SUMENEP, Jawa Timur - Tilam yang empuk biasanya dapat membantu untuk mendapatkan tidur yang nyenyak dan keselesaan bagi menjaga tubuh badan.
Namun lain pula kisahnya di Desa Legung Timur di Sumenep, Jawa Timur apabila kebanyakan penduduk setempat lebih gemar tidur di atas pasir.
Bukan sekadar membantu mendapatkan tidur yang nyenyak, malah penduduk mendakwa, amalan itu dapat meningkatkan tahap kesihatan badan.
Rata-rata setiap rumah di Desa Legung Timur mempunyai binaan petak berbentuk katil dengan keluasan enam meter persegi setinggi 15 sentimeter yang diperbuat daripada simen.
Separuh petak simen itu akan diisi separuh pasir halus, sekali gus menjadi tempat tidur penghuni di setiap rumah di kampung tersebut.
Seorang daripada penduduk, Junaidi mengakui, amalan tidur di atas pasir sudah menjadi budaya sejak dahulu lagi dan tiada penduduk menggunakan tilam.
Jelasnya, tilam hanya digunakan oleh pengantin pada malam pertama sahaja dan selepas itu, ia akan diganti dengan 'tilam' pasir halus.
"Jika tidur di atas katil, badan mengalami sakit sendi, tetapi berbeza dengan pasir, tidur saya lebih nyenyak dan selesa," katanya kepada kompas.com.
Jelas Junaidi, pasir akan diangkut dari depan rumah masing-masing dan perlu ditapis sebelum diletakkan di dalam petak katil, pasir yang telah kotor akan diganti dengan baharu.
"Tradisi ini dijalankan sejak zaman nenek moyang kami, namun tiada maklumat yang jelas tentang asal-usulnya.
"Tetapi ada penduduk percaya tidur di atas pasir lebih nyenyak berbanding tidur di atas tilam," katanya.
Malah Junaidi berkata, ada kepercayaan lain meletakkan bayi yang baru lahir di atas pasir sebelum dimandikan.
Katanya, ada juga penduduk yang menyapu pasir ke badan pesakit yang tidak dapat tidur bagi mengatasi masalah itu.
"Amalan aneh ini menjadi tradisi sebahagian masyarakat di kampung ini.
"Apa yang penting bagi kami, pasir sudah menjadi sebahagian daripada hidup kami sejak turun-temurun," ujarnya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131109/lu_08/Tilam-pasir-pilihan-penduduk#ixzz2k9oLzSTb
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment