Dan Kennedy memulangkan semula wang yang dijumpainya di tengah-tengah lebuh raya, baru-baru ini. AGENSI
SALT LAKE CITY 4 April– Seorang lelaki yang mengalihkan sebuah bungkusan ‘sampah’ besar yang terjatuh daripada sebuah kenderaan pengawal keselamatan ke tengah-tengah lebuh raya, terkejut selepas mendapati beg plastik tersebut dipenuhi wang kertas.
Akhbar The Deseret News melaporkan, ketika kejadian Selasa lalu, beg tersebut betul-betul jatuh di hadapan kenderaan dipandu Dan Kennedy sebelum dia bertindak mengalihnya kerana bimbang lalu lintas di lebuh raya berkenaan terganggu.
“Pada mulanya saya menyangka bungkusan itu mungkin ringan, namun saya tidak dapat mengalihkannya.
“Bungkusan itu berukuran 1.2 meter tinggi dan 0.6 meter lebar. Di dalamnya dipenuhi pek-pek kecil wang kertas AS$50 dolar dan AS$100 dolar. Saya jangkakan, satu pek mungkin mengandungi sejumlah AS$22,000 (RM80,599),” ujarnya.
Bagaimanapun, jumlah sebenar wang di dalamnya tidak pula didedahkan.
Kennedy berkata, dia kemudian bertindak memulangkan bungkusan duit tersebut kepada anggota polis dari unit Peronda Lebuh Raya Utah.
“Kes ini memang unik. Sepanjang hidup, saya tidak pernah lagi terdengar kisah bungkusan duit terjatuh daripada trak pengawal keselamatan,” kata anggota polis, Brady Zaugg yang menyifatkan Kennedy sebagai lelaki budiman.
No comments:
Post a Comment