ISLAMABAD 27 Feb. – Kira-kira 30 tahun lalu, gadis sunti Afghanistan bernama Sharbat Gula yang bermata hijau menjadi tumpuan dunia apabila gambarnya yang menghiasi muka depan majalah National Geographic, dinobatkan sebagai satu daripada gambar terbaik di dunia.
Kini, Sharbat sekali lagi mencuri tumpuan media, namun atas sebab yang jauh berbeza iaitu didakwa terlibat dengan kes rasuah di Pakistan.
Wanita itu yang kini berumur 42 tahun, disiasat kerana mempunyai kad pengenalan Pakistan sedangkan dia sebenarnya masih memegang kewarganegaraan Afghanistan, lapor Mail Online.
Gambar terbaharu Sharbat yang tertera pada kad pengenalan itu turut didedahkan.
Menurut jurucakap Pihak Berkuasa Pendaftaran dan Pangkalan Data Pakistan (NADRA), Faik Ali Chachar, wanita itu memohon untuk mendapatkan kad pengenakan Pakistan di bandar Peshawar pada April tahun lalu dengan menggunakan nama Sharbat Bibi.
Ibu kepada dua anak itu merupakan satu daripada ribuan pelarian Afghanistan yang berjaya didaftarkan dalam sistem komputer kad pengenalan Pakistan dan Sharbat menerima kad pengenalannya pada tahun sama.
“Kes ini merupakan satu daripada ribuan kes yang berjaya dikesan tahun lalu dan diserahkan kepada Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA) untuk disiasat. Kami sedang menunggu hasil siasatan tersebut.
“NADRA mengesan kes melibatkan Sharbat pada Ogos tahun lalu,’’ kata Faik.
Faik berkata, kebanyakan pelarian Afghanistan cuba mendapatkan kad pengenalan Pakistan pada setiap hari dengan menggunakan dokumen palsu.
No comments:
Post a Comment