MANILA 29 Julai - Ketibaan bulan Syawal sepatutnya disambut dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan oleh berbilion penduduk Islam di seluruh dunia sebagai menandakan kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan.
Namun, pergolakan di beberapa negara termasuk negara Islam sendiri menyaksikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dibayangi keganasan apabila masyarakat Islam di Filipina, Syria, Iraq, rantau Afrika dan Myanmar terjejas teruk akibat pergolakan perang saudara, penindasan dan pemberontakan.
Di Filipina, sekumpulan 50 lelaki bersenjata dipercayai militan Abu Sayyaf menyerang sekumpulan umat Islam yang dalam perjalanan ke kampung menaiki dua buah van untuk menyambut Aidilfitri, menyebabkan 21 orang terbunuh termasuk enam kanak-kanak dan 11 lagi cedera dalam kejadian yang berlaku di pekan Talipao di wilayah Sulu.
Sementara itu di Syria, lebih sejuta pelarian rakyat negara itu yang berlindung di Lebanon turut meluahkan rasa kurang gembira kerana tidak dapat menyambut Syawal di rumah mereka akibat perang saudara antara kumpulan penentang dan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad yang telah berlanjutan lebih tiga tahun.
Konflik serangan militan Kumpulan Negara Islam (IS) di Iraq juga mencemari ketibaan Aidilfitri apabila letupan bom kereta di lokasi tumpuan termasuk ibu negara, Baghdad membayangi penduduk Islam negara ini terhadap tahap keselamatan yang rapuh untuk menangkis ancaman luar.
Di Afrika Barat, umat Islam meratapi kematian lebih 670 orang akibat penyebaran wabak maut, Ebola dan tragedi pesawat Air Algerie terhempas yang membunuh kesemua 118 penumpang serta krew.
Kemelut rusuhan agama di Republik Afrika Tengah turut mencacatkan sambutan Syawal ekoran ancaman kumpulan militan Kristian menjadikan penduduk Islam sebagai sasaran walaupun gencatan senjata antara anti-Balaka dan kumpulan Seleka dipersetujui pada bulan lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140730/lu_02/Sambutan-Aidilfitri-dunia-dibayangi-pergolakan-penindasan#ixzz38tiJ6Xt7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment