SAINT PAUL 29 Julai – “Anda tidak memerlukan sepasang tangan untuk memeluk seseorang, sebaliknya tekad untuk melakukan sesuatu yang mustahil dalam kehidupan.”
Itu adalah kata-kata inspirasi seorang juruterbang tanpa tangan, Jessica Cox, 32, ketika bertemu dengan seorang kanak-kanak kecil, Ruth Evelyn Pranke yang juga memiliki kekurangan sepertinya.
Pranke dipertemukan dengan Cox pada sebuah program dokumentari khas yang dikendalikan oleh stesen televisyen ABC bertajuk Right Footed, yang menceritakan pengalaman hidup juruterbang orang kurang upaya (OKU) itu.
Pertemuan itu begitu menyentuh perasaan sehingga mendapat pelbagai reaksi positif dari pelbagai pihak yang menontonnya pada 24 Julai lalu.
Cox begitu teruja dengan pertemuan dengan Pranke yang baru berusia tiga tahun, namun memiliki daya tahan tinggi sepertinya untuk berjaya dalam hidup.
Menurut Cox, dia tidak menyangka keluarga kanak-kanak itu sanggup memandu lebih dari enam jam dari Minnesota semata-mata mahu bertemu dengannya dalam rancangan tersebut.
“Apabila saya melihat diri saya sendiri dalam Pranke dari segi fizikal dan mental, saya menjadi teruja dan tersentuh.
“Semua orang tertanya apa perasaan kami ketika bertemu kerana kami tidak boleh berpelukan kerana masing-masing tiada mempunyai tangan, tetapi hakikatnya anda tidak memerlukan tangan untuk memeluk seseorang,” katanya kepada ABC baru-baru ini.
Dalam pada itu, ibu Pranke, Karlyn berkata, anaknya mahu melihat dengan mata sendiri apakah yang boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kekurangan sepertinya.
Cox bukan sahaja boleh memandu kapal terbang, malah menjalankan kehidupan biasa seperti orang lain seperti boleh memandu kereta, bermain piano, dan komputer selain terlibat dengan program motivasi.
No comments:
Post a Comment