|
TUNIS - Seorang peniaga rokok yang membakar dirinya di sebatang jalan di sini kelmarin meninggal dunia semalam akibat melecur teruk, kata seorang pegawai perubatan.
Pengarah Pusat Melecur Ben Arous, Imed Toiuibi berkata, peniaga itu, Adel Khadri, 27, mati pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan kerana melecur teruk.
Menurut beberapa pegawai, Khadri yang berasal daripada sebuah keluarga yang amat miskin di Jendoubam, barat laut Tunisia tiba di sini beberapa bulan lalu untuk mencari pekerjaan.
Dia dilaporkan membakar diri di depan sebuah bangunan pentadbiran di Habib Bourguiba Avenue di sini.
Menurut seorang saksi, Khadri memberitahu, dia terpaksa menjual rokok kerana tidak mempunyai pekerjaan.
Saksi itu berkata, dia menyebut Allahuakbar sebelum bertindak membakar dirinya. Beberapa anggota keselamatan dan pejalan kaki kemudian cuba memadamkan api pada tubuh lelaki tersebut.
Api itu berjaya dipadamkan dan dia diusung ke dalam sebuah ambulans untuk dihantar ke hospital tersebut.
Menurut jurucakap sebuah agensi perkhidmatan kecemasan, Mongi Khadhi, bapa pemuda itu meninggal dunia empat tahun lalu.
"Dia (Khadri) mempunyai tiga beradik dan keluarganya amat miskin," katanya.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Khaled Tarrouche berkata, psikologi Khadri terjejas kerana tidak mempunyai pekerjaan menyebabkannya membakar diri.
Seorang penjaja yang menjual roti di jalanan yang hanya dikenali sebagai Farid memberitahu, dia memahami kenapa Khadri melakukan perbuatan itu.
"Apabila kita menjadi tidak bernilai, tingkat sosial rendah dan miskin, ketika itulah kita melakukan perbuatan gila," katanya.
Pada Disember 2010, seorang penjaja di bandar Sidi Bouzid, di sini, Mohamed Bouazizi, 26, pernah membakar diri sehingga mati kerana memprotes gerainya dirampas pihak berkuasa.
Insiden tersebut telah mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di Tunis sehingga menyebabkan Zine El Abidine Ben Ali meletak jawatan sebagai Presiden pada 14 Januari 2011. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0314&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2NTKMy2Zr
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment