Pages

Thursday, September 13, 2012

Duta AS, 3 pegawai mati




         
BENGHAZI: Duta Amerika Syarikat ke Libya, J Christopher Stevens dan tiga pegawai terbunuh dalam serangan ke atas pejabat konsul Amerika Syarikat (AS) di bandar raya di timur Libya ini, semalam.

Kejadian berpunca daripada filem yang menghina Nabi Muhammad (SAW), menurut Kementerian Dalam Negeri.


“Duta itu terbunuh bersama-sama tiga pegawai lain,” kata Timbalan Menteri kementerian itu, Fawzi Wanis al-Sharif.

Kematian Stevens disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Libya, Mustafa Abu Shagur menerusi Twitter.


Stevens memegang jawatan itu kurang empat bulan lalu.


Fawzi yang mengetuai Suruhanjaya Keselamatan Tertinggi di Benghazi mengesahkan Stevens berada di pejabat konsul berkenaan ketika ia diserang.

Satu sumber keselamatan lain di Benghazi berkata, Stevens mungkin mati disebabkan lemas kerana asap karbon monoksida. Benghazi yang terletak di timur Libya ialah pusat kebangkitan rakyat negara itu yang menumbangkan kerajaan Muammar Gaddafi pada 2011.


Duta itu mati selepas perusuh menyerang pejabat konsul berkenaan, beberapa jam selepas aktivis Islam menyerbu kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah, Mesir.

Menurut saksi, bangunan diplomatik itu diselongkar dan dijarah sebelum dibakar setelah ia rosak teruk akibat dibom.


Filem yang menjadi punca tunjuk perasaan anti-AS itu diterbitkan oleh seorang rakyat Amerika keturunan Israel yang menyifatkan Islam sebagai ‘barah.’ Filem itu merakamkan adegan seorang lelaki yang memegang watak Nabi Muhammad (SAW) tidur dengan beberapa wanita, lapor akhbar Wall Street Journal.


Dalam kenyataan awalnya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat mengumumkan seorang pegawai Jabatan Negara terbunuh dalam serangan terhadap pejabat konsul itu dengan berkata: “Kami kecewa dengan kejadian itu.” Kongres Kebangsaan Umum Libya, pihak berkuasa tertinggi politik negara itu mengadakan mesyuarat selepas kejadian.


Ketua Turus Tentera, Yussef al-Mangush memendekkan lawatannya ke Turki berikutan peristiwa itu. - AFP

No comments: