KEDATANGAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia pada bulan lalu, menarik perhatian penduduk negara dan dunia.
Bagaimanapun, di sebalik polisi-polisi yang dibincangkan dengan kedatangan Obama ke negara ini, perkara yang turut menjadi perhatian adalah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin dunia nombor satu itu terutama pesawatnya.
Pesawat yang dikenali sebagai Air Force One itu merupakan kenderaan tentera udara yang akan membawa Presiden AS ke mana-mana majlis atau acara rasmi.
Air Force One turut menjadi perhatian dan terkenal selepas menjadi tajuk dan plot utama dalam beberapa filem Hollywood.
Idea menyediakan pesawat khas untuk pemimpin dunia nombor satu itu timbul berdasarkan faktor keselamatan jika terus menaiki pesawat komersial pada 1943 oleh Tentera Udara AS.
Pada awalnya, sebuah pesawat C-87 Liberator Express diubah suai untuk kegunaan Presiden AS, namun ditolak oleh Perkhidmatan Rahsia ekoran rekod keselamatan kenderaan itu dan digantikan dengan pesawat C-54 Skymaster dan dikenali sebagai Sacred Cow.
Pesawat itu mula digunakan oleh Presiden, Franklin D. Roosevelt dan kemudian oleh Presiden, Harry S. Truman.
Tanda nama Air Force One mula digunakan selepas kejadian pada 1953 apabila pesawat membawa Presiden, Dwight D. Eisenhower memasuki ruang udara sama dengan pesawat komersial menggunakan tanda panggilan yang serupa.
Beberapa jenis pesawat lain telah digunakan sebagai Air Force One sejak kewujudannya termasuk dua pesawat Beoeing 707 pada 1960-an dan 1970-an.
Sejak 1990, armada pesawat khas Presiden terdiri daripada dua Boeing VC-25A dan Boeing 747-200B yang telah diubah suai.
Tentera Udara AS kini merancang untuk menggantikan dua pesawat VC-25A itu dengan tiga pesawat baharu menjelang 2017.
Franklin D. Roosevelt merupakan Presiden AS yang pertama menaiki pesawat ketika masih menyandang jawatan itu.
Pesawat khas pertama untuk penerbangan Presiden adalah pesawat amfibia Douglas Dolphin yang direka oleh tentera laut AS pada 1933 dan berpangkalan di pangkalan tentera laut Anacostia.
Douglas Dolphin diubah suai untuk membawa empat penumpang dan mempunyai ruang tidur kecil.
Bagaimanapun berdasarkan sejarah AS, Theodore Roosevelt merupakan pemimpin AS yang mula-mula menaiki pesawat, namun selepas beliau tidak lagi bergelar Presiden kerana digantikan oleh William Howard Taft.
Beliau menaiki pesawat dikenali sebagai Wright Flyer dalam satu karnival di Kinloch Field berdekatan St. Louis, Missouri pada 11 Oktober 1910.
Walaupun merupakan satu penerbangan pendek dan Roosevelt bukan lagi menyandang jawatan Presiden AS ketika itu, peristiwa tersebut menjadi permulaan untuk penerbangan pemimpin utama negara berkenaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_08/Sejarah-pengenalan-pesawat-Air-Force-One#ixzz32reeZgNg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment