hanya untuk tujuan keamanan.

“Keupayaan Iran semakin meningkat dan semakin berkembang dan untuk sebab itu ia mampu untuk bersaing dengan dunia. Kini Israel dan Barat terutama Amerika Syarikat, bimbang keupayaan Iran dan peranannya,” kata Ahamdinejad kepada akhbar harian itu.

“Sebab itu, mereka cuba untuk mendapatkan sokongan antarabangsa bagi satu operasi tentera untuk menghentikan peranan (Iran). Mereka perlu tahu bahawa Iran tidak akan membenarkan mereka mengambil sebarang tindakan terhadap kami,” katanya.

Ahmadinejad menambah bahawa Washington mahu menyelamatkan entiti Zionis tetapi ia tidak mampu untuk melakukannya.
“Entiti ini (Israel) boleh dibandingkan dengan satu pemindahan buah pinggang dalam satu tubuh yang menolaknya. Ya, ia akan runtuh dan penamatnya semakin hampir,” katanya.

Serangan mulut Ahmadinejad terhadap Israel, gerbang musuh Iran, dibuat selepas Presiden Israel Shimon Peres memberi amaran dalam satu temubual televisyen pada hari Sabtu bahawa serangan ke atas Iran berkemungkinan besar akan dilakukan. Ia berikutan satu komen yang disiarkan pada hari Ahad oleh itu akhbar harian Israel, Hayom yang menyatakan: “Kemungkinan satu serangan ketenteraan terhadap Iran kini semakin hampir berbanding pilihan diplomatik.”

“Kita perlu terus tenang dan menolak tekanan supaya kita boleh memikirkan setiap alternatif,” kata Peres.

Merujuk kepada komen Peres, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberi amaran di Moscow dan menentang serangan tentera terhadap Iran.

“Campur tangan tentera hanya akan membawa kepada meningkatnya kematian dan kesengsaraan manusia. Jika dilakukan, ia adalah satu kesilapan besar,” kata Lavrov. – AFP
Berita Harian Online | Israel, AS cari sokongan dunia:

'via Blog this'

73 bayi dibuang dalam tempoh lapan bulan

Siasatan sebagai kes bunuh gagal bendung gejala

KUALA LUMPUR: Langkah pihak berkuasa menetapkan kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh sejak tahun lalu, masih belum dapat membendung jenayah itu apabila 73 kes buang bayi, termasuk yang dibunuh kejam, dicatatkan di seluruh negara sepanjang lapan bulan tahun ini.
Jumlah itu menjadikan keseluruhan 571 kes pembuangan serta ‘pembunuhan bayi’ direkodkan di seluruh negara sepanjang lima tahun lalu dengan 318 bayi disahkan mati, manakala 253 pula ditemui masih hidup.
Secara keseluruhannya, PDRM terbabit dari sudut penyiasatan yang kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 307 kanun sama, iaitu cubaan membunuh, namun usaha membendung gejala itu dari terus berlaku perlu membabitkan pelbagai pihak. - Mohd Bakri Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga Ogos lalu itu bagaimanapun tidak termasuk kes pembunuhan kejam membabitkan bayi perempuan yang mati dikelar di asrama sebuah sekolah di Betong, Sarawak serta seorang bayi perempuan ditemui mati dalam longkang selepas dicampak dari tingkat dua flet di Selayang, bulan lalu.

Malah, semakan Berita Harian mendapati, sekurang-kurangnya 10 lagi kes pembuangan bayi dilaporkan sepanjang dua bulan lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes tahun ini hampir menyamai 91 kes sepanjang 2010.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata daripada 73 kes buang bayi sejak Januari hingga Ogos lalu, 44 bayi ditemui mati, manakala 29 masih hidup.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes pembuangan bayi tahun ini, 26 daripadanya adalah lelaki, 30 perempuan selain 17 lagi tidak dapat dikenal pasti jantinanya kerana sudah reput.
“Secara keseluruhannya, PDRM terbabit dari sudut penyiasatan yang kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 307 kanun sama, iaitu cubaan membunuh, namun usaha membendung gejala itu dari terus berlaku perlu membabitkan pelbagai pihak,” katanya kepada Berita Harian.

Tahun lalu, Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati manakala kes cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dalam usaha menimbulkan rasa gerun di kalangan pihak terbabit.

Sejak 2007 hingga 2010, perangkaan kes pembuangan bayi menunjukkan graf secara turun naik, iaitu pada 2007 sebanyak 76 kes dicatatkan, namun ia meningkat secara mendadak pada 2008 dengan 102 kes, tetapi menurun semula kepada 79 kes tahun berikutnya, manakala 91 kes dicatatkan tahun lalu.

Sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Johor dan Sabah masing-masing 12, Kuala Lumpur serta Perak dengan sembilan dan tujuh kes, manakala tiada sebarang kes direkodkan di Perlis, Pahang dan Terengganu.
Berita Harian Online | 73 bayi dibuang dalam tempoh lapan bulan:

'via Blog this'

Remaja derita penyakit psoriasis



MOHD. TAUFIQ menderita kegatalan kulit di rumahnya di Taman Seri Jaya, Jerantut semalam.


JERANTUT - Kehidupan ceria seorang pelajar tingkatan tiga kini bertukar sengsara apabila dia secara tiba-tiba diserang penyakit kulit misteri dinamakan psoriasis.

Akibatnya, Mohd. Taufiq Asifaq Ibrahim, 15, mengalami simptom kulit mengelupas, kemerahan dan gatal, sekali gus menjejaskan rupa kulit anggota badannya.

Berikutan itu, dia hanya mampu duduk di rumah disebabkan rupa kulit anggota badannya semakin berubah dan berasa sakit apabila berpeluh dan memakai baju.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Jaya di sini, penyakit kulit remaja berkenaan telah merebak ke seluruh badan, muka, tangan dan kaki.

Bapanya, Ibrahim Hassan, 45, berkata, penyakit misteri anak sulungnya itu mula dikesan sejak bulan April tahun ini dan menjadi semakin teruk selepas anaknya itu selesai mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Ketika dia bangun tidur, saya mendapati seluruh tubuhnya mengelupas lalu saya membawanya ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) yang kemudiannya mengesahkan anak saya terkena penyakit psoriasis,'' katanya kepada pemberita di Taman Seri Jaya di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Kereta terbabas, dua beranak maut



KEADAAN kereta Honda Accord yang mengorbankan dua beranak selepas terbabas di Jalan Kuantan-Pekan semalam.


KUANTAN - Dua beranak yang dalam perjalanan pulang beraya terbunuh selepas kereta jenis Honda Accord dinaiki mereka bersama empat ahli keluarga lain terbabas di simpang Kampung Batu Tanah Merah dekat Jalan Kuantan -Pekan di sini petang semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta itu, Yusmawati Mat Yusof, 36, seorang pengusaha kad kahwin bersama anak bongsunya, Ahmad Rizqin Ramli, 2, beralamat di Taman Cenderawasih di sini.

Manakala empat lagi penumpang, juga dipercayai anak Yusmawati mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Bayi ditemui dalam tong sampah





SEREMBAN - Polis menahan seorang wanita Vietnam selepas dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan ke dalam sebuah tong sampah di tepi jalan di Apartmen Desa Jati dekat Nilai di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, bayi malang yang dibungkus dengan uniform sebuah kilang dan dimasukkan ke dalam beg plastik ditemui seorang wanita pada pukul 7.30 malam selepas terdengar bunyi seperti anak kucing di sebuah kedai tempat dia bekerja.

"Pekerja wanita itu pada mulanya menyangka bunyi anak kucing tetapi apabila dia menghampiri bunyi itu dia terkejut menjumpai bayi lelaki di dalam sebuah tong sampah di tepi jalan di taman itu," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Suami isteri diketuk penyamun



SARIPAH (kiri) ditemani anak bongsunya, Saidatulasma dirawat di Hospital Jerantut, Jerantut kelmarin.


JERANTUT - Ketika umat Islam sibuk membuat persediaan menyambut Aidiladha, tiga penyamun warga asing mengambil kesempatan merompak pasangan suami isteri sehingga menyebabkan mereka cedera di Kampung Sungai Putat dekat sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam, tiga penjenayah tidak berhati perut terbabit bukan sahaja mengebas wang tunai berjumlah RM1,600 dan sejumlah barang kemas bahkan mereka juga menghentak kepala pasangan itu dengan objek keras.

Akibat kejadian itu, Saripah Zakaria, 38, yang cacat penglihatan terpaksa menerima lima jahitan di kepala manakala suaminya, Abd. Aziz Mohamad, 45, cedera teruk di kepala sehingga hidung, telinga dan mulutnya mengeluarkan darah.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

25 cedera nahas bas masuk parit








JOHOR BAHRU - Bagai mati hidup semula. Demikian yang dialami 25 penumpang termasuk empat warga Kemboja apabila bas ekspres yang mereka naiki terjunam ke dalam parit berhampiran Plaza Tol Kulaijaya di Kilometer 19, Jalan Ayer Hitam di sini semalam.
Pengalaman menakutkan itu berlaku pada pukul 4.40 pagi apabila bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Taiping, Perak menuju ke Johor Bahru itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas.
Akibat kejadian itu, semua penumpang cedera dengan tiga daripada mereka parah. Tiga yang parah itu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita.
Pemandu bas dan pembantunya cedera ringan.
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'