Pages

Wednesday, July 6, 2011

Ben Ali dipenjara 15 tahun kerana dadah, senjata dan artifak purba

TUNIS: Mahkamah Tunisia kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun enam bulan ke atas bekas presiden negara itu, Zine al-Abidine Ben Ali, atas kesalahan memiliki dadah, senjata dan artifak purba tanpa izin.

Ben Ali, yang diguling Januari lalu dan tidak hadir dalam perbicaraan kerana berada di Arab Saudi, turut dikenakan denda AS$78,500 ($95,750).

Bulan lalu, bekas pemimpin itu dan isterinya, Cik Leila Trabelsi, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun atas kesalahan menyalah guna dana awam selepas sejumlah besar wang tunai dan barangan kemas ditemui polis di kediaman mereka.

Dalam perbicaraan kelmarin, hanya Encik Ben Ali dihadapkan dengan tuduhan memiliki dadah dan senjata di istananya di kejiranan Carthage, utara Tunis.

Selepas perbicaraan selama empat jam, mahkamah menjatuhi hukuman 10 tahun bagi kesalahan memiliki dadah; lima tahun kerana memiliki senjata dan enam bulan kerana memiliki artifak purba tanpa izin.

'Perbicaraan hari ini (kelmarin), sama seperti perbicaraan sebelum ini dan 93 lagi perbicaraan yang dijadualkan kelak, palsu kerana ia melanggar semua piawaian bagi perbicaraan adil,' kata peguam Ben Ali, Encik Hosni Beiji, dalam satu kenyataan yang dibacakan sebelum hukuman itu dijatuhkan.

'Perbicaraan hari ini sebahagian daripada kempen politik bagi mencemar Presiden Ben Ali, yang bertujuan menggambarkan beliau sebagai seorang penyeludup dadah, senjata dan mata wang,' tambahnya.

Menurut Encik Beiji, sebahagian besar daripada senjata yang dijumpai di istana Ben Ali merupakan hadiah daripada para pemimpin dunia, termasuk Presiden Algeria, Encik Abdelaziz Bouteflika, dan Menteri dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef Ben Abdel Aziz.

Ben Ali juga mendakwa dadah yang dijumpai di pejabatnya sengaja diletak di situ selepas beliau meninggalkan Tunisia.

Seorang peguam tidak terlibat dalam kes itu, Encik Naceur Laouini, berkata tindakan mahkamah menjatuhkan hukuman dengan segera akan menjejas sebarang usaha mengekstradisi Ben Ali.

'Dengan perbicaraan serupa ini, kami akan terlepas peluang membawa pulang Ben Ali dari Arab Saudi dan ia menyukarkan usaha itu,' katanya.

Akhbar setempat tidak memberi laporan meluas mengenai perbicaraan itu, mencerminkan pendirian rakyat Tunisia yang telah jemu akan perkembangan tersebut.

'Ia menggambarkan apa yang sedang berlaku di negara ini. Hanya lebih banyak sandiwara,' kata seorang penduduk, Encik Ali Ayouni, 20 tahun. -- AP, AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

Wanita didakwa dera abang budak yang ditemui mati

SINGAPURA
SEORANG wanita, yang masih disiasat polis berhubung kematian anak saudaranya, seorang budak lelaki berusia lima tahun, dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mendera abang budak itu, tujuh tahun.

Wanita tersebut dikatakan mengikat dengan kain tangan budak itu pada palang besi dan kakinya pada paip PVC singki di rumahnya di Teck Whye Lane antara Jumaat dan Ahad lalu.Nama wanita dan anak saudaranya itu tidak boleh disiarkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti budak tersebut.Budak itu dan adiknya dijaga wanita tersebut. Adiknya ditemui mati di flat tersebut awal pagi Ahad lalu.Menurut kakak tiri kededua budak lelaki itu, adiknya yang berusia tujuh tahun kini di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).'Saya risau dengan keadaan adik saya memandangkan sejak diberitahu tentang kes ini saya belum dapat jumpa dengan dia,' ujar Cik Ann (bukan nama betul), yang berusia awal 20-an tahun.Menurut Cik Ann, beliau diberitahu bahawa kaki adiknya bengkak dan dia amat lemah.'Saya harap selepas saya dapat selesaikan urusan pengebumian adik bongsu saya ini, saya dapat bertemu adik saya yang seorang lagi,' ujarnya.Jenazah budak itu dikebumikan selepas asar semalam.Menurut Cik Ann, beliau bertemu mereka buat kali terakhir bulan lalu.'Saya ambil mereka daripada mak cik saya untuk tinggal bersama saya selama seminggu,' ujarnya.Menurut Cik Ann, beliau membawa mereka berjalan- jalan dan sering memberi mereka makan.'Mereka asyik beritahu saya yang mereka rasa lapar,' ujarnya.Menurut Cik Ann, beliau tidak dapat menjaga adik-adiknya kerana beliau tinggal bersama keluarga mentuanya.'Saya beritahu mereka saya akan jaga mereka bila saya sudah dapat beli rumah sendiri,' ujarnya.Jika didapati bersalah, wanita itu boleh dihukum denda hingga $4,000 atau penjara hingga empat tahun atau kedua-dua hukuman.Dia ditahan reman dan kesnya akan didengar lagi pada 12 Julai.Cyberita Online Singapura

Bekas Pengarah Urusan IMF mahu saman wartawan wanita


PARIS 5 Julai - Bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn berhasrat menyaman seorang wartawan wanita Perancis, selepas wanita itu menyatakan dia bakal memfailkan satu aduan cubaan rogol terhadapnya.

Peguam wartawan itu, David Koubbi memberitahu laman web majalah L'Express, Tristane Banon, 32, yang pernah melabel Kahn sebagai 'cimpanzi mengawan', akan mengemukakan satu aduan berhubung cubaan rogol kepada pendakwa raya.

Bagaimanapun, bekas Pengarah Urusan IMF itu yang meletak jawatan selepas didakwa atas tuduhan serangan seksual di New York, menafikan dakwaan Banon dengan menyatakan ia hanyalah 'satu rekaan', kata peguamnya Henri Leclerc dan Frederique Baulieu kepada AFPdalam satu kenyataan.

Peguam itu berkata, mereka sedang dalam proses mengumpul maklumat bagi mendakwa wanita tersebut atas tuduhan memfitnah.

Dakwaan jenayah baru ke atas Kahn itu dibuat ketika kesnya di New York mungkin digugurkan apabila pendakwa raya mendedahkan mereka meragui kredibiliti pengadu, seorang pekerja hotel wanita yang mendakwa dia diserang secara seksual.

Mengambil kira perkembangan kes di New York, peguam Kahn berkata, aduan Banon dibuat ketika tuduhan terhadap bekas Pengarah Urusan IMF itu di Amerika Syarikat (AS) diragui kebenarannya serta menimbulkan kesangsian.

Koubbi dalam pada itu memberitahu AFPTV, anak guamnya mengambil keputusan memfailkan dakwaan itu kerana dia yakin dapat mempertahankan tuduhan tersebut.

Wartawan itu menjelaskan kepada laman web L'Express, dia sakit hati melihat Kahn boleh menikmati makanan di restoran mewah bersama rakan-rakan tidak lama selepas dibebaskan daripada tahanan rumah.

Pada Februari 2007, Banon muncul sebagai tetamu di sebuah rancangan temu bual televisyen untuk menceritakan bagaimana seorang ahli politik kanan telah mengumpannya ke sebuah pangsapuri kosong dengan alasan untuk ditemu ramah, sebaliknya telah menyerangnya secara seksual.

Dalam rancangan tersebut yang disiarkan, nama pemimpin itu yang disebut Banon telah dipotong, tetapi setahun kemudian wartawan wanita itu mengesahkan kepada laman web AgoraVox dia merujuk kepada Kahn. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Israel beku hantar 84 jenazah pejuang Palestin



Seorang wanita memegang potret anak perempuannya, Hanadi Jaradat yang terbunuh di bandar Jenin, Tebing Barat, semalam. Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak telah membekukan rancangan penghantaran 84 jenazah pejuang Palestin yang terbunuh sejak 1967. - Agensi


BAITULMAQDIS 5 Julai - Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak bertindak membekukan rancangan untuk menyerahkan 84 jenazah pejuang Palestin yang maut sejak 1967.

Pejabat Menteri Pertahanan berkata, Barak mengarahkan dialog dengan Palestin mengenai kemungkinan penyerahan jenazah berkenaan dibekukan.

''Ia kerana penyerahan mayat itu dilihat tidak bersesuaian ekoran rundingan pembebasan askar Israel, Gilad Shalit dan rundingan lain masih berlangsung,'' kata pejabat Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan, hari ini.

Campur tangan Barak itu berlaku beberapa jam selepas tentera mengesahkan pemindahan berkenaan yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Barak Seri berkata, keputusan untuk membeku rancangan penyerahan jenazah itu telah mendapat persetujuan Netanyahu.

Keputusan untuk membekukan penyerahan jenazah itu mendapat sokongan Menteri Risikan, Dan Meridor yang merupakan anggota kanan Kabinet Netanyahu.

Maklumat penyerahan jenazah itu didedahkan semalam oleh Menteri Hubungan Sivil Palestin, Hussein al-Sheikh yang menyatakan 84 pejuang tersebut merupakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran atau serangan berani mati sejak 1967. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Gaddafi sedia lepas kuasa



Seorang anggota pemberontak melepaskan tembakan daripada senjata anti-pesawat. Senjata itu dirampas dari bengkel tentera Gaddafi di Benghazi pada 30 Jun lalu. - REUTERS


MOSCOW 5 Julai - Akhbar Rusia hari ini melaporkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersedia melepaskan kuasa sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan.

Akhbar Komersant memetik seorang pegawai kanan Rusia sebagai berkata, beberapa negara termasuk Perancis sedia beri jaminan berkenaan.

Laporan itu disiarkan sehari selepas usaha untuk mencari jalan bagi menamatkan perang di Libya menjadi fokus rundingan Rusia dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma di pusat peranginan Sochi, Rusia.

"Kolonel (Gaddafi) bersedia melepaskan kuasa jika mendapat jaminan keselamatan," kata pegawai kanan Rusia yang dipetik oleh Kommersant.

Menurut laporan itu, Gaddafi juga mahu anaknya, Saif al-Islam dibenarkan bertanding dalam pilihan raya umum jika dia berundur, syarat yang tidak akan diterima oleh pihak pemberontak Libya.

Kerajaan Libya semalam mengaku mengadakan rundingan dengan tokoh pemberontak, tetapi pemberontak tidak berganjak daripada pendirian mereka berhubung nasib Gaddafi.

Saif al-Islam memberitahu sebuah akhbar Perancis, rundingan tidak mungkin diadakan bagi menamatkan pemerintahan bapanya.

Pentadbiran pemberontak, Majlis Peralihan Negara pula menarik balik kenyataannya bahawa Gaddafi boleh terus tinggal di Libya jika beliau melepaskan kuasa sepenuhnya. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

PM New Zealand: Tiada diskriminasi wanita Islam pakai purdah


WELLINGTON 5 Julai - Perdana Menteri New Zealand, John Key hari ini menyatakan bahawa wanita Islam yang memakai purdah tidak sepatutnya berhadapan dengan diskriminasi.

Kenyataan itu dibuat selepas dua wanita Arab Saudi yang memakai purdah dilaporkan telah diarah turun dari sebuah bas di negara itu.

Ekoran kejadian di Auckland itu, diplomat Arab Saudi di New Zealand telah menyuarakan kebimbangan mereka kepada kerajaan negara ini, lapor akhbar Dominion Post.

Menurut akhbar itu, dalam kes pertama, seorang pelajar Arab Saudi dibiarkan menangis di tepi jalan selepas seorang pemandu bas mengarahkannya turun dan menutup pintu bas sebelum meninggalkannya.

Key berkata, beliau juga tidak selesa dengan wanita yang memakai purdah, tetapi bertegas tindakan itu tidak menyinggung perasaannya.

"Ia adalah sebahagian daripada kepercayaan manusia dan New Zealand adalah sebuah negara yang bertoleransi serta terdiri daripada pelbagai masyarakat.

"Saya tidak fikir pemakaian purdah di khalayak ramai perlu diharamkan di negara ini seperti yang dilakukan oleh Perancis," katanya.

Tambah beliau, semua orang perlu menghormati budaya dan kepercayaan orang lain.

Bagaimanapun tegas Key, ada kalanya pemakaian purdah tidak dibenarkan atas sebab-sebab keselamatan, contohnya ketika di bank dan kerajaan akan melaksanakan langkah itu mengikut keperluan.

