ARAB SAUDI - Seorang kerabat diraja Arab Saudi dikritik pelayar laman sosial kerana menawarkan 100 buah kereta Bently kepada 100 juruterbang yang terlibat dalam kempen pengeboman Yaman.

Menurut BBC, Putera Al-Waleed Talal mengumumkan perkara berkenaan selepas pengumuman tamat fasa pertama pengeboman di Yaman melalui laman Twitter beliau.

Sebahagian besar pengikut putera berkenaan di laman Twitter menyokong langkah tersebut, malah memberitahu juruterbang pengebom berhak menerima lebih.

Tetapi, di Yaman, orang ramai merasa terhina dengan tawaran tersebut.

"100 kereta mewah untuk 100 pengebom. Tiada satu pun ambulans diberikan kepada hospital (milik Yaman) yang diletupkan.

"Putera Al-Waleedberi 100 kereta Bently kepada pengebom. Rumah saya musnah dalam pengeboman berkenaan, tapi semangat saya masih kuat," kata seorang pemuda sambil berkongsi foto rumahnya yang musnah menerusi di Twitter.

Seorang lagi berkata, "100 nyawa untuk 100 Bently, begitu murah nyawa manusia."