LONDON - BRITAIN. Sebuah sekolah rendah di Britain melarang pelajar Muslim di sekolah berkenaan berpuasa semasa Ramadan kerana mendakwa amalan itu akan menjejaskan kesihatan pelajarnya.

Barclay Primary School, timur London, mengeluarkan surat arahan kepada ibu bapa bahawa pihak sekolah tidak membenarkan pelajar hadir ke sekolah dengan berpuasa untuk melindungi kesihatan dan pendidikan kanak-kanak itu.

Langkah itu bagaimanapun telah dibidas oleh komuniti Islam dan berkata, pihak sekolah perlu meminta pendapat dari ibu bapa sebelum membuat keputusan apatah lagi perkara berkaitan agama.

Dalam surat yang dikeluarkan semalam, pihak sekolah mendakwa, perkara tersebut dirujuk terlebih dahulu sebelum melaksanakan larangan itu.

'Kami dimaklumkan bahawa, dalam Undang-undang Islam, kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan, dan hanya dikehendaki untuk berbuat demikian apabila mereka sudah dewasa," katanya dipetik Mail Online.

Selain itu, larangan itu turut dilaksanakan di tiga buah sekolah lain di Britain seperti Sybourn Primary School, Thomas Gamuel Primary School dan Brook House Primary School.

Sementara itu, Persatuan Islam Britain berkata, terdapat peraturan yang mencukupi untuk melindungi orang berpuasa tanpa campur tangan pihak sekolah.

"Dalam Islam, terdapat peraturan yang membolehkan umatnya berbuka puasa jika tidak mampu berpuasa.

"Peraturan-peraturan ini termasuk kepada orang-orang yang sakit, golongan kanak-kanak dan orang uzur,"  katanya.

Dalam pada itu, menurut Presiden Persatuan Muslim Britain, Dr Omer El Hamdoon, pihak sekolah seharusnya berbincang terlebih dahulu mengenai isu ini sebelum terus melaksanakannya.