Seorang kanak-kanak membayar buku yang dibeli dengan memasukkan wang ke dalam kotak yang disediakan di sebuah kedai buku di Nanjing, China. Agensi
NANJING 31 Julai - Sebuah kedai buku tanpa juruwang dan pekerja untuk memerhatikan buku-buku yang dijual di kedai itu, telah dibuka di wilayah ini dalam usaha memupuk semangat kejujuran dan integriti.
Sebaliknya, pelanggan di kedai buku yang diberi nama Honesty Bookstore itu hanya perlu melihat buku-buku yang dijual di kedai itu dan membayar mengikut kemampuan mereka dengan memasukkan wang tersebut ke dalam satu kotak berkunci yang ditempatkan di rak-rak buku di kedai berkenaan.
Laman web Oddity Central melaporkan, Honesty Bookshop yang terletak di Xinjiekou Street itu mempunyai empat rak buku yang menempatkan kira-kira 1,500 buku termasuk novel, buku kanak-kanak, dan bahan bacaan sains sosial.
Pemilik kedai berkenaan berkata, pembukaan kedai buku tersebut merupakan satu eksperimen untuk meningkatkan kesedaran tentang kejujuran dan integriti.
“Setakat ini, tiada lagi penipuan atau kecurian berlaku di kedai ini.
“Tanpa pekerja, tiada apa yang akan menghalang sesiapa sahaja untuk mengambil buku berkenaan kecuali nilai kejujuran,’’ kata pemilik kedai itu.
Laporan tentang kedai buku berkenaan disambut baik di China terutama selepas eksperimen itu mencapai hasil yang positif.
Dua tahun lalu, sebuah restoran di Fujian membenarkan pelanggan membayar harga makanan seikhlas hati dan tidak berdasarkan harga di dalam menu seperti yang dikenakan kedai makan biasa.
Bagaimanapun, kira-kira 20 peratus pelanggan restoran itu tidak membayar dan pemiliknya dilaporkan mengalami kerugian sebanyak 250,000 yuan (RM153,755).
No comments:
Post a Comment