Pages

Wednesday, May 28, 2014

Dua gadis sunti mangsa perkosaan 38 lelaki


KOTA BHARU 27 Mei - Seorang remaja perempuan berdepan pe­ngalaman menakutkan apabila dia dan rakannya mendakwa menjadi mangsa 'kenduri seks' 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini malam Selasa lalu.
Sebelum kejadian, mangsa ber­usia 15 tahun dikatakan menerima panggilan telefon daripada rakan perempuan yang mendakwa berada di Ketereh dan meminta mangsa membantu membawanya pulang ke rumah.
Sehubungan itu, mangsa keluar dari rumahnya yang terletak di Kuala Krai dengan menaiki motosikal bersama seorang sahabat lelaki.
Menurut sumber, sebaik sahaja tiba di Ketereh, mangsa dan sahabat lelakinya itu bertemu seorang pemuda sebelum dibawa ke sebuah rumah kayu kosong untuk mengambil rakan perempuannya itu.
"Sebelum sempat keluar dari rumah berkenaan, seorang lelaki berusia 40-an muncul dan menahan mereka berempat.
"Tidak lama selepas itu, lebih kurang 40 lelaki lain tiba dan memaksa mangsa dan rakan perempuannya masuk ke dalam bilik sebelum menampar dan merogol mereka berdua sehingga pengsan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, selepas mangsa sedar dan dibawa keluar dari rumah berkenaan, rakan lelakinya memberitahu, dia telah dipaksa menonton aksi mangsa dan rakannya dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki.
Katanya, mangsa hanya pulang ke rumahnya beberapa hari selepas kejadian tersebut sebelum menga­du sakit perut selain mengalami pen­darahan di kemaluannya. Ba­gaimanapun dia dimarahi ibu bapa­nya kerana keluar rumah tanpa pe­ngetahuan.
"Keluarganya sekadar menyuruh mangsa menelan ubat dan mi­num air berkarbonat untuk mencuci perut dan meredakan kesakitan namun sehingga kelmarin, kema­luan gadis itu masih berdarah menyebabkan dia dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan dan kecederaan pada kemaluan serta dubur mangsa. Mangsa seterusnya membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh semalam," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis sedang memburu suspek untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Ke­seksaan kerana merogol.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140528/je_05/Dua-gadis-sunti-mangsa-perkosaan-38-lelaki#ixzz32xfE5gQY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, May 27, 2014

Prayuth dapat restu Raja Bhumibol


PRAYUTH (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Tentera Diraja Thailand di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pemimpin junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha semalam mengisytiharkan beliau mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej untuk memerintah Thailand.
Justeru, beliau memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukannya.
Prayuth berkata, pilihan raya akan diadakan secepat mungkin tetapi beliau tidak menetapkan tempoh masa untuk mengembalikan semula kuasa politik kepada 67 juta rakyat Thailand selepas merampas kuasa Khamis lalu.
"Junta tentera akan bertindak tegas bagi mengelakkan berulangnya protes dan keganasan politik yang telah berlarutan selama beberapa bulan," kata Prayuth.
Beliau mendesak para penunjuk perasaan menghentikan perhimpunan yang boleh membahayakan diri dan keluarga mereka kerana undang-undang tentera yang kini berkuat kuasa amat ketat.
Prayuth menyekat kebebasan awam dan media, melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam dan memansuhkan sebahagian besar perlembagaan negara.
Beliau turut mengambil alih kuasa untuk menggubal undang-undang.
Dalam pada itu, junta tentera telah menahan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bersama kira-kira 200 pemimpin kerajaan, tokoh politik, pengkritik dan ahli akademik susulan rampasan kuasa tersebut.
Seorang komander tentera semalam menyatakan bahawa Yingluck masih berada di bawah tahanan tentera tetapi enggan mendedahkan lokasinya.
"Kami menjaganya (Yingluck). Beliau sihat. Beliau boleh memilih untuk tinggal di mana sahaja (di Thailand)," kata komander tersebut, Leftenan Jeneral Thirachai Nakwanich.
Sebelum ini Prayuth melantik diri sendiri sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Rampasan kuasa kali ini berlaku selepas Yingluck dipecat oleh mahkamah negara ini pada pertengahan bulan ini kerana menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32rl4qMSu 
Hakcipta terpelihara 

China larang kenderaan lama guna jalan raya



SEJUMLAH kenderaan menyeberangi Jambatan Guomao dalam cuaca berjerebu akibat pencemaran udara yang teruk di Beijing pada 29 Januari tahun lalu.


BEIJING - China merancang melarang lebih lima juta kenderaan lama daripada berada di jalan-jalan raya di seluruh negara itu tahun ini, kata pemerintah semalam.
Menurut pemerintah, larangan itu turut melibatkan 330,000 buah kereta di ibu kota China di sini.
Dasar baharu tersebut bertujuan untuk mengurangkan pencemaran udara, air dan tanah di negara itu yang semakin buruk.
Menurut dokumen mengenainya semalam, sebanyak 5.33 juta kenderaan 'label kuning' termasuk 330,000 buah kereta di sini dan 660,000 kereta di sekitar wilayah Hubei akan 'dimusnahkan' ekoran gagal memenuhi standard bahan api China.
Beberapa badan pemerhati alam sekitar tempatan berkata, asap kenderaan menyumbang sebanyak 31 peratus bilangan partikel berbahaya, PM2.5 yang mencemari udara di kota raya ini, manakala 22.4 peratus lagi berpunca daripada pembakaran arang batu.
Beijing merancang mengehadkan bilangan keseluruhan kereta di jalan-jalan raya di sini kepada 5.6 juta buah pada tahun ini dan cuma enam juta buah menjelang 2017.
- Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz32rkSo2TD 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat Mesir mengundi pilih Presiden baharu


SEORANG lelaki mencium pipi bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang membuang undi di sebuah pusat pengundian di Kaherah semalam.


KAHERAH - Berjuta-juta rakyat Mesir mula mengundi semalam untuk memilih Presiden baharu negara itu dalam pilihan raya yang dijangka dimenangi oleh bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi.
Pilihan raya yang berlangsung selama dua hari tersebut merupakan yang pertama sejak al-Sisi menggulingkan Presiden Mohamed Morsi pada 3 Julai tahun lalu.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan Morsi tidak menyertai pilihan raya berkenaan dan beberapa kumpulan revolusi juga bimbang al-Sisi bakal menjadi diktator terbaharu Mesir.
Bagaimanapun, al-Sisi, 59, yang ditentang oleh seorang pemimpin berhaluan kiri, Hamdeen Sabbahi dijangka menang mudah dalam pilihan raya tersebut.
Seramai 53 juta pengundi mendaftar mula mengundi dalam pilihan raya tersebut yang bermula seawal pukul 6 pagi waktu tempatan.
"Seluruh dunia kini memerhati Mesir dan bagaimana kita menulis sejarah serta masa depan negara ini," kata al-Sisi selepas membuang undi di sebuah pusat pembuangan undi di sini semalam.
Jika memenangi pilihan raya Presiden, beliau akan menjadi Presiden terbaharu yang mempunyai latar belakang ketenteraan.
Pada 3 Julai tahun lalu, beliau mengetuai tentera untuk merampas kuasa ke atas Morsi yang merupakan orang awam pertama dipilih menerusi pilihan raya untuk menjadi ketua negara.
Morsi kini ditahan dan didakwa melakukan pengintipan dan menyebabkan keganasan berlaku di Mesir.
- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz32rkAmxDC 
Hakcipta terpelihara 

Bela harimau di halaman rumah


JANICE Haley bermanja dengan dua ekor harimau Bengal peliharaannya di Florida, Amerika Syarikat. - AGENSI
FLORIDA 26 Mei - Penggemar haiwan biasanya memilih untuk mem­bela binatang peliharaan yang jinak.
Namun berbeza bagi seorang wanita dari Davenport, Florida, ke­rana dia memilih untuk memelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumahnya, malah turut memberi makan haiwan-haiwan itu dengan tangannya sendiri.
Bukan setakat itu, Janice Haley juga sering mengusap dan memeluk kucing besar tersebut yang mempunyai taring sepanjang 15 sentimeter dan berat 272 kilogram.
Seekor harimau berwarna putih peliharaannya juga akan tidur dan menghisap jari Haley.
Kehidupan Haley mula berubah 20 tahun lalu selepas dia mengambil kursus melatih harimau dan dua tahun selepas itu, dia menerima seekor anak harimau berusia dua bulan yang diberi nama Saber dan pada 2002, dia membeli seekor lagi harimau yang dinamakan Janda.
"Haiwan itu menganggap saya sebagai ibunya dan setakat yang saya tahu, mereka itu adalah anak-anak saya yang berkaki empat.
"Kami mempunyai satu ikatan yang amat istimewa. Kedua-dua harimau itu akan menggosok muka saya dan membiarkan saya mencium hidung mereka malah saya dan suami boleh memeluk dan membe­lai mereka," kata Haley sebagaimana lapor Mirror.co.uk.
Haley berkata, dia dan suaminya, David akan membelanjakan pendapatan mereka untuk membeli makanan Saber dan Janda yang akan diberi makan sebanyak tiga kali sehari, malah sangkar yang menempatkan harimau tersebut akan dibersihkan beberapa kali dalam sehari.
"Dalam tempoh seminggu, kami perlu mengembara selama satu jam ke kawasan utara Florida bagi mendapatkan daging kuda untuk Janda sebelum ke selatan untuk mendapatkan daging lembu buat Saber," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_10/Bela-harimau-di-halaman-rumah#ixzz32rfXAiav
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nasib lelaki didera


LONDON 26 Mei - Satu kajian yang dijalankan oleh badan amal ManKind Initiative bagi mempromosikan kempen #ViolenceIsVioence di laman sosial Twitter mendapati, faktor jantina pelaku memainkan peranan penting dalam mempengaruhi reaksi masyarakat terhadap kes keganasan rumah tangga.
Laman web Mail Online melaporkan, keputusan itu diperolehi selepas badan amal tersebut, melakukan kaji selidik dengan melakonkan kes keganasan rumah tangga di tempat awam melibatkan dua orang individu yang menyamar sebagai pasangan kekasih.
Dalam kaji selidik yang pertama, pelakon lelaki terbabit bertindak menyerang pelakon wanita berkenaan dengan melakukan perbuatan agresif terhadapnya.
Seperti dijangka, mereka yang menyaksikan kejadian itu segera memberi reaksi membantu wanita tersebut, dengan ada seorang wanita berkata: "Jika kamu tidak menghentikan kelakuan ini, kami tidak akan teragak-agak untuk menghubungi pihak polis".
Kaji selidik seterusnya dilakukan de­ngan menggunakan pelakon yang sama, namun pelakon wanita pula yang bertindak agresif terhadap pelakon lelaki.
Reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat begitu mengejutkan, tiada seorang pun pergi untuk membantu lelaki tersebut, sebaliknya mereka lebih gemar memerhatikan dan ketawa melihat kejadian itu.
Video tersebut dibuat selepas penyanyi rap terkenal, Jay-Z ditum­buk dan ditendang oleh adik isterinya iaitu Solange Knowles di New York baru-baru ini.
ManKind Initiative yang berpusat di Taunton, Somerset, England, ditubuhkan untuk memberi sokong­an kepada kaum lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Kajian yang dijalankan oleh ManKind Initiative mendapati, 38 peratus mangsa keganasan rumah tangga adalah lelaki


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_09/Nasib-lelaki-didera#ixzz32rfGJALv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sejarah pengenalan pesawat Air Force One


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (kiri) mendengar taklimat daripada pembantunya dalam pesawat Air Force One. - AGENSI
KEDATANGAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia pada bulan lalu, menarik perhatian penduduk negara dan dunia.
Bagaimanapun, di sebalik polisi-polisi yang dibincangkan dengan kedatangan Obama ke negara ini, perkara yang turut menjadi perhatian adalah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin dunia nombor satu itu terutama pesawatnya.
Pesawat yang dikenali sebagai Air Force One itu merupakan kenderaan tentera udara yang akan membawa Presiden AS ke mana-mana majlis atau acara rasmi.
Air Force One turut menjadi perhatian dan terkenal selepas menjadi tajuk dan plot utama dalam beberapa filem Hollywood.
Idea menyediakan pesawat khas untuk pemimpin dunia nombor satu itu timbul berdasarkan faktor keselamatan jika terus menaiki pesawat komersial pada 1943 oleh Tentera Udara AS.
Pada awalnya, sebuah pesawat C-87 Liberator Express diubah suai untuk kegunaan Presiden AS, namun ditolak oleh Perkhidmatan Rahsia ekoran rekod keselamatan kenderaan itu dan digantikan dengan pesawat C-54 Skymaster dan dikenali sebagai Sacred Cow.
Pesawat itu mula digunakan oleh Presiden, Franklin D. Roosevelt dan kemudian oleh Presiden, Harry S. Truman.
Tanda nama Air Force One mula digunakan selepas kejadian pada 1953 apabila pesawat membawa Presiden, Dwight D. Eisenhower memasuki ruang udara sama dengan pesawat komersial menggunakan tanda panggilan yang serupa.
Beberapa jenis pesawat lain telah digunakan sebagai Air Force One sejak kewujudannya termasuk dua pesawat Beoeing 707 pada 1960-an dan 1970-an.
Sejak 1990, armada pesawat khas Presiden terdiri daripada dua Boeing VC-25A dan Boeing 747-200B yang telah diubah suai.
Tentera Udara AS kini merancang untuk menggantikan dua pesawat VC-25A itu dengan tiga pesawat baharu menjelang 2017.
Franklin D. Roosevelt merupakan Presiden AS yang pertama menaiki pesawat ketika masih menyandang jawatan itu.
Pesawat khas pertama untuk penerbangan Presiden adalah pesawat amfibia Douglas Dolphin yang direka oleh tentera laut AS pada 1933 dan berpangkalan di pangkalan tentera laut Anacostia.
Douglas Dolphin diubah suai untuk membawa empat penumpang dan mempunyai ruang tidur kecil.
Bagaimanapun berdasarkan sejarah AS, Theodore Roosevelt merupakan pemimpin AS yang mula-mula menaiki pesawat, namun selepas beliau tidak lagi bergelar Presiden kerana digantikan oleh William Howard Taft.
Beliau menaiki pesawat dikenali sebagai Wright Flyer dalam satu karnival di Kinloch Field berdekatan St. Louis, Missouri pada 11 Oktober 1910.
Walaupun merupakan satu penerbangan pendek dan Roosevelt bukan lagi menyandang jawatan Presiden AS ketika itu, peristiwa tersebut menjadi permulaan untuk penerbangan pemimpin utama negara berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_08/Sejarah-pengenalan-pesawat-Air-Force-One#ixzz32reeZgNg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, May 26, 2014

Pilihan raya Mesir: Ulama fatwa haram undi


  • Poster Al-Sisi dan Hamdeen disiram cat sekali gus menyaksikan pilihan raya negara itu diboikot oleh rakyatPoster Al-Sisi dan Hamdeen disiram cat sekali gus menyaksikan pilihan raya negara itu diboikot oleh rakyat

ISTANBUL - TURKI. Lebih 200 ulama mengeluarkan fatwa, semalam yang mengharamkan mengundi dalam pilihan raya Presiden di Mesir, lapor Middle East Monitor.

Fatwa itu diumumkan dalam satu sidang media di Istanbul anjuran Jawatankuasa Penyelaras bagi Fatwa Negara Islam.

Sidang media diberi tajuk ‘Pengharaman iktiraf rampasan kuasa dan penglibatan dalam pengundian’.

Fatwa tersebut dikeluarkan berasaskan kepada prinsip Islam yang melarang sokongan kepada pemerintah yang zalim.

Penandatangan fatwa itu turut disertai Presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan ulama Kuwait, Nabil Al-Awadi.

Proses pengundian selama dua hari di Mesir telah bermula hari ini.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara bekas ketua tentera yang melakukan rampasan kuasa Julai lalu, Abdel Fatah Al-Sisi dan penyandang tempat kedua pilihan raya 2012, Hameen Sabahi.

Mammoth bersalut emas dilelong


LONDON 25 Mei - Artis seni kontemporari, Britain, Damien Hirst melelong rangka seekor gajah purba bersalut emas pada harga tinggi sebanyak 8.9 juta pound (RM48 juta), di sini baru-baru ini.
Arca rangka seekor mammoth berusia 10,000 tahun itu disalut dengan kepingan nipis emas seberat 24 karat.
Hirst menjualnya pada satu acara jualan lelong di Cannes, dan dia kemudian mendermakan wang hasil jualan lelong itu untuk tujuan kebajikan.
Portal berita Daily Mail melaporkan, rangka mammoth bersalut emas itu yang diletakkan di dalam kotak kaca gergasi berbingkai emas dibeli oleh seorang jutawan Britain.
Hasil seni bertajuk Gone But Not Forgotten itu dilelong pada Jumaat lalu pada satu majlis penuh glamor dikenali sebagai amfAR di Cannes yang dihadiri bintang-bintang popular seperti Leonardo DiCaprio, Kylie Minogue, Dita Von Teese, Adrien Brody, Paris Hilton dan Catherine Deneuve.
Arca emas itu dibeli oleh seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat, Leonard Blavatnik berasal dari Ukraine yang memiliki syarikat muzik Warner Music dan merupakan individu keempat terkaya di Britain.
Blavatnik masih tidak pasti apa yang akan dilakukannya dengan arca setinggi 3 meter itu.
Hirst yang merupakan artis paling kaya di dunia dengan kekayaan bernilai lebih 200 juta pound (RM1.08 bilion) telah membeli rangka gajah purba itu pada tahun lalu tanpa mendedahkan identiti pemilik asal arca tersebut.
Ia mengambil masa selama beberapa minggu untuk Hirst dan ahli kumpulan artis seninya menanggalkan setiap tulang rangka mammoth tersebut untuk dicat semula dengan salutan emas di studionya di Science Ltd, di Stroud, Gloucestershire, Britain sebelum memasang semula tulang-tulang gajah purba berkenaan.
Turut dilelong pada acara tersebut ialah satu tiket melancong ke angkasa lepas bersama aktor DiCaprio menaiki pesawat angkasa Virgin Galactic pada harga 567,000 pound (RM3.06 juta) dan sebuah lukisan cetakan gambar Marilyn Monroe karya artis seni Andy Warhol pada harga 283,000 pound (RM1.52 juta).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140526/lu_08/Mammoth-bersalut-emas-dilelong#ixzz32lrFv4Xz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, May 25, 2014

Wanita ke-2 tertua dunia sambut hari lahir ke-115


  • Jeralean Talley masih mampu bergerak dan berjalan walaupun usianya sudah mencecah 100 tahun.Jeralean Talley masih mampu bergerak dan berjalan walaupun usianya sudah mencecah 100 tahun.

MICHIGAN - AMERIKA SYARIKAT.  Wanita kedua tertua di dunia, menyambut hari lahirnya yang ke-115,  semalam.

Menurut Kumpulan Penyelidik Gerontologi, Jeralean Talley dilahirkan pada 23 Mei 1899 merupakan yang kedua tertua selepas Misao Okawa yang berumur 116 tahun.

Dilahirkan di Montrose, Georgia, beliau berpindah ke Michigan pada tahun 1935 dan mempunyai seorang anak dengan suaminya, Alfred, yang meninggal dunia pada tahun 1988.

Menurut sumber yang dipetik dari BBC, anak perempuannya Thelma Holloway, 76, tinggal bersama ibunya di Inkster, Wayne County, dan tiga lagi generasi keluarganya tinggal berhampiran dengan kediamannya.

Ditanya tentang sambutan hari lahirnya, Talley bercadang untuk menyambut majlis tersebut bersama keluarga dan rakan-rakannya di sebuah gereja pada hari esok.

Walaupun usianya menginjak melepasi angka 100 tahun, Talley masih boleh berjalan dengan bantuan tongkat.

Coklat Cadbury dikesan DNA babi


Seorang petugas sebuah pasar raya menarik semula penjualan coklat Cadbury yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan mengandungi DNA babi di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR 24 Mei - Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil daripada tiga sampel coklat susu Cadbury yang telah diambil untuk analisis bagi tujuan pemantauan.
"Keputusan analisis mendapati dua sampel dikesan mengandungi DNA babi iaitu coklat susu dengan kacang hazel, nombor kelompok 200813M01H I2 yang tarikh luput pada 13 November 2014 dan coklat susu dengan buah badam, nombor kelompok 221013N01R I1 yang tarikh luput pada 15 Januari 2015.
"Satu lagi sampel coklat susu Cadbury (Cadbury Dairy Milk Chocolate) tidak dikesan DNA babi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihak pengeluar produk berkaitan, Cadbury Confectionary Malaysia Sdn. Bhd. memberi jaminan akan menarik balik produk terbabit daripada pasaran dengan serta-merta.
"Kementerian menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya.
"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada kami menerusi laman web Bahagian Ke­selamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsg.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq," ujarnya.
Sementara itu, Cadbury Malaysia dalam laman Facebooknya menyatakan, pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan menarik balik dua produk berkenaan.
"Bagaimanapun, kami kini sedang memantau pembekalan produk tersebut secara menyeluruh bagi memastikan standard kualiti mencapai tahap ditetapkan.
"Kami memberi jaminan kepada pengguna bahawa semua coklat Cadbury yang dikeluarkan di Malaysia disahkan halal oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), termasuk lokasi dan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk.
"Cadbury Malaysia menggunakan prosedur yang ketat dalam memastikan semua produk kami mempunyai standard keselamatan dan kualiti yang tinggi," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140525/dn_07/Coklat-Cadbury-dikesan-DNA-babi#ixzz32fzur5Dk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Sanggul' daripada rambut pusaka


PEMAKAIAN rambut pusaka ini juga sebagai tanda menghormati roh nenek moyang mereka.
SIAPA sangka, golongan remaja perempuan dari keturunan Miao yang tinggal di daerah Guizhou, barat daya China memiliki tradisi unik iaitu menjadikan rambut nenek moyang mereka yang sudah meninggal dunia sebagai sanggul yang merupakan lambang perhiasan peribadi.
Secara turun temurun, sejak dari kanak-kanak, mereka diajar untuk tidak membuang rambut yang gugur apabila disikat tetapi sebaliknya mengumpul dan menyimpan rambut tersebut bagi dijadikan perhiasan kepala untuk dipakai dalam upacara perayaan tertentu.
Malah, mereka turut menggunakan tanduk haiwan bagi membentuk sanggul tersebut supaya kelihatan lebih kemas. Bagi pembaca .com, bukan rambut sahaja yang diwarisi, tetapi setiap benang dan aksesori yang digunakan untuk upacara perayaan itu juga menjadi tradisi yang diamalkan sehingga kini.
Justeru, tidak hairanlah, apa yang dihias oleh mereka sudah berusia beratus-ratus tahun. Mengikut kepercayaan kaum Miao, tradisi membuat sanggul ini dikatakan sebagai satu bentuk penghormatan kepada nenek moyang yang telah meninggal dunia.
Meskipun, minoriti Miao hanya memiliki lebih kurang 5,000 orang sahaja di dalam negara yang memiliki populasi penduduk 1.3 bilion di dunia, tradisi ini tetap diteruskan dan bagaikan 'tidak lapuk ditenggelami zaman'.
Demi memastikan rambut pusaka tersebut sentiasa berkilat dan sihat, setiap gumpalan rambut itu akan dicelup untuk kerja-kerja pembersihan dan dikendalikan secara berhati-hati.
Pokoknya, apa yang membuatkan tradisi ini kelihatan unik adalah perhiasan rambut ini akan diwarisi secara turun temurun oleh anak perempuan daripada ibu mereka sejak mereka kecil lagi.
Seorang pakar budaya di China, Shu Tu, 27, berkata, rambut yang digunakan dalam majlis perkahwinan dan upacara perayaan secara tradisinya turut dilakukan oleh golongan lelaki tetapi semakin kurang diamalkan masa kini.
"Tradisi ini tetap berterusan dalam kalangan anak perempuan. Rambut yang diperoleh itu bukan sahaja terhad daripada nenek dan ibu mereka, malah turut melibatkan rambut nenek moyang mereka daripada salasilah keturunan yang lebih awal dan kemudiannya ditenun bersama.
"Pada pandangan saya, ia mungkin berasal daripada pemakaian tanduk lembu yang dianggap haiwan suci pada zaman dahulu oleh penduduk luar bandar. Tetapi kini rambut itu bukan sahaja digunakan untuk menghias tanduk tersebut malah menjadi simbol penghormatan terhadap nenek moyang," katanya.
Tambahnya, bagi sesetengah orang, sejarah mereka tertulis di dalam buku tetapi bagi masyarakat Miao, sejarah mereka terletak di atas kepala.- DHIYA'ZULHILMI DAUd


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_01/Sanggul-daripada-rambut-pusaka#ixzz32fyCEWmQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Drone diguna hantar pizza


Syarikat makanan segera Francesco’s Pizzeria menghantar pesanan kepada pelanggan menggunakan drone. - AGENSI
MUMBAI 24 Mei - Sebuah restoran rantaian makanan segera di sini, berjaya menghantar pesanan kepada pelanggan menggunakan sebuah pesawat tanpa pemandu atau drone, baru-baru ini.
Laman web Daily Mirror melaporkan, Ketua Eksekutif Francesco's Pizzeria, Mikhel Rajani mendakwa mereka merupakan syarikat makanan segera pertama di dunia menggunakan perkhidmatan tersebut.
"Sebelum ini semua orang pernah membaca tentang syarikat dalam talian iaitu Amazon yang merancang untuk menggunakan drone bagi menghantar pesanan kepada pelanggan mereka.
"Kami telah mendahului mereka apabila berjaya menghantar pizza kepada pelanggan kami yang tinggal dalam jarak 1.5 kilometer pada 11 Mei lalu, ... ia merupakan satu kejayaan yang membanggakan," jelas Mikhel.
Menurutnya, drone berbentuk empat segi dan berharga 1,100 pound (RM5,944) itu, boleh membawa pesanan dalam pelbagai situasi, sama ada di atas darat atau pada kedudukan yang tinggi.
Bagaimanapun, ujarnya, drone berkenaan hanya boleh terbang dalam lingkungan kawasan 8 kilometer sahaja, sebelum baterinya kehabisan.
"Saya berharap pihak berkuasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat akan dapat membantu kami menambah baik drone ini pada tahun depan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140525/lu_06/Drone-diguna-hantar-pizza#ixzz32fxXt900
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penumpang tak bayar tambang dicat biru


Dua orang penumpang teksi yang gagal membayar tambang diwarnakan dengan cat berwarna biru. - AGENSI
NIZHNY NOVGOROD, Rusia 24 Mei - Pemandu teksi di sini, mempunyai cara tersendiri bagi menghukum penumpang yang gagal membayar tambang perkhidmatan iaitu dengan mewarnakan tubuh badan mereka dengan cat berwarna biru.
Laman web Oddity Central melaporkan, idea tersebut tercetus daripada watak filem animasi popular Avatar, selepas kebanyakan pemandu teksi terbabit sering berhadapan dengan penumpang yang suka merungut tentang tambang teksi dan enggan membayarnya.
"Kami sering membawa mereka yang enggan membayar caj perkhidmatan ini ke balai polis, namun mereka kemudiannya dibebaskan.
"Jadi kami mengambil keputusan untuk menghukum pelanggan ini dengan memaksa mereka membuka baju dan mengecat tubuh badan mereka sebelum meninggalkan mereka di tengah-tengah jalan," kata seorang pemandu teksi.
Bagi kebanyakan pemandu teksi, tindakan ini disifatkan sebagai berperikemanusiaan dan tidak menyalahi undang-undang.
Pihak polis juga tidak mengambil sebarang tindakan di atas perbuatan tersebut, walaupun rakaman video tentang 'penumpang Avatar' ini sudah tersebar secara meluas di Internet.
Namun, bagi sesetengah peguam, mereka menyifatkan perbuatan pemandu teksi itu boleh diumpamakan seperti samseng dan ia menyalahi undang-undang.
Tindakan boleh diambil jika terdapat mangsa yang mahu memfailkan kes berkenaan ke mahkamah, kata mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140525/lu_05/Penumpang-tak-bayar-tambang-dicat-biru#ixzz32fvxM3AE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, May 24, 2014

Bawa RM30 lari ke Lombok


Panggilan jam 7.30 pagi, Selasa lalu tambah merunsingkan Tijah Paksa, 59, memikirkan keselamatan anaknya, Sanija Jusoh, 23, yang dipercayai hidup dalam kesusahan.
Tijah berkata, anaknya menangis memberitahu ingin pulang ke kampung, tetapi tidak tahu cara dan berjanji menghubunginya semula.

“Sebelum menamatkan perbualan, Sanija beritahu mahu memujuk keluarga teman lelakinya Parhan Jayadi, 29, supaya menghantarnya pulang ke kampung di Ladang Sentosa, Tepuh, di sini, dan berjanji menghubungi saya semula.
Foto
CHE Mansur menunjukkan gambar Sanija sambil mendengar aduan Tijah.

“Namun, sehingga kini belum ada panggilan telefon daripadanya. Saya cuba menghubunginya pada jam 9.30 malam Selasa lalu, namun telefon bimbitnya dimatikan.

“Naluri saya kuat mengatakan dia kini dalam kesusahan apatah lagi ketika menghubungi saya, dia hanya ada RM30 saja,” katanya yang ditemui ketika membuat aduan di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di sini, semalam.

Menurut Tijah, dia menyedari anak kedua daripada empat beradik itu meninggalkan rumah selepas tidak pulang dari bekerja di ladang sehingga jam 6.30 petang Sabtu lalu. 

Katanya, dia tidak mengesyaki anaknya mahu meninggalkan rumah kerana ketika keluar pada sebelah pagi, Sanija berpakaian kerja dan bersalaman seperti kebiasaan.

“Apabila dia tidak pulang sehingga jam 6.30 petang, saya menyuruh anak lelaki, Zamani, 15, mencarinya di ladang tetapi gagal sebelum diberitahu pekerja ladang itu anak saya tidak datang bekerja, malah mengambil cuti sakit untuk esok (Ahad).

“Saya mengetahui Sanija ke Lombok bersama teman lelakinya selepas menerima SMS daripadanya memberitahu berada bersama keluarga Parhan di Lombok,” katanya yang terkejut dengan berita berkenaan.

Sejak kehilangan anaknya itu, Tijah yang bekerja sebagai buruh di kilang bata, Lingai, Tepuh, di sini, sentiasa menangis mengenangkan nasib anaknya 

“Saya sedia memaafkannya dan Parhan serta menerima sekiranya mereka sudah berkahwin. Jika belum berkahwin, saya sedia berbincang dan merestuinya tetapi biarlah perkahwinan itu dilakukan di sini,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Teluk Pasu Che Mansur Salleh berkata, pihaknya akan berusaha menyelesaikan masalah Tijah dan membawa anaknya pulang.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/24

Pukul isteri sampai mati sebab salah masak


NOOR HUSSEIN


NEW YORK - Seorang warga Pakistan dibicarakan pada Rabu lalu selepas dia memukul isterinya sehingga mati dengan menggunakan kayu selepas dia menyediakan menu makan malam yang tidak dimintanya.
Bagaimanapun, warga Pakistan itu, Noor Hussein yang berusia 75 tahun menyifatkan dia mempunyai hak untuk melakukan perbuatan itu bagi mendisiplinkan isterinya.
Dia membunuh isterinya di apartmen mereka yang terletak di Brooklyn pada tahun 2011
Defendan meminta isterinya untuk memasak daging kambing sebaliknya isterinya berkata, dia telah menyediakan hidangan sayur-sayuran.
Tidak puas hati dengan hidangan tersebut, mereka bertengkar menyebabkan isterinya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suaminya itu.
Ekoran itu, Hussein berang dan mengambil sebatang kayu dan memukul tangan dan mulut isterinya sehingga mangsa mati.
Peguam bela Hussein, Julie Clark berkata, suspek mengakui bersalah memukul isterinya.
Namun, Hussein memberitahu di negara asalnya, memukul isteri merupakan amalan biasa.
Penolong Peguam Negeri, Sabeeha Nadni berkata, jiran-jiran akan memberikan keterangan bahawa isteri Hussein yang berusia 66 tahun itu pernah didera oleh suaminya.
Kes itu akan disambung semula. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz32aEZ9Z8n 
Hakcipta terpelihara 

Penyakit 'Sleeping Beauty' di Rusia


MOSCOW 23 Mei - Penduduk sebuah kampung di Rusia dilanda penyakit misteri yang menyebabkan mereka tertidur secara tiba-tiba selama enam hari, sekali gus menimbulkan kebingungan dalam kalangan saintis untuk mencari punca sebenar sindrom itu.
Sindrom yang dikenali sebagai ‘Sleeping Beauty’ itu mula dikesan berlaku pada musim bunga tahun lalu apabila lebih 60 orang penduduk Kampung Kalachi dan pekan Krasnogorsk dekat Moscow dilapor menghidap penyakit misteri tersebut.
Antara tanda-tanda yang dialami pesakit ialah rasa lemah-lemah badan, letih, mengantuk, hilang arah, hilang ingatan dan berkhayal.
Portal berita inserbia.com memetik seorang mangsa yang dikenali sebagai Lyubov Belkova berkata, dia ditimpa penyakit itu ketika sedang menjual pakaian di pasar tempatan pada awal tahun ini.
Dua bulan kemudian, seorang lagi wanita di pasar Lubov turut tertidur secara tiba-tiba sebelum satu lagi kejadian dilaporkan apabila semua wanita di sebuah pasar tempatan tertidur akibat sindrom yang sama, termasuk pengawal keselamatan.
Malah penyakit ‘Sleeping Beauty’ tersebut tidak hanya menyerang penduduk kampung, tetapi juga orang luar seperti yang berlaku kepada seorang wanita, Lexey Gomwent, 30, ketika dia melawat ibu mertuanya di Kalachi.
Ekoran misteri itu, penduduk kampung itu dilanda kebimbangan terhadap beberapa kes orang yang disyaki meninggal dunia akibat ditanam hidup-hidup, sedangkan mangsa hanya mengalami sindrom ‘Sleeping Beauty’.
Ramai pakar perubatan daripada pelbagai jabatan termasuk pakar toksik, radiologi, neurologi dan alam sekitar melakukan kajian terhadap misteri berkenaan, namun gagal menemukan punca sebenar penyakit itu.
Kesemua pakar bersetuju bahawa penduduk di situ dilanda penyakit psikologi sebagai penjelasan kepada misteri berkenaan.
Ada laporan mendakwa, sindrom itu berlaku disebabkan ujian senjata rahsia yang pernah dilakukan pada zaman era Soviet, selain lokasi kampung dan pekan tersebut yang terletak dekat lombong uranium.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_06/Penyakit-Sleeping-Beauty-di-Rusia#ixzz32a88xlLo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, May 23, 2014

Zoo tawar urutan ular sawa Burma


  • Zoo tawar urutan ular sawa BurmaSetiap ular diberi makan sebanyak 10 ekor ayam atau lebih sebelum sesi urutan. - Foto Caters News Agency

CEBU - FILIPINA. Sebuah zoo di Filipina menawarkan urutan badan secara percuma kepada pengunjungnya, lapor portal Daily Mail.

Meskipun percuma, pengunjung yang mahu menikmatinya perlu mempunyai keberanian tinggi untuk mencubanya kerana mereka akan 'diurut' oleh empat ekor ular sawa Burma yang sangat besar.

Ular sawa yang diberi nama Michelle, Walter, EJ dan Daniel akan dibawa keluar dari sangkar dan diletakkan atas badan seorang pengunjung yang berbaring di pondok buluh berdekatan pintu masuk zoo untuk satu-satu masa.

Sesi selama 15 minit itu akan diperhatikan penjaga zoo.

Namun aktiviti ini bukan untuk orang yang menghidapi lemah jantung kerana ular sawa sepanjang 5 meter itu boleh membelit mangsa sehingga mati.

Malah tiada jalan keluar apabila sesi 'rawatan' itu sudah bermula.

Pertandingan dihentikan kerana tiga matador cedera parah



AKSI Mora ditanduk seekor lembu jantan di gelanggang Las Ventas, Madrid pada Selasa lalu.- AFP


MADRID, Sepanyol - Buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun, satu festival laga lembu yang dikenali sebagai Festival San Isidro terpaksa ditangguhkan selepas tiga orang matador cedera ditanduk haiwan itu Selasa lalu.
Pada pertandingan itu, matador pertama, David Mora terpaksa diusung keluar akibat cedera parah selepas berdepan dengan seekor lembu jantan seberat 532 kilogram (kg).
Mora terpaksa dimasukkan darah dalam pembedahan selama dua jam akibat ditanduk lembu tersebut.
Dia kemudiannya diganti dengan matador kedua, Antonio Nazare yang berjaya membunuh lembu tersebut dengan sebilah pedang.
Bagaimanapun, Nazare pula cedera dan gagal menewaskan seekor lagi lembu seberat 537kg dan terpaksa diganti dengan seorang lagi matador, Saúl Jiménez Fortes.
Walaupun Fortes berjaya membunuh lembu berkenaan tetapi dia turut cedera akibat ditanduk dan terpaksa dihantar ke hospital.
Kejadian tersebut menyebabkan festival di gelanggang Las Ventas itu terpaksa dibatalkan kerana tiada lagi matador yang boleh berlawan dengan haiwan tersebut.
Pada festival yang berlangsung selama satu bulan itu, matador-matador akan bertarung dengan seekor lembu jantan yang akhirnya akan mati dibunuh mereka.
Pembatalan pertandingan tersebut merupakan yang pertama sejak tahun 1979 dan yang ketiga sepanjang 68 tahun festival itu berlangsung. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz32UOjMvJj 
Hakcipta terpelihara 

Tentera rampas kuasa di Thailand


SEJUMLAH penunjuk perasaan membawa barang-barang mereka kembali ke rumah mereka dengan menaiki bas di Plaza Diraja, Bangkok semalam.- REUTERS


BANGKOK - Panglima Tentera Thailand, Jeneral Payuth Chan-O-Cha mengambil alih kuasa di Thailand dalam satu rampasan kuasa tentera semalam.
Beliau menggulingkan sebuah kerajaan demokrasi sekali gus mencetuskan situasi tidak menentu selepas Thailand dilanda konflik politik selama beberapa bulan.
Pengumuman rampasan kuasa kali ke-12 itu dibuat oleh Prayuth dalam satu ucapan di televisyen.
Jeneral berusia 60 tahun itu berkata, angkatan tentera terpaksa bertindak untuk memulihkan kestabilan di negara rantau Asia Tenggara tersebut.
"Dalam usaha agar negara segera kembali normal, Jawatankuasa Pengaman Kebangsaan yang terdiri daripada tentera darat, angkatan bersenjata Thai, Tentera Udara Diraja dan polis merampas kuasa berkuat kuasa pada pukul 4.30 petang, 22 Mei ini," kata Prayuth.
Tentera negara ini turut menggantung perlembagaan negara.
Kuasa pemerintahan kini dipegang oleh jawatankuasa tersebut yang diketuai sendiri oleh Prayuth.
Beberapa saksi berkata, mereka melihat askar-askar mengiringi barisan pemimpin dua parti politik utama Thailand dan pergerakan masing-masing keluar meninggalkan lokasi rundingan yang diadakan oleh Prayuth.
Pertemuan tertutup tersebut yang bertempat di sini bertujuan untuk menyelesaikan permusuhan antara pihak-pihak berkenaan yang berlaku sejak enam bulan lalu.
Namun, masih tidak jelas sama ada mereka telah ditahan secara rasmi atau sebaliknya.
"Keganasan di Bangkok dan banyak lokasi lain di Thailand telah meragut nyawa penduduk tidak berdosa dan menyebabkan kemusnahan harta benda dan ia dipercayai akan menjadi lebih buruk," kata Prayuth ketika menjelaskan punca beliau merampas kuasa.
Jeneral tersebut bagaimanapun tidak menyebut tempoh tentera mengambil alih kuasa di Thailand.
Terdapat 18 rampasan kuasa dan percubaan merampas kuasa melibatkan tentera negara ini sejak tahun 1932.
Rampasan kuasa kali ini berlaku selepas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dipecat oleh mahkamah negara ini pada pertengahan bulan ini kerana menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan.
Kuasa pentadbiran kemudian diserahkan kepada Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan.
Krisis politik Thailand menyaksikan permusuhan antara golongan elit diraja di sini dan penyokong mereka dengan keluarga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang juga abang Yingluck.
Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 dan kini tinggal dalam buangan di luar negara.
Beliau bagaimanapun masih menerima sokongan kuat terutamanya daripada penduduk di utara Thailand.
Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam protes jalanan di Thailand ekoran konflik tersebut sejak enam bulan lalu.
Protes jalanan itu menyebabkan beberapa lokasi di Bangkok menjadi medan perkhemahan para penunjuk perasaan antikerajaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32UOQiAhr 
Hakcipta terpelihara 

2,000 kereta api ditempah tidak muat masuki stesen


Gambar fail bertarikh 29 April lalu, menunjukkan kereta api laju baharu ditempah Syarikat Kereta Api Nasional Perancis, semasa majlis pengenalan di stesen Vaugirard di Paris. - AFP
PARIS 22 Mei - Syarikat Kereta api Nasional Perancis (SNCF) dikritik hebat atas kesilapan menempah 2,000 kereta api elektrik laju yang terlalu besar untuk beroperasi di kebanyakan stesen di negara ini.
Menurut laporan portal berita Mirror.co.uk, kesilapan tersebut berlaku apabila syarikat Rangkaian Kereta Api Perancis (RFF) memberi bentuk platform yang dibina kurang daripada 30 tahun lalu kepada SNCF, sedangkan kebanyakan stesen kereta api di negara ini dibina lebih 50 tahun lalu.
Maklumat yang salah itu menyebabkan SNCF keliru untuk mengira perbezaan saiz lebar antara kedua-dua platform yang mempunyai saiz lebar yang berlainan.
Jurucakap RFF, Christophe Piednoe berkata, masalah tersebut dikesan selepas pembelian dibuat dan pihaknya memohon maaf atas kesilapan berkenaan.
Kesilapan itu, sekali gus meningkatkan lagi kos untuk kerja-kerja membesarkan kira-kira 1,200 platform stesen kereta api bagi membolehkan semua unit kereta api yang ditempah beroperasi
Sebanyak 65 juta pound (RM351 juta pound) telah digunakan untuk kerja pembinaan di beberapa buah stesen tetapi masih terdapat beratus-ratus kemudahan yang perlu diubah suai.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Perancis, Frederic Cuvillier menyalahkan ‘sistem kereta api yang tidak masuk akal’ sebagai punca masalah terbabit.
Apabila operator kereta api (RFF) dipisahkan daripada pengguna (SNCF), masalah ini yang akan timbul," katanya merujuk kepada keputusan kerajaan pada 1997 untuk memisahkan perkhidmatan itu kepada dua syarikat terbabit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140523/lu_06/2000-kereta-api-ditempah-tidak-muat-masuki-stesen#ixzz32UNsSV00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, May 21, 2014

Selamat tinggal Spider-Man


Ketika keranda berisi mayat Brayden Denton dibawa ke tanah perkuburan, enam pengusung memakai kostum seperti Spider-Man, Thor, Hulk, Superman, Iron Man dan Batman bagi mengenang minat mendalam ditunjuk kanak-kanak terbabit ketika hayatnya.

Menurut ibu Denton, Staci, melihat mereka membawa keranda Denton, dia berpendapat pasti anaknya sangat teruja kerana memang itulah dunia yang diimpikannya.
“Sejak April tahun lalu Denton menghidapi kanser otak dikenali Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DPIG).

“Sejak itu dia berjuang untuk sembuh dan menjalani 30 sesi rawatan radiasi,” katanya.

Sepanjang waktu itu, kata Staci, Denton, 5, mengekalkan minatnya terhadap watak adiwira terutama Spider-Man.
Foto
KERANDA Denton dibawa dari rumahnya ke tanah perkuburan.
Menghargai minat ditunjuk Denton, mereka turut menghadiahkan kek hari lahir dengan tema Spider-Man kepada budak terbabit.

“Walaupun Denton teramat lemah, dia tidak pernah melepaskan peluang menonton Spider-Man,” katanya.
Idea menggunakan watak adiwira untuk majlis pengebumian Denton diilhami ayahnya selepas budak terbabit meninggal dunia pada 8 Mei lalu.

Staci yang memakai baju Spider-Man ketika ditemui berkata, di mata Denton, seseorang yang berpakaian kemas bukanlah individu memakai sut dan tali leher. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

Tuesday, May 20, 2014

Obor-obor gergasi

Obor-obor gergasi

PESISIR pantai Portland di Oregon, Amerika Syarikat gempar apabila bangkai puluhan obor-obor bersaiz gergasi muncul di daratan perairan itu.

Persatuan Pemuliharaan Marin Richard Harrington berkata, perkara ini berlaku kerana perubahan cuaca panas menjangkau suhu melebihi 20 darjah Celsius sepanjang bulan ini.

“Obor-obor yang biasa di temui di  Atlantik atau Mediterranean ini tidak merbahaya tetapi kami menasihati orang awam supaya tidak menyentuhnya,” katanya kepada Daily Mail.

Difahamkan, obor-obor ini mempunyai purata diameter tiga dan dua meter dari spesies Barrel atau Rhizostoma pulmo.

Spesies obor-obor ini banyak ditemui di timur Atlantik Utara, Antartik dan laut Mediterranean dengan menjadikan penyu belimbing sebagai mangsa.

Pengemis profesional dikehendaki


Chengdu: Seorang lelaki dilihat berkeliaran bandar Dazhou dan menimbulkan kehairanan apabila dia dilaporkan mencari sesiapa yang berminat untuk belajar mengemis.

Untuk menarik perhatian perantis, lelaki terbabit turut menawarkan kemudahan bilik penginapan dan bonus tahunan.


Beberapa gambar dimuat naik di Internet menunjukkan lelaki terbabit berbaring di jalan bersama papan tanda bertulis: “Merekrut pengemis profesional.” Dia juga menceritakan pengalamannya di papan tanda berkenaan.



“Saya menamatkan pengajian di pusat latihan profesional di Shanghai pada 2011. Sejak itu saya mengemis secara solo dan kini saya mencari rakan sekerja untuk mengemis di seluruh negara,” tulisnya.


Beberapa lagi jurulatih pengemis turut dilihat mencari “pelajar baru” di sekitar wilayah Sichuan dengan menawarkan makanan dan tempat tinggal serta bonus akhir tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

Frozen jadi fenomena di seluruh dunia


Gaun biru yang dipakai oleh karakter Elsa dalam filem animasi, Frozen mendapat permintaan tinggi di United Kingdom. - AGENSI
LONDON 19 Mei - Kegilaan orang ramai terhadap filem animasi, Frozen menyebabkan syarikat Walt Disney terpaksa mengeksport lebih banyak barangan permainan filem itu ke negara ini, menurut laporan laman web, Mail Online.
Ini berikutan kejayaan filem animasi tersebut yang amat terkenal dalam kalangan kanak-kanak serta ibu bapa yang turut menggemari barangan keluaran Disney termasuklah gaun biru milik karakter Elsa, serta pakaian Anna.
Dilaporkan, barangan permainan berkenaan mendapat permintaan tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sehingga menyebabkan stok barangan semakin berkurangan.
Disney dikatakan terpaksa menetapkan kuota bagi beberapa barangan popular untuk mengurangkan pengeluaran, manakala pembeli melalui laman web Disney hanya boleh mendapatkan satu gaun Elsa berharga 15 pound (RM81) serta patung Anna dalam setiap pembelian.
Menurut jurucakap Disney UK, filem Frozen mendapat sambutan hangat di negara ini.
“Kami amat teruja apabila penonton menyukai karakter serta jalan cerita filem itu dan kami berusaha keras untuk memenuhi permintaan pelanggan secepat mungkin," katanya.
Dalam laman web Mumsnet, ramai ahlinya berkongsi maklumat di mana mereka boleh mendapatkan gaun Elsa, manakala di laman web, eBay, penjual barangan Frozen mampu mendapat keuntungan mencecah 600 pound (RM3,249.50).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140520/lu_13/Frozen-jadi-fenomena-di-seluruh-dunia#ixzz32Ck53okQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Aksi penunggang motosikal Vietnam jadi bidikan lensa kamera


Aksi seorang penunggang motosikal yang membawa tong plastik kosong sempat dirakam Hans Kemp di Vietnam. - AGENSI
HO CHI MINH 19 Mei - Seorang jurugambar Jerman, Hans Kemp merakamkan budaya unik masyarakat Vietnam yang menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama untuk mengangkut barangan di negara ini.
Bagi Kemp yang mula melawat Vietnam pada 1991 dan kemudian menetap di bandar ini sejak 2005, aksi itu menarik minatnya untuk diabadikan sebagai koleksi peribadi.
“Saya sungguh tidak mempercayai apa yang saya lihat pada mulanya. Hampir keseluruhan keluarga seisi rumah di sini menggunakan sebuah motosikal, dari lelaki bersut sehingga ke gadis yang siap bersolek," katanya seperti yang dilaporkan Mail Online.
Antara gambar yang sempat dirakamkannya adalah aksi penduduk Vietnam menunggang motosikal yang sarat dengan muatan tong air plastik, ayam dan itik hidup, ikan gergasi, bunga segar, telur serta cermin besar.
Bermula daripada minat merakamkan gambar, Kemp kemudian mengambil keputusan menetap di Ho Chi Minh dari Hong Kong pada 1995 dan pada tahun 2000 seorang pelanggan telah mengupahnya mengambil gambar beberapa motosikal tempatan.
Akhirnya, tugasan yang diberikan pada awalnya itu kemudian mula menjadi satu projek kegemaran dan selama dua tahun Kemp meluangkan masa terluangnya dengan mengambil gambar motosikal merentasi seluruh negara di Vietnam.
Bagi merakamkan aksi motosikal yang sedang bergerak, Kemp akan membonceng di tempat duduk belakang sebuh motosikal Honda Super Cub.
Pada tahun 2005, Kemp menerbitkan sebuah buku bertajuk Bikes Of Burden yang kemudian menjadi buku bergambar yang popular.
Dia baru-baru ini telah melawat Vietnam sekali lagi bagi merakam lebih banyak gambar untuk penerbitan semula bukunya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140520/lu_11/Aksi-penunggang-motosikal-Vietnam-jadi-bidikan-lensa-kamera#ixzz32CjWoQvH
© Utusan Melayu (M) Bhd