Pages

Thursday, March 14, 2013

Tentera direjam sampai mati



PESHAWAR: Seorang anggota tentera direjam sampai mati di kawasan puak di barat laut Pakistan berikutan dakwaan menjalin hubungan dengan seorang remaja perempuan, kata pihak berkuasa semalam.

Satu majlis puak di bandar Parachinar, hampir dengan sempadan Afghanistan di daerah Kurram, mengarahkan hukuman ke atas Anwar-ud Din, yang berusia 25 tahun kerana melakukan hubungan haram dengan gadis tempatan.
Ada kira-kira 40 hingga 50 orang membaling lelaki itu dengan batu sehingga dia berdarah dan meninggal dunia, kata seorang anggota puak tempatan kepada AFP.

Hubungan antara lelaki dan wanita tanpa persetujuan keluarga dianggap tidak bermoral oleh kebanyakan masyarakat di Pakistan, terutama di kawasan puak barat laut yang konservatif, di mana militan dikaitkan Taliban dan Al-Qaeda mempunyai kubu kuat.

Beratus-ratus orang dibunuh di negara itu setiap tahun atas nama mempertahankan maruah keluarga, namun merejam jarang dilakukan.

Din dituduh mempunyai hubungan dengan seorang gadis 18 tahun dan bertemu secara sulit, namun kedua-duanya ditangkap Ahad lalu di sebuah perkuburan, kata anggota puak kepada AFP.

Tentera terbabit mengakui dia bertemu dengan gadis itu tiga kali atau lebih sebelum hukuman dilakukan kelmarin di kawasan perkuburan di mana pasangan itu ditangkap, kata anggota puak, menambah bahawa mayatnya kemudian dibawa ke hospital.

No comments: