Nenek 106 tahun terima diploma
Charles (kiri) turut meraikan hari bersejarah kakaknya.
Beliau sudah menamatkan pengajian sekolah tinggi tetapi diplomanya disekat kerana mempertikaikan tugasan untuk bergelar graduan.

Reba Williams, 106, bagaimanapun menerima sijil berkenaan di pangsapurinya dalam Columbus, Ohio, Amerika Syarikat beberapa hari lalu, selepas menunggu selama 88 tahun.

Warga emas itu turut diberi kesempatan memakai topi tradisi penerima ijazah berwarna putih institut Mount Vernon English.

Diploma berkenaan disampaikan kepada Reba yang hanya mampu berbaring di atas katil.

"Mereka menafikan status saya sebagai penerima diploma hanya kerana saya enggan menyiapkan tugasan buku terakhir. Saya berbuat begitu kerana buku itu telah saya baca pada awalnya," kata Reba yang menerima segulung diploma menerusi Superintendan Vernon, Steve Short.

Kata Reba, disebabkan diplomanya disekat, beliau hanya mampu bekerja sebagai tukang masak di Ladang Malabar pada 1943 sehingga 1957.
Short turut mengucapkan tahniah kepada Reba yang mendapat kelas pertama.

Wanita itu berharap anak muda lain tidak mengulangi sikapnya sehingga menyebabkan diplomanya disekat.

"Jika mereka mahu mendapat pekerjaan terbaik, tolong jangan bersikap seperti saya," katanya yang amat gemar akan subjek matematik.

Antara yang hadir ke majlis Reba adalah anak perempuannya, Lavata dan adik lelakinya, Charles, 88.  - Daily Mail