Pages

Wednesday, September 30, 2015

Jalur garam bukti air ada di Marikh



AFP - GAMBAR yang disiarkan oleh NASA pada Ahad lalu menunjukkan jalur-jalur garam terhidrat (dalam bulatan) pada sebuah cerun di Marikh.


PARIS – Sekumpulan saintis menyatakan, terdapat jaluran-jaluran garam pada cerun di permukaan Marikh sekali gus satu penemuan baharu yang dapat membuktikan planet itu mengan­dungi air.
Air merupakan elemen penting bagi menjana kehidupan di sesebuah pla­net.
Satu pasukan dari Amerika Syarikat(AS) dan Perancis menyatakan, jaluran garam itu merupakan garam mineral terhidrat dan memerlukan air untuk terbentuk.
Penemuan itu mengukuh­kan lagi hipotesis air dalam bentuk cecair wujud di Marikh sehingga hari ini. Kajian itu disiarkan dalam jurnal Nature Geoscience.
Jalur garam itu yang panjangnya beberapa ratus meter dan lebar kurang 5 meter muncul di cerun-cerun Marikh pada musim panas dan semakin memanjang sebelum beransur hilang apabila suhu di planet itu turun.
Pada April lalu, sepasukan saintis melaporkan dalam jurnal sama bahawa garam terhidrat itu tersebar luas di Marikh yang berjiran dengan Bumi ekoran kesesuaian suhu dan kelembapan.
“Apa yang kami lakukan ialah mengukuhkan lagi teori bahawa terdapat air di Marikh,” kata penulis bersama kajian itu, Lujendra Ojha dari Institut Teknologi Georgia di Atlanta, AS.
Menurut para saintis, Marikh pernah dilitupi air suatu ketika dahulu dan masih mempunyai air pada masa ini tetapi dalam bentuk ais di bawah permukaannya.
Pada awal tahun ini, Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan pula memberitahu, hemisfera utara Marikh merupakan bekas sebuah lautan yang memiliki kedalaman lebih 1.6 kilometer.
Namun, 87 peratus air laut itu hilang ke angkasa lepas. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3nAyc1vJg 
Hakcipta terpelihara 

No comments: