Pages

Wednesday, October 1, 2014

Laut Aral semakin kering


DUA imej menunjukkan keadaan Laut Aral yang semakin kering (kanan) ketika dirakam pada 19 Ogos lalu berbanding (kiri) pada 15 Ogos 2001. - AGENSI

ASTANA 30 Sept. - Laut Aral yang pernah muncul sebagai laut keempat terbesar di dunia, kini kering sepenuhnya buat pertama kali pada tahun ini.
Perubahan terbesar pada laut yang terletak di tengah Gurun Kyzylkum itu didedahkan imej satelit Terra kepunyaan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), baru-baru ini.
Dalam gambar itu, NASA menunjukkan perubahan drastik yang berlaku pada laut itu bermula pada tahun 2000 hingga tahun ini, lapor Mail Online.
Laut Aral mengalami perubahan mendadak selepas Kesatuan Soviet pada sekitar 1960-an melaksanakan projek lencongan air utama di gurun yang memisahkan tiga negara iaitu Kazakhstan, Uzbekistan dan sebahagian Turkmenistan.
Dua sungai utama yang mengalir ke Laut Aral pada ketika itu yang mendapat punca airnya daripada salji dan air hujan dari gunung berhampiran, digunakan bagi mengubah gurun itu kepada kawasan pertanian.
Sebelum projek itu dilaksanakan, dua sungai itu, Syr Darya dan Amu Darya mengalir dari gunung melalui kawasan barat laut Gurun Kyzylkum sebelum membentuk takungan di bahagian paling rendah lembangan tersebut.
Projek pengairan itu menyuburkan padang pasir, tetapi membawa kesan teruk kepada Laut Aral dengan kesan pengeringannya jelas dilihat pada tahun 2000 selepas kawasan tasik membentuk beberapa bahagian takungan air.
Kini, Laut Aral yang mengering memberi kesan besar kepada kehidupan nelayan dan penduduk yang bergantung hidup kepada tasik itu.
Selain itu, habuk dari dasar tasik yang ditiupkan angin turut memberi kesan kepada tanaman yang memerlukan air lebih banyak kerana habuk tersebut tercemar dengan bahan kimia sekali gus mendedahkan penduduk kepada masalah kesihatan.
Malah menurut NASA, kehilangan pengaruh air di Gurun Kyzylkum turut mengakibatkan suhu melampau di kawasan itu yang menjadikan musim sejuk bertambah sejuk dan musim panas menjadi lebih kering.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141001/lu_05/Laut-Aral-semakin-kering#ixzz3Eq34ORkL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: