Gantang menunjukkan gambar anaknya Guo Zhen yang hilang 18 tahun lalu. – AGENSI
BEIJING 5 April - Berita tentang usaha seorang bapa di China mencari anaknya yang hilang sejak 18 tahun lalu dilapor menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini sejak kebelakangan ini.
Menurut portal Odditycentral, Guo Gantang, 45, dari Liaocheng di wilayah Shandong, menghabiskan masa selama 18 tahun di atas jalan raya dengan menunggang motosikal bagi mencari anaknya Guo Zhen di seluruh pelosok China.
Zhen hilang pada 21 September 1997 ketika baru berumur dua tahun, dan sejak itu, Gantang telah mengembara sejauh 400,000 kilometer di hampir seluruh wilayah China kecuali Xinjiang dan Tibet dengan menggunakan 10 motosikal bagi mencari anaknya.
Gantang memasang dua bendera tertera gambar lama anaknya yang diikat pada bahagian belakang motosikal yang ditunggangnya yang menurut saksi Zhen diculik di hadapan rumahnya oleh seorang wanita separuh umur.
Bagaimanapun agak malang, usaha Gantang sejak hampir dua dekad itu masih tidak berjaya, walaupun dia dianggap sebagai ‘utusan tuhan’ oleh ibu bapa lain yang turut kehilangan anak mereka.
Hal ini kerana dengan pertolongan Gantang, berpuluh-puluh kanak-kanak yang hilang di China berjaya ditemukan dan disatukan dengan keluarga mereka semula selepas BBC melaporkan lebih 20,000 kanak-kanak di China diculik, setiap tahun.
Namun, Gantang enggan menghadiri majlis pertemuan semula itu kerana dia tetap akan menunggu anaknya pulang dan tidak akan berputus asa.
“Saya sentiasa beritahu diri saya, mungkin esok Zhen akan pulang, namun hari esok itu masih belum tiba lagi,’’ katanya, sambil menambah kata, dia hanya bimbang rumahnya akan musnah semasa dia sedang mengembara mencari anaknya.
Sementara itu, kisah Gantang yang menyentuh hati itu menjadi inspirasi kepada filem Lost and Love yang dibintangi Andy Lau, dan disebabkan jalan cerita filem itu, sudah ramai orang mengetahui kisah Gantang dan menyokongnya di media sosial.
“Ini adalah kasih seorang ayah, cerita yang menyentuh hati! Saya rasa mahu menangis,’’ kata pengguna, @Xiaoyuanzi yang bersimpati dengan nasib Gantang.
No comments:
Post a Comment