Pages

Wednesday, June 27, 2012

Turki dakwa sebuah lagi pesawatnya turut ditembak Syria

Gambar bertarikh 24 Jun 2012 menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai Turki memulakan perjalanan ke pelabuhan Samandagi di bandar Hatay bagi mengesan jet tenteranya yang ditembak jatuh Syria pada 22 Jun lalu. - AFP
ISTANBUL 26 Jun - Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc menyifatkan insiden pesawat pejuang negaranya ditembak oleh Syria sebagai 'tindakan permusuhan tahap tertinggi' dan mendakwa sebuah pesawat penyelamat turut diserang.
Arinc semasa satu sidang akhbar semalam selepas mesyuarat Kabinet bagi membincang insiden itu turut menyatakan, Ankara mungkin akan menghentikan penyaluran bekalan tenaga kepada Damsyik.
"Menembak sebuah pesawat tanpa memberi amaran adalah tindakan bermusuhan tahap tinggi," katanya sambil menambah, pesawat F-4 Phantom tersebut terkena peluru berpandu kawalan haba di ruang udara antarabangsa.
Menurutnya, tentera Syria turut melepaskan tembakan ke arah sebuah pesawat penyelamat yang mencari juruterbang yang hilang akibat insiden itu, tetapi tidak memaklumkan bila ia berlaku.
"Satu daripada pesawat CASA kami berlepas membawa sepasukan penyelamat, tetapi ia turut ditembak. Kementerian Luar Turki dan tentera telah memaklumkan pihak berkuasa Syria dan mahu supaya ia dihentikan dengan segera.
"Semua pihak perlu tahu tindakan seperti ini tidak akan dibiarkan tanpa menerima hukuman," tegasnya.
Arinc berkata, Ankara juga akan bertindak balas mengikut undang-undang antarabangsa. - AFP

No comments: