Pages

Friday, January 17, 2014

Remaja jumpai bom zaman perang



Kane Byrne (kiri) dan Alex Taylor (kanan) menemukan dua butir peledak zaman perang (gambar bawah) ketika melakukan aktiviti mengesan logam di Kent, England, baru-baru ini. - AGENSI
FOLKSTONE, England 16 Jan. - Seorang bapa di sini panik, apabila mendapati anaknya bersama seorang rakan membawa pulang dua peledak peninggalan Perang Dunia Kedua, selepas melakukan aktiviti mengesan logam di sebuah padang di Kent.
Kane Byrne dan Alex Taylor, kedua-duanya berusia 12 tahun, pada mulanya mahu mencari barang perhiasan dan duit syiling, sebelum mereka menjumpai peledak antikereta kebal itu.
Pelajar Sekolah Lelaki Dover Grammar itu dilaporkan melakukan aktiviti tersebut ketika hari cuti ekoran berlakunya banjir.
Karl Byrne, 42, bapa kepada Kane bertindak meletakkan peledak berkenaan di dalam beg dan menempatkannya di taman di belakang rumah supaya bahan letupan itu tidak terdedah kepada cuaca panas yang boleh menyebabkannya meletup.
"Kane mahu menunjukkan kepada saya apa yang dia temui, namun setelah melihat objek berkenaan air muka saya terus berubah.
"Saya berasa panik, namun tetap tenang di hadapan mereka, saya tahu apa sebenarnya objek itu,'' jelas Karl.
Peledak yang boleh membawa kemusnahan dalam lingkungan 1.8 meter jika meletup itu, kemudiannya dilupuskan oleh pihak polis.
"Perkara itu sama sekali tidak akan menghalang saya daripada terus melakukan aktiviti mengesan logam. Bagaimanapun, polis menasihati jika terjumpa sesuatu yang tidak diketahui, saya harus memberitahu ayah terlebih dahulu,'' ujar Kane.
Sementara itu, menurut Taylor, mereka mengorek tanah sedalam kira-kira 0.3 meter dan menemukan peledak pertama, sebelum membawanya pulang ke rumah Byrne.
"Kami bersihkan bom itu dan berhasrat untuk pergi semula ke tempat yang sama sebelum menjumpai peledak kedua bersebelahan tempat peledak pertama,'' terang Taylor. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140117/lu_08/Remaja-jumpai-bom-zaman-perang#ixzz2qbBjvet9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: