KARACHI: Sekurang-kurangnya 341 orang rentung apabila dua kilang terbakar di Pakistan, semalam, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap keselamatan industri di negara Asia Selatan itu.
Dalam kejadian pertama, api membakar pantas sebuah kilang pakaian di Karachi dan mengorbankan 289 orang.
Waris mangsa berkumpul di hospital dan rumah mayat sambil mengkritik dasar kerajaan. Saksi, Mohammad Asif, 20, berkata orang ramai menjerit meminta tolong dan bertumpu ke tingkap untuk menyelamatkan diri.
“Mereka melompat dari tingkat tiga,” katanya. Sementara itu, di timur Lahore, sebuah kilang kasut turut musnah terbakar dan mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang. Pengkritik berkata, kerajaan Pakistan yang korup dan tidak berkesan gagal mengatasi masalah negara itu ketika ia terus berdepan ancaman Taliban, kemiskinan, jenayah dan gangguan bekalan elektrik harian. Pekerja kilang pakaian, Mohammad Pervez, berkata pemilik kilang berkenaan lebih bimbangkan produknya berbanding kakitangan di situ.
“Jika tiada gril di tingkap, lebih ramai nyawa dapat diselamatkan.
“Kilang itu menyimpan terlalu banyak pakaian dan fabrik. Sesiapa yang mengadu akan dibuang kerja,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, seorang menteri wilayah mengarahkan pemeriksaan di semua kilang dan loji perindustrian di Sindh dalam tempoh 48 jam.
Karachi yang didiami 18 juta orang adalah ibu negeri wilayah Sindh. Siasatan awal kerajaan menunjukkan, laluan pintu kecemasan yang terhalang menyebabkan kematian, manakala peraturan perburuhan dan keselamatan tidak dipatuhi pihak majikan. - Reuters
No comments:
Post a Comment