Pages

Saturday, May 24, 2014

Penyakit 'Sleeping Beauty' di Rusia


MOSCOW 23 Mei - Penduduk sebuah kampung di Rusia dilanda penyakit misteri yang menyebabkan mereka tertidur secara tiba-tiba selama enam hari, sekali gus menimbulkan kebingungan dalam kalangan saintis untuk mencari punca sebenar sindrom itu.
Sindrom yang dikenali sebagai ‘Sleeping Beauty’ itu mula dikesan berlaku pada musim bunga tahun lalu apabila lebih 60 orang penduduk Kampung Kalachi dan pekan Krasnogorsk dekat Moscow dilapor menghidap penyakit misteri tersebut.
Antara tanda-tanda yang dialami pesakit ialah rasa lemah-lemah badan, letih, mengantuk, hilang arah, hilang ingatan dan berkhayal.
Portal berita inserbia.com memetik seorang mangsa yang dikenali sebagai Lyubov Belkova berkata, dia ditimpa penyakit itu ketika sedang menjual pakaian di pasar tempatan pada awal tahun ini.
Dua bulan kemudian, seorang lagi wanita di pasar Lubov turut tertidur secara tiba-tiba sebelum satu lagi kejadian dilaporkan apabila semua wanita di sebuah pasar tempatan tertidur akibat sindrom yang sama, termasuk pengawal keselamatan.
Malah penyakit ‘Sleeping Beauty’ tersebut tidak hanya menyerang penduduk kampung, tetapi juga orang luar seperti yang berlaku kepada seorang wanita, Lexey Gomwent, 30, ketika dia melawat ibu mertuanya di Kalachi.
Ekoran misteri itu, penduduk kampung itu dilanda kebimbangan terhadap beberapa kes orang yang disyaki meninggal dunia akibat ditanam hidup-hidup, sedangkan mangsa hanya mengalami sindrom ‘Sleeping Beauty’.
Ramai pakar perubatan daripada pelbagai jabatan termasuk pakar toksik, radiologi, neurologi dan alam sekitar melakukan kajian terhadap misteri berkenaan, namun gagal menemukan punca sebenar penyakit itu.
Kesemua pakar bersetuju bahawa penduduk di situ dilanda penyakit psikologi sebagai penjelasan kepada misteri berkenaan.
Ada laporan mendakwa, sindrom itu berlaku disebabkan ujian senjata rahsia yang pernah dilakukan pada zaman era Soviet, selain lokasi kampung dan pekan tersebut yang terletak dekat lombong uranium.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_06/Penyakit-Sleeping-Beauty-di-Rusia#ixzz32a88xlLo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: