Pages

Friday, January 17, 2014

Bina bangunan paling tinggi


Sky City mempunyai ketinggian 10 meter mengatasi pemegang rekod dunia ketika ini iaitu Burj Khalifa.
CHANGSHA, China 16 Jan. - Hasrat bilionair China, Zhang Yue untuk membina bangunan tertinggi di dunia setinggi 838 meter dalam tempoh kurang setahun telah mendapat kritikan hebat terutamanya dari segi keselamatan.
Namun, tycoon China berkenaan tetap mahu meneruskan hasratnya membina bangunan itu dengan pelaburan sebanyak AS$1.46 bilion (RM4.672 bilion).
Hal ini kerana beliau telah mempunyai rekod kejayaan membina bangunan menyerupai piramid mesir dan replika Versailles dalam tempoh enam bulan.
Kejayaan membina bangunan tinggi dalam tempoh yang singkat itu disokong oleh teknologi pembinaan pasang siap dan syarikat Yue, Broad Sustainable Building telah mencatat rekod dunia dengan membina hotel setinggi 30 tingkat dalam tempoh 15 hari di bandar Changsha.
Beliau berkata, bangunan yang akan diberi nama Sky City berkenaan mempunyai ketinggian 10 meter mengatasi pemegang rekod dunia ketika ini iaitu Burj Khalifa yang mengambil masa lima tahun untuk dibina dengan kos AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).
"Kami merancang menyiapkan Sky City sebelum hujung tahun ini dan hasrat itu telah menerima tentangan yang hebat. Tidak ramai yang menyokong kami dan terlalu ramai yang dengki.
"Kami akan bina dulu baru mereka akan percaya," katanya kepada AFP.
Sumber rapat daripada pejabat Yue berkata, pekerja sedang bersemangat untuk menyediakan komponen bangunan berkenaan dan menegaskan tidak mempunyai masalah menggunakan teknologi pasang siap bagi membina Sky City.
"Kami boleh siapkannya sebelum Disember ini, malah mampu membina bangunan yang lebih tinggi lagi," kata pekerja-pekerja Yue.
Projek berkenaan telah dilancarkan tahun lalu tetapi dihentikan serta merta oleh pihak berkuasa Changsha kerana permit yang tidak lengkap.
Sementara itu, jurutera pakar bebas berkata, konsep Sky City akan berdepan dengan banyak masalah seperti, rekaan lif, sistem tebatan kebakaran dan kekukuhan struktur bangunan apabila siap.
Pengarah Bangunan Tinggi dan Kehidupan Bandar (CTBUH) iaitu sebuah majlis yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), Antony Wood berkata, beliau masih sangsi dengan projek berkenaan tetapi sangat menyanjung tinggi apa yang telah dilakukan oleh Broad Sustainable Building sebelum ini.
"Dalam masyarakat sekarang, jika kamu mahu melakukan sesuatu yang baik, tiada siapa akan percaya. Masyarakat kekurangan sifat kepercayaan dan sentiasa melihat sesuatu yang baik dari sudut negatif," jelasnya.
Yue yang ketika ini berumur 53 tahun, memulakan kerjayanya sebagai penjual produk pendingin hawa sehingga menjadi usahawan pertama China yang memiliki helikopter sendiri.
Beliau merupakan seorang yang rendah diri, makan bersama kakitangan di kantin yang sama, meludah ke dalam tisu tanpa malu semasa bercakap tetapi beliau sentiasa mempunyai visi untuk mengubah bandar-bandar di China.
Beliau juga seseorang yang tidak mementingkan keuntungan semata-mata dalam setiap projeknya dan sangat mengambil berat mengenai alam sekitar - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140117/ek_01/Bina-bangunan-paling-tinggi#ixzz2qbEkzt7M
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: