Para pegawai jabatan haiwan dan pertubuhan hidupan liar merekodkan ukuran ikan yu paus yang ditemukan mati selepas terperangkap di dalam sebatang terusan di Jawa Timur, Indonesia, baru-baru ini.
JAKARTA – Penduduk di bandar Probolinggo, Jawa timur gempar dengan penemuan bangkai seekor ikan yu paus di sebatang terusan di pinggir laut Paiton, di sini baru-baru ini.
Portal berita detik.com melaporkan ikan daripada spesies Rhincodon typus atau turut dikenali paus hiu itu dipercayai terperangkap di terusan PLTU Paiton pada 31 Januari lalu.
Bagaimanapun, ikan sepanjang 6.8 meter dan memiliki berat kira-kira enam tan itu ditemukan mati sebelum sempat dipindahkan ke habitat asalnya.
Setelah terperangkap selama 10 hari di terusan PLTU Paiton, yu paus itu akhirnya mati.
Punca kematian yu paus itu masih belum diketahui kerana siasatan ke atas ikan itu masih berjalan.
Sementara itu, seorang aktivis dari Jakarta Animal Aids Network (JAAN), Amang Raga yang terlibat dalam pasukan penyelamat haiwan itu berkata, pihaknya masih melakukan pengambilan sampel organ tubuh daripada yu paus untuk mengetahui sebab kematiannya.
“Kita masih perlu melakukan pemerhatian dengan membuat autopsi bagi mengetahui punca yu paus itu mati,” kata Amang.
Katanya, daripada pemerhatian pasukan penyelamat, terdapat beberapa kesan luka pada tubuh yu paus yang mati itu, Namun pihaknya belum dapat memastikan luka pada tubuh paus tersebut.
“Adakah luka ini terjadi sebelum terperangkap di dalam saliran atau setelah berada di dalam saliran berkenaan. Hal ini kita belum dapat pastikan sehinggalah autopsi dapat dilakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment