Menurut saksi, dua kubur besar turut ditemui di berasingan di wilayah Anbar mengandungi kira-kira 300 mayat pengikut Sunnah Muslim Albu Nimr dengan kesemua mangsa dipercayai berusia antara 18 dan 55 tahun.
Kesan tembakan jarak dekat turut ditemui ada mayat-mayat tersebut.
Selain itu, lebih 70 mayat lelaki daripada kumpulan yang sama ditinggalkan dekat pekan Hit yang merupakan kawasan majoriti penduduk Sunnah di wilayah tersebut.
Kebanyakan mangsa merupakan anggota polis atau pejuang anti-IS yang digelar sebagai Sahwa (kebangkitan).
Satu lagi kubur besar ditemukan dekat bandar Ramadi di wilayah yang sama, mengandungi 150 mayat pengikut tersebut.
“Militan IS mengarahkan pengikut kumpulan itu meninggalkan kampung mereka dan berpindah ke Hit, terletak kira-kira 130 kilometer di barat Baghdad dan memberi jaminan mereka tidak akan diapa-apakan.
“Tetapi militan IS bertindak kejam apabila menahan dan menembak mati kesemua mangsa tersebut,” kata saksi berkenaan yang enggan dikenali.
Dalam perkembangan di Syria, militan IS mendakwa menawan sebuah lapangan minyak di wilayah tengah Homs, selepas bertempur dengan tentera kerajaan, serta berjaya merampas lima kereta kebal, dua kenderaan berperisai, mesingan dan peluru.
Di pekan strategik Kobani pula, kumpulan pertama puak Kurdis Iraq tiba untuk membantu kumpulan bersenjata puak Kurdis Syria menentang kemaraan militan IS yang tidak terjejas, walaupun diserang tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat. – REUTERS/AFP