Bagaimanapun, video itu tidak akan dapat dirakam Eric Walters tanpa bantuan anjingnya, Zippy yang mengesan makhluk berkenaan terlebih awal sehingga mengakibatkan Bigfoot tersebut melarikan diri ke dalam belukar berhampiran.
Menurut Walters kepada Citizen-Times, ketika kejadian pada pagi kelmarin, dia membawa anjingnya bersiar-siar sebelum mengesan seekor Bigfoot sedang berjalan berhampiran bahu jalan menuju kawasan belukar.
“Sama ada memang betul terdapat Bigfoot di luar sana atau seseorang cuba bergurau dengan kami,’’ kata Walters sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Walters kemudiannya merakam makhluk besar itu menggunakan telefon pintarnya ketika Bigfoot berkenaan sedang berjalan tanpa menghiraukan tindakannya mengambil video dan salakan anjing peliharaan Walters.
Orang ramai sebelum itu memberi amaran kepada Walters bahawa terdapat beruang di kawasan ber­kenaan, sekali gus membuatkan lelaki tersebut memastikan bahawa anjing­nya sentiasa ada dekat dengannya.
“Zippy berubah menjadi haiwan yang berani dan menghalau Bigfoot itu, sekali gus menyelamatkan saya. Saya amat sayangkannya,’’ kata Walters.
Ini bukan pertama kali Bigfoot dikesan di Carolina Utara kerana pada 2011, seorang penduduk Thomas Byers pernah merakam video Bigfoot melintas jalan di daerah Rutherford.