"Namun di kebanyakan tempat ia patut dibolehkan kerana kita adalah sebuah negara yang didiami pelbagai kaum dan perlu menghormati kepercayaan antara satu sama lain," jelas Key.

Sementara itu pengendali bas terbabit dengan kedua-dua insiden itu, NZ Bus memberitahu kedua-dua pemandu mereka telah dihantar menjalani program kaunseling tetapi tidak dipecat kerana tindakan mereka tidak bermotifkan agama. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Polis diberi kuasa arah buka burqa



Pengharaman pemakaian burqa menjadi perdebatan di beberapa buah negara Barat. Pertubuhan Islam membantah tindakan mengharamkan pemakaian burqa di beberapa negara Barat. - Agensi


SYDNEY 5 Julai - Polis New South Wales, Australia diberikan kuasa mengarahkan seseorang membuka atau menanggalkan burqa, tudung dan penutup muka lain bagi membolehkan polis memeriksa identiti mereka yang disyaki melakukan jenayah.

Ketua Menteri, Barry O'Farrel berkata, polis dibenarkan mengambil tindakan mengarahkan seseorang itu menunjukkan identiti mereka, sama ada ketika itu memakai topi keledar, burqa, purdah atau apa sahaja penutup muka lain.

Katanya, mereka yang enggan menunjukkan muka mereka boleh dipenjarakan sehingga setahun atau didenda AUS$5,500 (RM17,711).

Kerajaan negeri itu meluluskan tindakan tersebut, semalam selepas kes seorang hakim membebaskan seorang wanita kerana identitinya tidak boleh dikenal pasti kerana memakai burqa.

Pada November lalu, Carnita Matthews dikenakan hukuman penjara enam bulan kerana membuat dakwaan palsu iaitu polis cuba memaksa dia membuka burqa yang dipakainya ketika memandu apabila dia ditahan kerana melakukan kesalahan trafik.

Hukumannya itu dibatalkan pada bulan lepas apabila seorang majistret menyatakan beliau tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa Matthews merupakan pengadu aduan palsu itu kerana pegawai polis terbabit tidak dapat mengenal pasti muka pengadu tersebut.

O'Farrel berkata, kuasa baru itu akan membantu mengelak berulangnya kes berkenaan.

''Saya menghormati pelbagai agama dan kepercayaan tetapi apabila melibatkan penguatkuasaan undang-undang, polis perlu diberikan kuasa untuk memeriksa identiti seseorang sepenuhnya,'' ujarnya.

Polis sebelum ini diberikan kuasa untuk meminta wanita membuka purdah ketika siasatan jenayah berat tetapi tidak dalam pemeriksaan biasa.

Majlis Agama Islam New South Wales menyatakan pihaknya menerima keputusan tersebut.

Persatuan Wanita Islam menyatakan pihaknya mahu pegawai polis wanita turut serta ketika purdah diarahkan dibuka bagi mengelak sebarang aduan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Seludup suami keluar penjara dalam beg

MEXICO CITY: Seorang wanita ditangkap kerana cuba menyeludup suaminya keluar dari penjara dalam beg pakaian.

Wanita itu ditahan ketika hendak meninggalkan penjara selepas melakukan lawatan untuk mengadakan seks dengan suaminya.


Pengawal mengesyaki sesuatu apabila melihat Maria del Mar Arjona, 19, cuba meninggalkan penjara di Mexico dengan sebuah beg besar.

Apabila memeriksa beg berkenaan, mereka menemui Juan Ramirez Tijerina merengkok di dalamnya.


Ramirez menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah memiliki senjata secara haram pada 2007.


Maria ditangkap dan menanti perbicaraan. -Agensi

myMetro | Seludup suami keluar penjara dalam beg

Si buta kuat nafsu

KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf,” demikian penjelasan ringkas seorang lelaki buta yang meraung kuat dan menghentak kepalanya berkali-kali di kandang tertuduh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lelaki berusia 47 tahun itu berkelakuan sedemikian selepas dia mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan anak kandung perempuannya berusia 18 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengandung tujuh bulan, empat tahun lalu.


Kelakuan lelaki yang beristeri dua dan mempunyai lapan anak berusia antara 22 tahun dan enam bulan itu yang menangis teresak-esak dan kuat menyebabkan prosiding ditangguhkan pada sebelah petang bagi memberi ruang kepada tertuduh bertenang.

Selepas prosiding disambung semula, tertuduh masih menangis teresak-esak dan memaksa Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memintanya bertenang.


Emelia kemudian menjatuhkan hukuman 10 sebatan dan penjara 18 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lalu.


Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang urut itu melakukan perbuatan keji terbabit di rumah mereka di flat di Jalan Dang Wangi, di sini, antara 2007 hingga kejadian terbaru pada 24 Jun lalu. Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa pernah merogol anak perempuan sulungnya itu sejak 2007 di rumah sama, namun mangsa tidak ingat kejadian. Namun, anaknya mendakwa bapanya melakukan perbuatan sama tiga kali pada tahun ini, termasuk terbaru pada 24 Jun lalu. Mangsa yang juga pelajar sebuah kolej swasta itu tidak sampai hati memberitahu ibunya tentang hal berkenaan, namun rahsia hitam itu bocor selepas mangsa mahu menangguhkan pengajian. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar hukuman ringan dikenakan atas alasan faktor umur dan mempunyai penyakit darah tinggi serta buasir selain perlu menanggung dua isteri dan lapan anaknya. “Saya mengaku itu adalah kesalahan besar dan saya memohon maaf kepada isteri, keluarga dan anak atas perbuatan saya ini kerana saya tidak tahu ia menyalahi undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana perbuatan dilakukannya sangat serius.


“Selain itu perbuatan berkenaan juga hina dan keji di sisi agama dan undang-undang kerana tergamak melakukan hubungan seksual dengan anak sendiri.

myMetro | Si buta kuat nafsu

Penggodam dakwa Obama dibunuh

WASHINGTON: Beberapa mesej palsu dan mengejutkan dalam laman Twitter mengenai pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, memalukan sebuah rangkaian berita yang sering dituduh mencetuskan sentimen anti-Obama ketika negara itu menyambut Hari Kemerdekaan, semalam.

