Usia bukan penghalang buat Charles Eugster untuk mencatat rekod baharu acara 100 meter dan 200 meter kategori M-5 pada British Masters di Birmingham 25 Julai lalu. AGENSI
LONDON 31 Julai – Seorang lelaki Britain berusia 96 tahun, mencatat rekod baharu dalam acara lari pecut 100 meter dan 200 meter, sekali gus memecahkan rekodnya sendiri yang dicatatkan pada tahun lalu.
Menurut laporan portal Mirror, Dr. Charles Eugster mencatat masa 23.78 saat dalam acara 100 meter bagi kategori M-95 yang dikhaskan untuk peserta lelaki berusia 95 tahun ke atas pada pertandingan British Masters di Stadium Alexander, Birmingham pada 25 Julai lalu.
Tambah laporan itu, Charles kemudiannya sekali lagi melakar kejutan apabila memecah rekod acara 200 meter selepas mencatat masa 57.27 saat sehari kemudian, catatan 0.8 saat lebih pantas berbanding rekod sebelum ini.
Charles yang merupakan bekas doktor gigi mendedahkan, Ratu Elizabeth II, 89, merupakan inspirasi baginya untuk mengekalkan stamina dan fizikal, bukan daripada dalam kalangan atlet.
“Ratu Elizabeth masih tidak bersara walaupun usianya hampir mencecah 90 tahun dan tetap menjalankan tugas dengan baik.
“Saya merasakan beliau merupakan contoh yang baik untuk diikuti,” katanya.
Selain itu, Charles mengakui beliau sering bersaing dengan pelari yang lebih muda daripadanya sebagai inisiatif dan menyifatkan pelari wanita merupakan satu gangguan.
“Kini saya mensasarkan untuk mencatat kemenangan pada kejohanan yang lebih besar iaitu Kejohanan Dunia di Lyon pada bulan depan,” katanya.
No comments:
Post a Comment