Pakar bedah kontroversi, Sergio Canavero (kiri) merancang untuk melakukan pembedahan pertama di dunia melibatkan pemindahan kepala sukarelawan Valery Spiridonov (kanan) ke tubuh yang lain. AGENSI |
ROM 23 APRIL - Seorang doktor Itali tidak kisah dirinya disamakan dengan watak jahat, Dr. Frankenstein yang melakukan eksperimen ke atas manusia apabila beliau mengakui mampu melakukan pembedahan pemindahan kepala pertama di dunia dalam tempoh tidak sampai sejam.
Pakar bedah itu, Sergio Canavero berkata, beliau sedia melakukan prosedur tersebut kepada golongan kaya yang mahu memiliki tubuh manusia muda bagi kekal muda.
Menurut portal Mail Online, Canavero mahu menjalankan pembedahan itu ke atas seorang lelaki Rusia yang menghidap penyakit genetik otot dan akan meneruskan prosedur berkenaan di China, sekiranya beliau dilarang berbuat demikian di negara Eropah atau negara bekas Kesatuan Soviet.
Malah pesakit itu, Valery Spiridonov, 30, yang menderita penyakit Werdnig-Hoffman, secara sukarela mahu menjadi bahan uji kaji kepada Canavero dan menyedari risiko yang bakal dihadapinya.
Canavero berkata, walaupun risiko untuk gagal amat besar, beliau yakin mampu melakukan pembedahan bagi memindahkan kepala Spiridonov ke tubuh manusia yang lain.
Jelasnya, kepala Spiridonov pada mulanya akan disejukkan pada suhu 10 hingga 15 darjah Celsius.
“Saya mempunyai masa selama sejam untuk memindahkan kepala itu ke badan lain dan memerlukan masa beberapa minit menyambungkan saluran darah.
“Kepala Spiridonov akan dicantumkan pada tubuh baharu dan darah dari otak akan mula mengalir dalam tempoh kira-kira 15 minit,” katanya, sambil menambah, kos pembedahan itu berjumlah AS$15 juta (RM54 juta).
Canavero, bagaimanapun tidak menyatakan bilakah pembedahan itu akan dilakukan, tetapi bakal menjelaskan teknik prosedur berkenaan secara teliti pada sidang antarabangsa pakar bedah di Annapolis, Amerika Syarikat pada 12 Jun ini.
No comments:
Post a Comment