Penggodam menceroboh akaun Twitter Fox News pada awal Hari Kemerdekaan atau lebih dikenali dengan 4 Julai untuk menghantar mesej palsu kononnya Obama ditembak mati ketika berkempen di Iowa. “@Barack Obama baru saja mati. Sambutan 4 Julai yang menyedihkan. Presiden Barack Obama sudah mati,” menurut mesej pertama.


Penggodam, dalam satu lagi mesej berkata, Obama ditembak ‘dua kali, di bahagian pelvis dan di leher: penembak tidak diketahui.’ Lebih banyak maklumat mengenai kejadian itu diberikan dalam mesej berikutnya, termasuk tempat pembunuhan itu - ‘Restoran Ross di Iowa’ - sebelum penggodam itu keluar dengan mengucapkan selamat kepada Naib Presiden Joe Biden sebagai presiden baru negara itu.

Mesej berkenaan masih boleh dibaca dalam akaun politik Twitter Fox News, yang mempunyai 35,000 pengikut selepas enam jam mesej pertama muncul.


Kumpulan yang dikenali Script Kiddies mengaku bertanggungjawab sementara Fox News mengeluarkan kenyataan memohon maaf.


“Penggodam menghantar beberapa mesej berniat jahat dan palsu, mendakwa Presiden Obama mati dibunuh. Laporan itu tidak betul. Presiden menghabiskan masa cuti sempena 4 Julai bersama keluarganya,” kata kenyataan itu.

Ia juga berkata, kejadian itu akan disiasat.


Bagaimanapun beberapa pengulas yang menulis dalam laman web Fox News berkata, ia tidak perlu memohon maaf.

“Tidak mengapa. Tidak perlu cemas. Ia pasti melegakan jika kejadiaan itu benar,” tulis seorang pengunjung laman itu yang menggunakan nama ALCashier. - NYT

myMetro | Penggodam dakwa Obama dibunuh

Ketagih makan ubat nyamuk

POLEWALI MANDAR (Indonesia): Biasanya kanak-kanak gemar meminum susu, makan cokelat atau biskut. Namun, bagi Abdillah Syarif yang berusia tujuh tahun dan berasal dari Polewali Mandar, Sulawesi Barat, dia sangat gemar memakan ubat nyamuk.

Dalam sehari, Abdillah yang dipanggil Adit itu mampu menghabiskan sebungkus ubat nyamuk. Ibu bapa Adit sudah berusaha untuk menghilangkan tabiat buruk anaknya itu tetapi bukan saja tidak berhasil, malah, ketagihannya kepada ubat nyamuk semakin bertambah. Tabiat aneh Adit menyebabkan anak keempat pasangan Syarifuddin dan Nurlina itu menjadi terkenal di desanya di Sabang Subik, Kecamatan Balanipa.


Adit mula gemar memakan ubat nyamuk ketika berusia lapan bulan. Pada mulanya, Adit yang belum pandai berjalan ketika itu, mendekati ubat nyamuk dan tiba-tiba memakannya.

Hingga kini, dia jadi ketagih dan tiada sehari pun dilalui tanpa memakan ubat nyamuk. Dia juga melakukan tabiat itu secara diam-diam kerana takut dimarahi ibu bapanya.


“Enak dan manis,” katanya ketika ditanya mengapa dia gemar memakan ubat nyamuk.


Usaha orang tuanya untuk menghentikan tabiat pelik anak mereka tidak berhasil. Walaupun sudah menyorokkannya di tempat lain, Adit akan mendapatkan ubat nyamuk dari rumah jiran mereka. “Biasanya kalau tidak menemukan ubat nyamuk di rumah, dia akan mencurinya di rumah jiran,” kata Syarifuddin. Nurlina pula mengatakan tabiat Adit itu mungkin bawaan daripadanya.

“Dulu ketika hamilkan Adit, saya memang gemar mencium asap ubat nyamuk dan mungkin ia menurun kepada anak saya,” katanya. Menurut doktor pakar pediatrik di Dinas Kesehatan Polewali Mandar, Sih Harjo Boko, Adit menghidap penyakit pica iaitu kelainan keadaan pola makanan pada kanak-kanak. Penyakit itu disebabkan kekurangan zat besi dalam diri kanak-kanak dan boleh pulih, bergantung kepada keprihatinan ibu bapa menjaga anak mereka.

myMetro | Ketagih makan ubat nyamuk

Rakyat Bangladesh hantar pulang RM35 bilion

DHAKA: Buruh rakyat Bangladesh di negara asing mencatat rekod dalam penghantaran pulang wang AS$11.65 bilion (RM34.95b) tahun lalu, lapor Bank Pusat, semalam.

Laporan itu menolak dakwaan mengatakan pergolakan di dunia Arab akan menyebabkan wang yang dihantar pulang akan merosot. Kiriman wang daripada tujuh juta rakyat negara itu yang bekerja di negara asing adalah pemerolehan kadar pertukaran wang asing kedua tertinggi selepas eksport dan dilihat sebagai sumbangan besar dalam menangani kadar kemiskinan di negara miskin rantau Asia Selatan itu. Angka itu yang menyumbang lebih 10 peratus keluaran dalam negara kasar menunjukkan peningkatan enam peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya, kata jurucakap Bank Bangladesh, AFM Asaduzzaman. “Ia angka kiriman pulang wang tertinggi dalam sejarah negara,” katanya. - AFP

myMetro | Rakyat Bangladesh hantar pulang RM35 bilion

Bekas menteri Mesir dihukum penjara

KAHERAH: Bekas Menteri Perdagangan Mesir, Rachid Mohamed Rachid semalam dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah menggelapkan wang negara.

Sumber kehakiman berkata, Rachid dan dua eksekutif perniagaan juga didenda dua juta paun Mesir (RM1 juta) dan diarah membayar semula jumlah wang yang digelapkan kepada negara. - AFP

myMetro | Bekas menteri Mesir dihukum penjara

Pemberontak tak perlu lagi bantuan senjata Perancis

PARIS: Pemberontak Libya yang memerangi kerajaan Muammar Gaddafi tidak lagi memerlukan bantuan Perancis untuk menggugurkan senjata memandangkan mereka kini lebih tersusun dan boleh memperoleh senjata sendiri.

“Wilayah yang dikuasai pemberontak kini mentadbir kawasan autonomi mereka sendiri. Ia membolehkan mereka menjalinkan hubungan dengan rakan luar, termasuk mengenai pertahanan diri,” kata Menteri Pertahanan Perancis, Gereard Longuet.


Minggu lalu, Perancis berkata, ia membekalkan senjata ringan, termasuk raifal dan pelancar roket. kepada pemberontak untuk tujuan mempertahankan diri, selari dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Russia menyelar tindakan itu. - AFP

myMetro | Pemberontak tak perlu lagi bantuan senjata Perancis

Gaddafi sudah sedia undur

MOSCOW: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi sudah bersedia untuk menyerahkan kuasa sebagai ganti kepada jaminan keselamatan, lapor akhbar Komersant yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan Russia.

Perkembangan itu dilaporkan sehari selepas pemimpin Nato, Anders Fogh Rasmussen berbincang dengan Presiden Dmitry Medvedev mengenai negara Afrika utara itu.


Sumber Russia itu menambah, Perancis dilihat sebagai negara paling bersedia untuk memainkan peranan dengan menarik balik pembekuan terhadap sebahagian akaun keluarga Gaddafi dan berjanji untuk membantunya mengelak daripada dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Rasmussen dan Medvedev dikatakan bertelagah mengenai Libya ketika berbincang di Sochi, bandar peranginan di Laut Hitam, kelmarin.


Russia menyelar kempen serangan udara Nato terhadap negara itu sementara Nato berkata, gesaan Moscow supaya gencatan senjata serta-merta diadakan mesti mendapat jaminan sokongan daripada kerajaan Libya.


Kedua-dua pihak tidak menyatakan sebarang kemajuan dalam rundingan berkenaan. - AFP

myMetro | Gaddafi sudah sedia undur

Penyanyi Lubnan diugut simbah asid


pix_gal0
Peminat Nawal al Zoughbi dilapor ancam mahu cacatkan wajah Elissa

BEIRUT: Penyanyi Lubnan, Elissa (atas), ketika ini berada dalam ketakutan selepas menerima ancaman daripada seorang lelaki yang bersumpah membakar mukanya dengan asid.
Lelaki yang membuat ugutan itu dilaporkan peminat seorang lagi penyanyi terkenal negara berkenaan, Nawal Al Zoughbi.
Elissa membaca ugutan berkenaan yang disiarkan beberapa laman web mengatakan lelaki itu dan sekumpulan peminat Nawal lagi merancang menyimbah asid ke muka Elissa untuk merosakkan sama sekali wajahnya.

Lelaki yang merancang ancaman itu juga menggesa semua peminat Nawal membantunya melaksanakan rancangan berkenaan.

Bagaimanapun, sebab dia mahu melakukan serangan itu tidak didedahkan.

Pegawai kanan polis segera diminta mengambil langkah perlu termasuk menahan lelaki dan bagi melindungi Elissa meskipun ancaman berkenaan yang disiarkan di laman web dipadamkan dua jam kemudian.
Berikutan itu, Elissa mengambil keputusan mengupah beberapa pengawal peribadi bagi mengawalnya pulang dan mengiringinya pada setiap masa bagi mengelak serangan lelaki terbabit termasuk orang lain.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Elissa menamatkan pembikinan lagu muzik video terbarunya berjudul ‘Bitsada’ Bi Meen’ (Siapa yang kamu percaya), yang terkandung dalam album terbarunya.

Klip itu dirakamkan atas arahan Emile Seelani di beberapa lokasi di Beirut. Lagu itu juga akan disiarkan di beberapa saluran televisyen satelit tidak lama lagi.

Lagu itu ditulis oleh penyajak, Nader Abdalla dan diedarkan oleh syarikat Tamim dengan Waleed Saed sebagai pengarah dan dihasilkan firma Rotana’.

Sementara itu, majalah perniagaan Arab menyenaraikan Elissa di tempat ketiga sebagai dalam senarai bintang pop terkaya Lubnan dengan aset AS$35 juta (RM105 juta). Bintang pop terkemuka Mesir, Amr Diab adalah yang paling kaya dengan AS$$41 juta (RM123 juta).

Di tempat kedua ialah Nancy Ajram, memiliki AS$36.3 juta manakala Fairuz di tempat keempat dengan AS$29.5 juta (RM88.5 juta). – Agensi Berita Harian Online | Penyanyi Lubnan diugut simbah asid

Mayat gadis dibakar guna pelepah sawit



BAPA mangsa Qomarodin Bajuri, gambar kecil, Nurrahayu.
BAPA mangsa Qomarodin Bajuri, gambar kecil, Nurrahayu.

Telefon bapa 10 kali sebelum mati

JOHOR BAHRU: Siasatan polis mendapati mayat Nurrahayu Qomarodin, 16, dibakar menggunakan pelepah kelapa sawit sebelum anggota badannya dikerat bagi menghapuskan bahan bukti.
Sumber berkata, suspek yang ditahan reman mengaku mayat remaja itu terpaksa dikerat apabila pelepah kelapa sawit tidak mencukupi untuk membakar mayat mangsa.
Katanya, ketika ini, polis masih mencari anggota badan mangsa, termasuk kepala dan bahagian anggota lain.

Setakat ini, polis menemui penyepit rambut, cermin mata, selipar dan segumpal rambut di tempat kejadian.Berita Harian Online | Mayat gadis dibakar guna pelepah sawit

Gaddafi beri syarat serah kuasa


Saif al-Islam (kiri) dan  Muammar Gaddafi.
Saif al-Islam (kiri) dan Muammar Gaddafi.

Pemimpin Libya mahu jaminan keselamatan, anak bertanding pilihan raya

MOSCOW: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersedia menyerahkan kuasanya, sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan beliau, kata pegawai tinggi kerajaan Russia yang dipetik akhbar utama negara itu, Kommersant.
Akhbar itu menyiarkan laporannya sehari selepas ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen, mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia, Dmitry Medvedev dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma mengenai cara menamatkan perang Libya di bandar peranginan Laut Hitam, Sochi.
“Gaddafi sudah memberi isyarat beliau bersedia menyerahkan kuasa sebagai pertukaran jaminan keselamatannya,” kata akhbar terbabit ketika memetik kenyataan pegawai kanan Russia yang namanya tidak didedahkan.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sehari selepas Rasmussen dan Medvedev dikatakan bertelagah mengenai isu Libya, selepas beliau menggesa gencatan senjata disegerakan, manakala NATO mahukan jaminan dari Tripoli sebelum langkah itu boleh diambil.

Pegawai itu berkata, Perancis sudah menyatakan kesediaan memainkan peranan dalam usaha mencairkan sebahagian akaun keluarga Gaddafi dan membantu beliau daripada dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Kommersant juga melaporkan Gaddafi mahu anaknya Saif al-Islam dibenarkan bertanding dalam pilihan raya jika beliau meletak jawatan, syarat yang mungkin ditolak pemberontak.
Kerajaan Libya kelmarin berkata ia sedang mengadakan perbincangan dengan tokoh pembangkang, tetapi tiada persetujuan dicapai mengenai masa depan Gaddafi.

Saif al-Islam sebelum itu memberitahu akhbar Perancis, tiada persoalan untuk mengakhiri pemerintahan bapanya sejak 42 tahun lalu, manakala Majlis Peralihan Kebangsaan mengulangi kenyataannya Gaddafi boleh terus tinggal di Libya jika beliau bersedia menyerahkan kuasa. – AFP/Reuters Berita Harian Online | Gaddafi beri syarat serah kuasa

Menteri Pembangunan Semula Bencana letak jawatan

TOKYO - Baru seminggu menjawat jawatan, Menteri Pembangunan Semula Bencana Jepun, Ryu Matsumoto (gambar) semalam meletak jawatan selepas tindakan sombongnya sewaktu melawat kawasan yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami dikritik hebat.

Dalam mesyuarat bersama beberapa orang gabenor pada hujung minggu lalu, kata-kata Matsumoto juga dianggap sebagai angkuh dan tidak prihatin. Tindakan itu sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat tempatan dan parti pembangkang.

Matsumoto didakwa memberitahu Gabenor Iwate, Takuya Tasso bahawa kerajaan tidak akan membantu majlis perbandaran yang tidak mempunyai idea bagus mengenai pembangunan semula.

Beliau juga dikatakan enggan berjabat tangan dan mengherdik Gabenor Miyagi, Yoshihiro Murai kerana terpaksa menunggu Murai yang lewat tiba bertemunya.

"Apabila tetamu datang melawat, jangan panggil mereka sehingga kamu tiba di dalam bilik. Kamu faham?" kata Matsumoto yang kemudian memberi amaran kepada para pemberita supaya tidak melaporkan tindakannya itu.

Namun, rakaman insiden itu tetap dimuat naik ke Internet. Perletakan jawatan Maysumoto memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan yang sememangnya turut didesak supaya meletak jawatan.

Dalam satu sidang media semalam, Matsumoto tidak menjelaskan kenapa beliau meletak jawatan. Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano memberitahu, Kan menerima perletakan jawatan Matsumoto dan berharap penggantinya akan dilantik secepat mungkin. - AP

Kosmo! Online - Dunia

Sakit mental punca askar marin mengamuk

SEOUL - Seorang askar marin Korea Selatan memberitahu dia berang kerana dipulau, selain mempunyai tanda-tanda sakit mental sebelum dia membunuh empat rakan sekerjanya di sebuah pangkalan barisan hadapan, kata beberapa pegawai tentera semalam.

Askar marin berusia 19 tahun berpangkat koperal itu yang dikenali sebagai Kim, turut mencederakan seorang askar marin lain kelmarin apabila dia melepaskan tembakan di pangkalan tentera Pulau Ganghwa di selatan sempadan maritim dengan Korea Utara.

Ketua penyiasat insiden berkenaan, Kwon Yeong-jae memberitahu wartawan bahawa Kim mengalami masalah psikologi sambil merujuk kepada sekeping nota yang menunjukkan Kim kecewa dengan hidupnya.

Menurut pegawai berkenaan, Kim cuba untuk membunuh diri dengan meletupkan sebutir bom tangan selepas dia mengamuk, tetapi percubaannya gagal.

Insiden tembakan rambang itu merupakan yang terburuk pernah dialami tentera Korea Selatan sejak 2005, apabila seorang askar membaling sebutir bom tangan dan melepaskan tembakan rambang yang meragut lapan nyawa askar dan mencederakan beberapa yang lain. - AP

Kosmo! Online - Dunia

Kembar rentung berpelukan


nur fatin farhana (kiri) dan Nur Fatin Farhanah.


KUALA TERENGGANU – Pilu hati seorang bapa apabila melihat anak kembar perempuannya rentung dalam keadaan berpelukan selepas gagal menyelamatkan diri dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Durian Mas, Manir dekat sini semalam.

Kejadian pukul 9.15 pagi di rumah kos murah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu menyebabkan dua kanak-kanak malang masing-masing berusia tiga tahun, Nur Fatin Farhana dan Nur Fatin Farhanah mati di lokasi kejadian selepas rentung lebih 50 peratus.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa sedang bermain di dalam bilik manakala bapa mereka, Hamid Mustafa, 40, sedang tidur di ruang tamu manakala ibu mereka, Suriyani Sulong, 40, sedang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini.

Difahamkan, Hamid yang menganggur dan menghidap penyakit sawan tidak berupaya untuk berjalan jauh.

Mengimbau semula kejadian itu, Hamid memberitahu, dia menyedari berlaku kebakaran selepas terdengar jeritan sepupunya, Wan Norizan Ismail, 40, yang tinggal di kawasan sama mengatakan kepulan asap keluar dari tingkap bilik.

Katanya, dia cuba bangun untuk mendapatkan pasangan anak bongsu daripada tujuh beradik itu tetapi gagal kerana api yang semakin marak.

“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan mereka kerana kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya cuba membawa mereka keluar dari bilik itu tetapi tidak mampu,” ceritanya di sini semalam.

Tambahnya, pasangan kembar itu jarang bermain di dalam bilik kerana mereka lebih gemar bermain di ruang tamu dan luar rumah.

“Malam sebelum kejadian, mereka langsung tidak mahu tidur walaupun sudah pukul 4 pagi hinggakan isteri saya terpaksa melayan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Norizan berkata, dia terus menjerit nama pasangan kembar itu untuk menyuruh mereka keluar sebaik ternampak asap.

“Selepas tidak nampak kelibat kanak-kanak itu, saya mencari bapanya yang berada di ruang tamu. Selepas api padam, anggota bomba menemui mereka yang sudah rentung itu sedang berpelukan,” katanya.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd. Ridzuan Hassan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas akibat kepulan asap selain melecur.

Kosmo! Online - Negara

Berdemonstrasi dalam stadium sahaja

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini semalam bersetuju membatalkan demonstrasi jalanan yang dijadual pada 9 Julai ini.

Mereka sebaliknya bersetuju supaya perhimpunan tersebut diadakan pada tarikh yang sama di sebuah stadium yang akan ditentukan tidak lama lagi sebagaimana ditawarkan oleh kerajaan sebelum ini.

Jawatankuasa itu yang terdiri daripada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin menghadap Tuanku Mizan petang semalam.

"Kami telah memberitahu Tuanku bahawa kami menerima cadangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium.

"Sehubungan itu, perhimpunan di atas jalan raya tidak akan berlangsung pada Sabtu ini," kata Ambiga kepada pemberita selepas menghadap Tuanku Mizan lebih sejam setengah.

Menurut Ambiga lagi, pihaknya berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan secara aman di dalam stadium.

"Kami berpendapat ini jalan terbaik untuk meneruskan perhimpunan. Kerajaan menawarkan stadium, maka kami akan meneruskan perhimpunan di stadium,'' katanya.

Ketiga-tiga pemimpin Bersih 2.0 itu dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pukul 1.55 petang.

Ahad lalu, Tuanku Mizan bertitah, dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, rakyat diminta tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Seri Paduka tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Kosmo! Online - Negara

Kereta Bugatti Veyron Edisi Khas berharga RM6.73 juta

PORSELIN digunakan sebagai material utama untuk kemasan dalaman dan luaran Bugatti Veyron ini.


BERLIN - Pengeluar kereta supersport mewah, Bugatti baru-baru ini memperkenalkan model Veyron terbarunya yang menggunakan kemasan porselin dan dijual pada harga AS$2.24 juta (RM6.73 juta) seunit.

Kereta yang turut dikenali sebagai Grand Sport L'Or Blanc tersebut dilancarkan di luar kilang porselin milik syarikat Koenigliche-Porzellan-Manufaktur (KPM) di Berlin, Jerman. Ia dihasilkan sebagai meraikan permulaan kerjasama antara KPM dan Bugatti.

Menjadi kereta pertama yang menggunakan material porselin pada bahagian dalaman dan luarannya, hanya sebuah Veyron sebegini dihasilkan.

Bugatti Veyron dengan spesifikasi biasa dijual pada harga AS$1.6 juta (RM4.81 juta) seunit. Ia dilengkapi dengan sebuah enjin V8 dan mampu mencecah kelajuan sehingga 407 kilometer sejam (km/j).

Pemilik KPM, Jorg Woltman memberitahu idea untuk bekerjasama dengan Bugatti sebenarnya diinspirasikan oleh Rembrandt Bugatti yang merupakan seorang pembuat arca terkenal. "Sekarang, kami telah menghasilkan porselin paling laju di dunia," kata Woltman. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Kepala gadis tersepit pada pintu bas

GADIS malang ini terpaksa menahan sakit apabila kepalanya tersepit di pintu sebuah bas.


ANHUI - Seorang gadis mengalami nasib malang apabila kepalanya tersepit pada pintu bas ketika mahu turun di satu perhentian bas di bandar Maanshan, wilayah Anhui, China.

Kejadian itu berlaku apabila pemandu bas berkenaan tidak sabar dan terus menutup pintu bas. Ini menyebabkan kepala gadis itu tersepit dan terpaksa menahan sakit sehingga ke satu perhentian bas seterusnya kerana pemandu bas tidak menyedarinya.

Mujurlah beberapa penumpang yang lain menyedari keadaan itu menjerit ke arah pemandu bas supaya memberhentikan bas dan membuka pintunya.

Sebaik sahaja berjaya melepaskan kepalanya, gadis yang kelihatan malu itu segera turun dari bas. Selepas mengurut-urut lehernya buat seketika, dia terus berjalan laju tanpa membuat sebarang aduan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Cermin mata bionik untuk si buta


LONDON - Sekumpulan penyelidik di Universiti Oxford, London sedang mencipta cermin mata bionik yang menggunakan kamera kecil dan komputer poket bagi kegunaan orang buta.
Cermin mata itu akan memudahkan orang buta untuk mencari arah di pusat beli-belah, stesen kereta api yang sibuk serta membolehkan mereka 'membaca'nombor bas dan tanda harga elektronik di kaunter bayaran.
"Kami berpuas hati dengan ciptaan ini. Dengan kos berpatutan, orang ramai boleh menggunakannya," kata penyelidik sains neuro klinikal, Dr. Stephen Hicks.
Penyelidikan awal mengenai kaca mata itu telah selesai dan pasukannya sedang menyediakan prototaipnya.
Kombinasi cermin mata yang ringan dan murah itu akan berada di pasaran seawal tahun 2014, sekiranya ujian yang dilakukan berjaya. Ia dikatakan sesuai digunakan oleh lebih 300,000 warga Britain yang dilaporkan buta. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Lelaki gemuk menang undian pencarian model



ROLAND BUNCE


LONDON - Seorang lelaki berbadan gempal, Roland Bunce, 24, berada di tempat teratas dalam pertandingan Make Me the Next Model 2011 yang akan diadili oleh barisan panel profesional selepas dia memenangi undian dalam talian.

Langsung tidak mempunyai penampilan dan raut wajah seperti seorang model, Bunce mendapat perhatian pengundi awam dalam talian selepas penyertaannya disabotaj oleh pengguna Internet.

Populariti Roland melonjak selepas kemunculannya menarik perhatian ramai pengundi bulan lalu. Dia juga terus mara untuk menang dalam pertandingan kelolaan pihak High Street yang bertujuan mencari model selepas menewaskan 5,000 peserta lain. Dia memperoleh undian terbanyak iaitu 66,000 undi.

Bunce yang merupakan seorang jurutera komputer dari Belfast akan mempertaruhkan nasibnya dalam pusingan terakhir bersama 250 orang peserta lain pada 30 Julai ini.

Pertandingan yang menerima 5,000 penyertaan itu menawarkan pemenangnya dengan baucar bernilai AS$3,221 (RM9,695.10) dan sesi fotografi untuk diperkenalkan kepada agensi peragaan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Bekas ketua IMF berdepan tuduhan baharu

AP
KAHN (kiri) didakwa cuba merogol Banon ketika beliau diwawancara di sebuah apartmen di Perancis.


PARIS - Seorang penulis Perancis berusia 32 tahun, Tristane Banon akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn kerana cuba merogolnya.

Perkembangan tersebut berlaku beberapa hari selepas Kahn dibebaskan daripada tahanan rumah di New York atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja hotel di New York.

Penulis tersebut memfailkan aduan cubaan merogol kepada pihak pendakwa raya Perancis, kata peguamnya, David Koubbi kepada majalah berita L'Express.

Menurutnya, cubaan merogol itu itu berlaku pada tahun 2003 ketika anak guamnya mewawancara Kahn di sebuah apartmen di Perancis.

Koubbi memberitahu, anak guamnya berasa sakit hati melihat Kahn terlepas begitu sahaja daripada dakwaan melakukan serangan seksual. Apatah lagi, apabila dia melihat bekas ketua IMF itu menikmati makanan di restoran mewah bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, Kahn dilaporkan akan menyaman Banon yang mendakwanya melakukan cubaan merogol dengan tuduhan memfitnah.

Kahn telah mengarahkan peguamnya, Henri Leclerc dan rakan sekutunya, Frederique Baulieu memfailkan dakwaan ke atas penulis itu.

Kahn yang meletak jawatan daripada IMF selepas menghadapi tuduhan melakukan serangan seksual di hotel Sofitel, New York pada Mei lalu, menolak dakwaan Banon dengan menganggapnya cuma satu imaginasi. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Tiada kompromi pengunduran Gaddafi

TRIPOLI - Pentadbiran Libya tidak berunding mengenai pengunduran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, kata seorang jurucakap pemerintah Libya semalam.

"Maklumat mengenai rundingan berhubung Gaddafi meletak jawatan atau melarikan diri di dalam atau luar negara langsung tidak benar," kata jurucakap berkenaan, Moussa Ibrahim (gambar).

"Soal Gaddafi tidak boleh dirundingkan. Ini adalah prinsip kami. Masa depan Libya akan ditentukan oleh rakyat Libya sendiri. Gaddafi ialah simbol sejarah dan rakyat Libya sanggup mati untuk mempertahankan beliau," jelasnya.

"Rundingan yang diadakan adalah mengenai gencatan senjata, bantuan kemanusiaan dan permulaan dialog antara pemimpin Libya, seterusnya fasa keempat iaitu tempoh peralihan mengenai perubahan politik yang akan ditentukan oleh rakyat Libya," tambah jurucakap itu.

Kelmarin, pentadbiran Libya menyatakan ia telah mengadakan beberapa rundingan di Itali, Mesir dan Norway dengan barisan pemimpin kanan pemberontak untuk mencari penyelesaian damai bagi menamatkan perang lima bulan di negara Afrika Utara itu.

- Reuters

Kosmo! Online - Dunia

Kabinet Thai belum diputuskan

Reuters
BAKAL Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menjawab soalan wartawan di ibu pejabat parti Pheu Thai di Bangkok semalam.


BANGKOK - Bakal Perdana Menteri baharu Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menyatakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai pembentukan kabinet ketika proses melobi jawatan menteri bermula.

Pada masa yang sama, para pelabur melahirkan kebimbangan dasar populis beliau akan menyebabkan inflasi dan kadar faedah di negara itu meningkat.

Pemilihan barisan menteri kabinet oleh Yingluck perlu mengambil kira kebimbangan mengenai unsur kronisme. Selain kekhuatiran pengkritik tentang kepulangan abang Yingluck iaitu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra selepas kemenangan majoriti parti mereka, Parti Pheu Thai pada pilihan raya umum Ahad lalu.

"Buat masa ini tiada rundingan diadakan mengenai pembentukan kabinet," kata Yingluck dalam satu sidang akhbar di sini.

Menurut pengiraan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya semalam, parti Pheu Thai memenangi 265 daripada 500 kerusi Parlimen dan membolehkannya memerintah bersendirian.

Namun, Yingluck yang bakal dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Thailand menyatakan, beliau akan membentuk sebuah kerajaan campuran bersama lima buah parti bagi menguasai 299 kerusi di Parlimen.

"Kami tidak akan menyisihkan sesiapa dalam pembentukan kabinet sama ada beliau orang dalam atau orang luar," kata Yingluck.

Kabinet yang didominasi menteri pro-Thaksin bagaimanapun boleh melemahkan usaha Yingluck ke arah perdamaian selepas Thailand dilanda krisis politik sejak enam tahun lalu.

"Ujian paling penting dan mencabar yang perlu dipikul Yingluck adalah untuk melenyapkan prasangka yang wujud disebabkan oleh perbezaan politik," kata kolumnis sebuah akhbar tempatan, Avudh Panananda.

Sementara itu, rancangan Yingluck untuk melaksanakan program berbentuk populis seperti yang pernah dilakukan oleh Thaksin turut dibimbangi boleh meningkatkan perbelanjaan awam dan inflasi.

Rancangan beliau yang melibatkan peluasan laluan kereta api, pembelian kereta api laju hinggalah kenaikan gaji dan faedah lain bertujuan meningkatkan kuasa beli penduduk di kawasan pedalaman yang rata-ratanya menyokong parti Pheu Thai. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Bot flotila Perancis belayar ke Gaza

AFP
GAMBAR fail pada 25 Jun 2011 menunjukkan bot Perancis Dignite - Al Karama.


ATHENS - Sebuah bot Perancis berjaya menyelinap keluar dari perairan Greece semalam dalam percubaan untuk mematahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza, sekali gus menghidupkan semula kempen antarabangsa yang tergendala.

Bot yang dikenali sebagai Dignite - Al Karama setakat ini merupakan satu-satunya bot daripada flotila yang melibatkan kira-kira 11 buah kapal kumpulan aktivis pro-Palestin yang berjaya belayar keluar dari Greece, selepas pihak berkuasa negara itu menghalang kapal-kapal lain daripada keluar dari pelabuhan Piraues, Athens.

Bot sepanjang 19 meter itu dinaiki lapan penumpang. Ia dijangka berada di perairan Gaza dalam masa sehari dua lagi, jelas seorang jurucakap kempen flotila Gaza, Jean-Claude Lefort.

Menurutnya, bot Dignite dapat membolosi kawalan pihak berkuasa Greece kerana ia tidak dapat dikesan berikutan bot berkenaan bukan berada di Piraeus tetapi di tempat lain.

Terdahulu, pihak berkuasa Greece menyatakan, ia menguatkuasakan larangan belayar ke atas flotila ke Gaza demi keselamatan sejumlah aktivis pro-Palestin di atas kapal-kapal berkenaan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia