Sebutir batu permata nilam gergasi yang ditemui di Ratnapura, Sri lanka, baru-baru ini. AGENSI
COLOMBO 6 Jan. - Sebutir batu nilam seberat 1,404 karat dipercayai terbesar di dunia ditemukan di sini, baru-baru ini.
Portal Mail Online melaporkan, batu nilam yang dianggarkan bernilai 120 juta pound (RM765.4 juta) itu ditemukan pada Ogos lalu berhampiran Ratnapura, sebuah bandar di selatan Sri Lanka.
Bandar tersebut dikenali sebagai Bandar Permata, kerana perniagaan utama di kawasan tersebut adalah berasaskan batu permata.
Pemilik batu nilam itu yang enggan dikenali memberitahu akhbar tempatan, Ceylon Today, dia sebenarnya bimbang ketika menemui batu nilam gergasi itu.
Batu nilam tersebut terlalu besar dan tidak sesuai untuk dijadikan barang kemas dan seharusnya diletakkan di muzium untuk tatapan umum.
Permata tersebut diberi nama Permata Adam, selepas umat Islam mempercayai Nabi Adam pergi ke Sri Lanka selepas Allah menghalau baginda dan Siti Hawa dari syurga.
Menurut mitos, Nabi Adam pernah mendaki gunung yang dikenali sebagai Puncak Adam kira-kira 24 kilometer dari bandar Ratnapura.
Batu nilam dipercayai memiliki bintang di bahagian tengah dan memberi pantulan yang dipanggil asterisme.
Pada 2011, Persatuan Batu Permata dan Barangan Kemas Sri Lanka memberitahu bahawa cincin pertunangan pewaris takhta Diraja Britain, Kate Middleton berasal batu permata dari sebuah lombong di negara ini.
Cincin yang dipakai Duchess of Cambridge semasa hari pertunangannya itu sebenarnya kepunyaan mendiang Puteri Diana yang diberi nama Ceylon Blue.
No comments:
Post a Comment