Pages

Wednesday, October 28, 2015

Empurau RM1,000 sekilo dipamerkan di Kota Samarahan bulan depan


Oleh Mohd Roji Kawi

KOTA SAMARAHAN: Dengan harga mencecah RM1,000 sekilogram, Empurau diperakui sebagai spesis ikan air tawar termahal di Malaysia.
Ia bakal menjadi tarikan utama sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini hujung bulan depan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata sudah tiba masanya ikan eksotik termahal pernah direkodkan itu dipamerkan kepada umum kerana sebelum ini mungkin ramai yang hanya mendengar namanya.
Beliau berkata, ikan itu yang hanya ditemui di kawasan hulu sungai di negeri ini ibarat 'permata yang perlu digilap' dan mampu memperkenalkan Sarawak di mata dunia.
"Sudah tiba masanya untuk kita tonjolkan ikan empurau ke seluruh dunia dan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan kali ini adalah platform terbaik untuk tujuan itu.
"Saya yakin sambutan itu nanti akan menarik ramai pengunjung termasuk dari luar Sarawak malah juga dari luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat persediaan sambutan itu di Dewan Suarah, di sini, petang ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak.
Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 28 November ini sempena lawatan kerja beliau ke Sarawak.
Ahmad Shabery berkata, kali terakhir sambutan itu diadakan di Sarawak ialah pada 1987.
"Selepas 28 tahun, kita memutuskan untuk mengadakannya semula di sini dan ia bersesuaian kerana sebagai negeri pertanian, sambutan itu akan melonjakkan lagi sektor pertanian di Sarawak.
"Banyak produk baharu akan kita tonjolkan sepanjang sambutan itu nanti yang saya percaya akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat peladang, penternak dan nelayan," katanya

No comments: