LONDON 15 Julai - Sebuah keluarga dari kampung Uphill berhampiran Bristol di sini bingung selepas mereka menemukan tinggalan rangka dipercayai milik 'raksasa laut' yang pelik selepas haiwan itu terdampar di sebuah pantai di Britain.
Lisa Worthington, 42, secara tidak sengaja menemukan makhluk itu semasa dia sedang berjalan-jalan di kawasan pantai di Weston-Super-Mare, utara Somerset bersama suaminya, Peter, 52, dua lagi anak mereka serta anjing peliharaan mereka.
Worthington kemudiannya memutuskan untuk membawa tinggalan rangka berukuran 0.6 meter tersebut pulang ke rumah mereka bagi membolehkan seorang daripada anak mereka, Tyler menunjukkannya kepada kawan-kawannya.
"Rangka itu agak pelik. Orang ramai yang melihatnya memberi pelbagai idea gila tentang apa sebenarnya rangka tersebut. Malah kawan saya menyangka itu adalah rangka seekor llama berdasarkan ekornya yang sedikit panjang,'' kata Worthington, lapor Mail Online.
Keluarga itu pada masa sama turut memuat naik gambar tinggalan rangka tersebut di Facebook hingga menimbulkan pelbagai spekulasi tentang spesies sebenar makhluk berkenaan.
Ada yang mendakwa tinggalan rangka itu adalah seekor cicak atau angsa termasuk pihak lain yang menyatakan haiwan itu adalah dari spesies ikan pari.
Sementara itu, seorang ahli biologi marin, Steve Simpson berkata, dia tidak pernah melihat tinggalan rangka tersebut.
Namun, pakar hidupan laut lain menyatakan rangka itu adalah seekor ikan pari. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140716/lu_11/Rangka-haiwan-misteri-terdampar-di-pantai#ixzz37a7XrgIe
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment