Perbezaan wajah Landon Jones, 12, selepas menghidap penyakit misteri yang membuatkan dia tidak berasa lapar atau dahaga. Gambar kiri diambil pada tahun lalu, manakala gambar kanan merupakan gambar terbaharu. – AGENSI
NEW YORK 31 Okt. – Seorang budak lelaki di Amerika Syarikat (AS) menghidap sejenis penyakit misteri apabila dia tidak berasa lapar atau dahaga sejak lebih setahun lalu, sekali gus mengundang kebimbangan ibu bapanya terhadap kesihatan anak mereka itu.
Portal odditycentral.com melaporkan kanak-kanak tersebut, Landon Jones, 12, mula mengalami keadaan pelik itu sejak 14 Oktober tahun lalu selepas makan piza dan aiskrim dengan banyak pada malam sebelumnya.
Apabila dia bangkit dari tidur keesokan harinya, Landon telah kehilangan rasa lapar dan dahaga, menyebabkan keadaan badannya menjadi lemah tidak bertenaga dan sering mengalami pening kepala.
Meskipun Landon, yang berasal dari Iowa, dibawa ke banyak klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi kebanyakan doktor buntu mencari punca sebenar kanak-kanak tersebut menghidap penyakit misteri itu.
Pakar perkembangan otak kanak-kanak di Klinik Mayo, Dr. Marc Patterson berkata, kes Landon mungkin satu-satunya kes di dunia dan dia mungkin mengalami gangguan fungsi hipotalamus iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab untuk mengawal deria lapar, haus, suhu badan, tekanan darah dan kitaran tidur, namun tidak ada bukti kukuh menyokong teori itu.
Ayah Landon, Jones pula menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan anaknya yang kehilangan berat badan daripada 47 kilogram kepada 30 kilogram, selain tidak bersemangat dan tidak menjamah walaupun sedikit roti atau seteguk air.
“Anak saya hanya hadir ke sekolah sebanyak 65 hari dalam tempoh setahun sejak menghidap penyakit tersebut dan banyak menghabiskan masa terbaring di atas sofa di rumah.
“Dia akan menjalani ujian kesihatan di Institut Kesihatan Negara, tempat yang hanya mengkaji kes unik seperti Landon dan saya berharap dia akan pulih semula menjadi kanak-kanak yang riang dan sihat seperti dahulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment