Pages

Thursday, June 21, 2012

Pengasas WikiLeaks mohon suaka politik Ecuador

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, kelmarin memasuki Kedutaan Ecuador di London dan memohon suaka politik dalam usahanya mengelak diekstradisi ke Sweden berhubung dakwaan melakukan jenayah seks. 

Bekas penggodam komputer yang kehabisan jalan mengatasi menentang ekstradisi itu minggu lalu, berada di kedutaan berkenaan di tengah London dan Quito sedang meneliti permintaannya.
Kementerian Luar Britain berkata, Assange tidak boleh ditahan polis kerana berada dalam kawasan diplomatik, tetapi ia meminta kerjasama pihak berkuasa Ecuador menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
Assange akan kekal di kedutaan itu di bawah perlindungan kerajaan Ecuador ketika permohonannya dipertimbangkan. 

“Keputusan mengenai permohonan Assange mendapatkan suaka tidak boleh dianggap sebagai campur tangan Kerajaan Ecuador dalam proses perundangan sama ada di England atau Sweden,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan. 

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, pula berkata negaranya akan terus menawarkan bantuan konsular kepada Assange. 

“Australia akan terus menyokong Assaneg seperti kami sokong mana-mana rakyat Australia di luar negara yang berdepan dengan kesukaran perundangan atau dilema,” kata Gillard kepada wartawan selepas persidangan Kumpulan 20 di Mexico. 
Assange mengesahkan memohon untuk mendapatkan perlindungan dan suaka politik serta meluahkan penghargaan kepada duta Ecuador dan kerajaan negara itu kerana menimbang permohonannya. 

Di QUITO, Menteri Luar Ecuador, Ricardo Patino, berkata: “Julian Assange memohon suaka politik di misi diplomatik Ecuador di London. Kerajaan meneliti permohonan itu.” 

Kedutaan kemudian mengesahkan ia akan meneliti pandangan Britain, Sweden dan Amerika Syarikat berhubung perkara itu dalam memastikan undang-undang antarabangsa dipatuhi. – AFP

No comments: