Pages

Friday, January 17, 2014

Jerung sirip hitam masih belum pupus


Spesies jerung sirip hitam yang disangkakan pupus sejak 110 tahun lalu, ditemukan dijual secara terbuka di sebuah pasar di Kuwait, baru-baru ini. - AGENSI
KUWAIT CITY 16 Jan. - Sejenis spesies ikan jerung yang dipercayai telah pupus sejak sekian lama, ditemukan dijual di sebuah pasar di Kuwait, baru-baru ini.
Jerung bersirip hitam itu dikatakan tidak wujud lagi, malah hanya terdapat satu sampel ikan tersebut yang disimpan bagi tempoh 110 tahun lalu untuk tujuan penyelidikan.
Namun, satu tinjauan di pasar ikan di Kuwait City mengejutkan para saintis apabila sebanyak 47 ekor ikan jerung jenis itu yang sudah dibunuh, dijual secara terbuka kepada orang ramai.
Penduduk tempatan menggelar ikan pemangsa itu sebagai 'Sharg' yang membawa maksud timur dalam bahasa Arab.
Analisis selanjutnya mendapati, ikan itu merupakan ikan jerung bersirip hitam, walaupun pada mulanya dakwaan tersebut disangkal kerana haiwan itu ditemukan di pasar Kuwait City yang terletak 2,896 kilometer dari Yemen, lokasi pertama spesies berkenaan ditemukan.
Saintis mengambil peluang tersebut untuk mengumpul pelbagai maklumat tentang jerung itu sebagai persediaan melaksanakan pelan pemulihan termasuk mengkaji bagaimana haiwan tersebut membesar, jumlah anak yang dilahirkan dan habitatnya.
Malah, saintis juga mula menjalankan kajian terhadap ikan yang ditangkap di Kuwait, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen.
Sebelum ini saintis pernah menemukan dua ekor ikan jerung yang dipercayai daripada spesies yang sama.
Penemuan pertama pada 1985 didaftarkan sebagai spesies baharu, manakala ikan jerung kedua yang merupakan satu-satunya spesies jerung bersirip hitam ditemukan oleh pakar haiwan dan tumbuhan, Wilhelm Hein semasa mengembara ke Yemen pada 1902.
Namun, pada 2008, Persatuan Pemuliharaan Jerung mendedahkan satu lagi penemuan seekor ikan jerung yang disifatkan hampir sama seperti spesies jerung bersirip hitam itu selepas meneroka perairan Yemen. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140117/lu_07/Jerung-sirip-hitam-masih-belum-pupus#ixzz2qbBa2Ihv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: