Devisri Prasad melakukan aksi meluncur secara mengundur di bawah kereta dengan harapan dapat memecahkan rekod dunia. AGENSI
NEW DELHI 29 Sept. - Seorang kanak-kanak lelaki India mempamerkan kehebatan melenturkan badannya untuk meluncur secara mengundur di ruang yang sempit di bawah berpuluh-puluh buah kereta dalam tempoh kurang 25 saat.
Kanak-kanak terbabit, Devisri Prasad yang hanya berusia lapan tahun berasal dari Tirupati, tenggara India, melakukan aksi mengagumkan itu sebagai usaha memecahkan rekod Guinness World Records bagi kategori meluncur secara mengundur di bawah kereta sebelum ini iaitu sejauh 30 meter.
Menurut portal Mail Online, Prasad berjaya mengharungi jarak sejauh 100 meter di bawah 53 buah kereta dalam tempoh 22.59 saat dengan ruang ketinggian hanya 17.78 sentimeter dari permukaan tanah dan bahagian bawah kereta.
Malah, Prasad berharap aksinya itu mendapat pengiktirafan empat rekod dunia iaitu meluncur di bawah kereta paling pantas, meluncur di bawah kereta paling jauh, meluncur di bawah kereta secara mengundur, dan meluncur di ruang paling sempit.
Bagi melengkapkan cabaran tersebut, Prasad berlatih selama enam jam sehari iaitu tiga jam pada waktu pagi dan tiga jam lagi pada waktu petang dengan bantuan bapanya, Lokanathan.
“Kebiasaannya saya memulakan latihan seawal pukul 4 pagi dan menyambung semula latihan selepas tamat sesi persekolahan pada pukul 4 petang.
“Tanpa bantuan ibu dan ayah, saya tidak mampu mencapai tahap ini dan sokongan mereka sangat membantu saya mengatasi sebarang masalah.
Bapanya, Lokanathan yang merupakan pesara jurutera, berkata, dia menggunakan rakaman video untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh anaknya.
“Saya mahu Prasad menjadi peluncur profesional dan mendapat pingat emas untuk India,” katanya.
No comments:
Post a Comment