Pages

Wednesday, June 25, 2014

Jerung gergaji sesat ke Sibu


Ikan sepanjang lima meter itu ditemui seorang nelayan Azmi Muji, 27, bersama dua rakannya pada jam 6 petang kira-kira tiga batu nautika dari kawasan pantai. 
Azmi berkata, dalam kejadian petang itu, bot kecil yang mereka naiki bergoyang kuat berbanding biasa seolah-olah dilanggar objek besar. 

Katanya, selepas membuat pemeriksaan, dia terkejut apabila mendapati seekor jerung gergaji tersangkut pada pukatnya.
Foto
PENDUDUK membantu menunda jerung gergaji ke pantai untuk dilepaskan.

“Saya panik melihat cahaya bersinar pada pukat dengan bahagian kepala ikan itu amat besar dan kelihatan seperti gergaji.

“Jerung itu masih hidup dan saiznya terlalu besar tetapi dalam keadaan lemah. Kami cuba menaikkannya ke dalam bot tetapi gagal,” katanya, semalam. 

Menurutnya, selepas usaha menaikkan jerung berkenaan gagal, dia kembali ke darat dan meminta bantuan penduduk untuk melepaskan jerung itu daripada pukatnya. 

“Saya tiada pilihan selain terpaksa menghubungi penduduk kampung bagi membantu menunda jerung berkenaan ke pantai. 

“Kami mengambil masa lebih dua jam untuk menarik ikan berkenaan ke pantai Bruit,” katanya. 

Jerung gergaji (sawsharks) atau nama saintifiknya Pristiophoriformes adalah spesies jerung di perairan laut dalam tidak kurang dari 40 meter dan hanya boleh ditemui di perairan Jepun, Afrika dan Australia.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

No comments: