2014/07/06 -
Kanak-kanak melihat fosil dinosaur terbesar yang dipamerkan di Muzium Egidio Feruglio di Trelew, Argentina. - Foto AFP |
Harap dapat gali keluar ratusan lagi fosil
Buenos Aires: Beberapa bulan lalu saintis Argentina menemui tulang dinosaur gergasi. Kini mereka berharap untuk menggali keluar ratusan lagi fosil, terutama bahagian kepala dinosaur gergasi itu.
Beberapa tahun lalu, saintis menemui fosil seperti sauropod (pemakan tumbuhan gergasi dengan leher dan ekor yang panjang) di wilayah Patagonia Argentina. Disahkan bahawa kawasan pedalaman itu pernah suatu ketika dulu menjadi habitat dinosaur terbesar di muka bumi ini.
Pada Mei lalu, saintis mengesahkan penemuan rangka sauropod bersaiz gergasi seberat 80 tan dan tulang enam lagi spesis makhluk lain.
Ia menandakan satu pencapaian penting bagi paleontologis dan mendorong mereka untuk merancang lebih banyak penggalian pada musim bunga di hemisfera selatan bermula bulan September dan pada musim panas pada Disember.
Matlamatnya adalah untuk mencari tengkorak sauropod, yang mungkin ditemui sekiranya penggali berhati-hati mencarinya pada batuan untuk lebih banyak fosil.
“Apa yang kami ada dari tengkorak adalah gigi,” kata ahli paleontologi Jose Luis Carballido dari Muzium Egidio Feruglio, di bandar Trelew, 1,400 kilometer di selatan Buenos Aires.
“Mencari tengkorak adalah penting kerana tidak banyak tengkorak sauropod dari peringkat evolusi ini, kami percaya haiwan ini telah melaluinya,” katanya kepada AFP.
Sehingga kini saintis telah melihat tengkorak dari peringkat evolusi terdahulu dan kemudian yang sebelum daripada itu, kata Carballido.
Tinggalan yang ditemui tahun ini adalah dari haiwan yang berada “di tengah-tengah evolusi itu, tetapi kita tidak tahu bagaimana rupa kepalanya,” katanya.
Penemuan dinosaur terbesar yang pernah ditemui itu berlaku di estet swasta 260 kilometer di barat Trelew apabila seorang pekerja ternampak sesuatu yang sebenarnya adalah tulang paha terbesar pernah dijumpai. Tulang itu mencecah 2.40 meter panjang. - AFP
No comments:
Post a Comment