Nasib Sandra yang berjuang untuk kebebasannya dilapor akan diketahui di sebuah mahkamah Argentina pada bulan ini. AGENSI
BUENOS AIRES 22 Mei - Nasib seekor orang utan betina yang kebebasannya diperjuangkan oleh kumpalan hak asasi haiwan, dilapor akan diketahui di sebuah mahkamah Argentina pada bulan ini selepas sebuah lagi mahkamah memutuskan bahawa haiwan itu mempunyai hak asasi tertentu sama seperti manusia.
Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan, antara hak asasi itu termasuk orang utan yang bernama Sandra yang berasal dari Sumatera, Indonesia itu perlu dibebaskan dari Zoo Buenos Aires,
Dalam kes pertama seumpama itu di dunia, sebuah mahkamah di Buenos Aires pada Disember tahun lalu memutuskan, Sandra yang berumur 29 tahun patut mendapat hak yang sama seperti manusia.
Keputusan itu berikutan tindakan Persatuan bagi Pegawai-pegawai dan Peguam Hak Asasi Haiwan (AFADA) yang mewakili Sandra memfailkan writ habeas corpus, satu dokumen yang biasanya digunakan bagi mencabar kewajaran penahanan atau pemenjaraan individu yang tidak sah, November tahun lalu.
Peguam AFADA berhujah, beruk juga mempunyai fungsi kognitif yang mencukupi dan tidak boleh dianggap sebagai objek dan pada masa sama mempunyai emosi sama seperti manusia walaupun tidak mempunyai bentuk fizikal manusia.
Keputusan itu menurut peguam, juga akan membuka ruang untuk membolehkan beruk dan haiwan lain yang mendapat layanan buruk di zoo, sarkas, taman tema air dan makmal untuk mendapat kebebasan mereka.
Hakim, Elena Libertori akan mendengar hujah peguam AFADA sekali gus menentukan Sandra dapat dibebaskan ke habitat liar ataupun ditempatkan di pusat perlindungan haiwan.
Peguam AFADA, Andres Gil Dominguez berkata, hakim ‘telah mendengar keterangan pakar dari Amerika Syarikat, melalui Skype, dan pengakuan daripada seorang ketua zoo’.
Sandra yang mempunyai berat 50 kilogram dan tinggi 1.5 meter dilahirkan di Zoo Rostock di Jerman pada 1986 dan dihantar ke Argentina pada 1994, dikenali kerana bersifat pemalu dan sering bersembunyi di kandangnya.
No comments:
Post a Comment