LONDON 7 April – Seorang kanak-kanak perempuan di England, mempunyai tabiat pemakanan yang pelik apabila dia ketagih makan pelapik permaidani sebagai sebahagian daripada diet makanannya.
Menurut portal Express.co.uk, kanak-kanak itu, Jessica Knight, 4, dari March, Cambridgeshire menghidap Pica, keadaan yang menyebabkan seseorang ketagih makan benda-benda yang pelik dan tiada khasiat.
Ibunya, Kelly berkata, anaknya mula makan kulit tiruan pada kerusi kanak-kanak semasa dia berumur dua tahun dan sejak itu mula mengubah dietnya dengan makan permaidani, serpihan simen dari laluan pejalan kaki, dan juga pasir.
Meskipun dia memberi amaran kepada anaknya akan bahaya yang mungkin dihadapinya, tindakan itu hanya membuatkan Knight lebih berahsia tentang perbuatannya.
Kelly dan suaminya, Chris berkata, mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana menurutnya, doktor tidak dapat berbuat apa-apa sehingga anaknya berusia enam tahun.
“Saya amat terkejut kerana apabila saya mengangkat permaidani di biliknya, saya boleh dilihat permaidani itu sudah tidak mempunyai pelapik.
“Kami mati akal. Oleh itu kami cuba membuatkannya sibuk. Jika kami cuba menghalangnya, dia akan mencari jalan lain untuk melakukannya,’’ kata Kelly.
Kelly berkata, doktor memberitahu, anaknya hanya boleh dibantu pada umur enam tahun selepas dia mencapai perkembangan kognitif yang sesuai.
Buat masa ini, ibu itu memberikan anaknya sebuah dompet kecil yang mengandungi pelapik permaidani kerana dengan cara tersebut, Knight boleh mengawal pemakanannya.
No comments:
Post a Comment