Pages

Thursday, March 14, 2013

Barat laut Eropah dilanda salji



Sebuah lori jentolak membersihkan salji yang melitupi landasan lapangan terbang di Frankfurt di barat Jerman, kelmarin. - AFP
PARIS 13 Mac - Negara-negara barat laut Eropah, semalam dilanda ribut salji terburuk mengakibatkan ratusan penerbangan dibatalkan serta beberapa perkhidmatan kereta api utama, termasuk Eurostar turut dibatalkan.
Ribut salji itu yang berlaku lapan hari sebelum ketibaan musim bunga turut mengakibatkan 80,000 penduduk Perancis terjejas setelah terputus bekalan elektrik serta ribuan pengguna jalan raya terkandas di dalam kenderaan mereka jalan-jalan raya diselaputi salji setebal 30 sentimeter.
Perancis merupakan negara yang teruk terjejas akibat ribut itu dengan mencatat satu kematian dan 14 kecederaan.
Belgium, Britain, Jerman dan Belanda turut dilaporkan menerima kesan yang sama.
Lapangan Terbang Frankfurt, hab ketiga paling sibuk di Eropah membuka semula dua landasan lewat malam tadi selepas ditutup seketika ekoran salji tebal.
Menurut jurucakap lapangan terbang itu, kira-kira 700 daripada 1,250 penerbangan dari terminal itu telah dibatalkan dan memberi amaran lebih banyak pembatalan dan penangguhan penerbangan, hari ini.
Dua lapangan terbang utama Perancis, Charles de Gaulle dan Orly turut membatalkan hampir suku penerbangan harian mereka dan lapangan terbang tambang murah, Beauvais turut membatalkan kesemua jadual penerbangan mereka.
Perkhidmatan kereta api Eurostar, antara London dan Paris, perkhidmatan kereta api Thalys antara Paris dan Brussels serta kesemua perkhidmatan kereta api laju lain di utara Perancis turut dibatalkan semalam.
Dalam kenyataan di laman web mereka, Eurostar berkata, mereka hanya akan 'mengendalikan operasi jadual yang telah dipinda' hari ini, manakala Thalys meramalkan berlaku 'gangguan'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130314/lu_01/Barat-laut-Eropah-dilanda-salji#ixzz2NWVAdDov
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: