Pages

Thursday, July 30, 2015

Tukang kasut boleh ingat beratus nombor telefon

Tukang kasut boleh ingat beratus nombor telefon
Ramzi sedang membaiki kasut seorang pelanggan di gerai miliknya di Pekan Penanti
PENANTI - Seorang tukang kasut di sini, tidak menyangka tragedi kemalangan yang menimpanya pada 25 Januari 2013 mengubah hidupnya yang dapat mengingati beratus nombor telefon tanpa melihat senarainya.

Ramzi Ramli, 52, berkata, dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan motosikal itu, kepalanya serta beberapa anggota badan lain cedera.

"Selepas menerima rawatan di hospital, kepala saya terpaksa dijahit. Pada awalnya, saya mengalami kesukaran untuk berkata-kata dan dengan bantuan daripada isteri saya dapat pulih.

“Namun apa yang memeranjatkan, selang beberapa minggu selepas itu saya dapat mengingati beberapa nombor telefon tanpa melihat senarai kenalan yang ada di telefon bimbit saya. Mulanya saya agak pelik dengan perubahan ini, namun selepas berjumpa doktor, saya
disahkan normal,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, akibat keistimewaan yang dimilikinya itu ada juga pihak yang beranggapan dia menuntut ilmu yang menyalahi tuntutan agama.

"Di sini saya mahu tegaskan bahawa saya tidak tuntut apa-apa ilmu, memang kalau orang tengok kali pertama orang akan pelik, namun bagi sahabat yang mengenali saya, sememangnya ini diri saya yang sebenar.

“Bayangkan, beratus nombor telefon yang ada dalam telefon bimbit saya, saya dapat mengingatinya dengan mudah, kadang-kadang ada juga yang pelik jika mereka tanya nombor telefon seseorang itu, saya jawab begitu sahaja tanpa melihat di telefon,” katanya yang berkahwin dengan Juaida Hasin, 40, dan dikurniakan enam anak.

Menurutnya, kini mereka sekeluarga selesa mendiami rumah hasil sumbangan pihak Jabatan Zakat.

“Dulu hidup kami agak daif, tinggal pun di sebuah rumah papan kecil. sekarang rumah tersebut masih ada dan saya jadikan sebagai stor untuk menyimpan barangan,” katanya sambil menunjukkan rumah asalnya yang terletak bersebelahan rumahnya.

Katanya, prinsip hidupnya adalah tidak meminta-minta kepada mana-mana pihak.

“Bagi saya mudah, kalau ada pihak yang sudi hendak sumbangkan apa-apa kepada saya, saya akan berlapang dada untuk terima.

“Tapi untuk saya minta sesuatu, itu jauh sekali dari prinsip hidup saya. Saya lebih selesa dalam keadaan begini, biar pendapatan tidak seberapa namun rezeki halal untuk menampung hidup anak dan isteri,” katanya.

No comments: