Pages

Monday, February 18, 2013

Jalani ujian kecergasan



Anggota polis Britain yang menghadapi masalah lebihan berat badan akan dikerah menjalani ujian kecergasan dan gaji mereka akan dipotong jika gagal dalam ujian tersebut. - GAMBAR HIASAN
LONDON 17 Feb. - Polis Britain akan dipaksa menjalani ujian kecergasan baharu dan gaji anggota pasukan keselamatan itu akan dipotong jika mereka gagal dalam ujian tersebut.
Kerajaan merancang memotong gaji anggota dan pegawai polis yang hanya bekerja di pejabat selepas mendakwa mereka tidak sihat untuk bertugas di lapangan.
Tindakan itu diambil selepas akhbar The Mail hari ini mendedahkan lebih 5,300 anggota polis di England dan Wales ditugaskan untuk kerja-kerja pejabat dengan gaji penuh selepas didapati tidak mampu melakukan kerja-kerja operasi kerana keletihan dan tidak sihat.
Walaupun laporan rasmi mendapati tiga perempat anggota polis London gemuk atau obes, namun sebarang tindakan tegas berhubung kesihatan akan menimbulkan perdebatan baharu antara kerajaan dan polis.
Kerajaan kini berdebat dengan polis berhubung gaji dan kebajikan mereka.
Bagaimanapun, perubahan baharu yang dicetuskan oleh Menteri Polis, Damian Green bertujuan menangani kebimbangan bahawa orang ramai dalam bahaya selepas pasukan keselamatan itu tidak cergas untuk mengejar penjenayah.
''Ujian kecergasan ini akan diperkenalkan tidak lama lagi,'' katanya semalam.
Green dijangka memperkenalkan satu ujian 'serangan' melibatkan merangkak, melompat, memanjat tembok dan mengangkat beban.
Beliau juga ingin memastikan pengurangan jumlah anggota polis yang diberikan kerja-kerja pejabat selepas mengalami kecederaan atau masalah kesihatan yang buruk.
Anggota polis yang ditugaskan untuk kerja-kerja pejabat lebih dari setahun, akan dikenakan potongan gaji sebanyak lapan peratus dan selepas dua tahun akan dipaksa bersara atas alasan kesihatan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130218/lu_05/Jalani-ujian-kecergasan#ixzz2LD48yUHm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: