Pages

Thursday, June 21, 2012

7 askar AS bakal dikenakan tindakan disiplin

WASHINGTON 20 Jun - Satu siasatan berhubung kejadian pembakaran kitab al-Quran di sebuah pangkalan tentera di Afghanistan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini, mencadangkan tindakan disiplin dikenakan ke atas tujuh askar AS yang terlibat dalam kejadian itu, kata pegawai AS, semalam.
Pegawai yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, keputusan akhir hasil siasatan berhubung kejadian pembakaran al-Quran di pangkalan tentera AS pada Februari lalu yang mencetuskan rusuhan, masih belum dibuat.
''Siasatan itu meminta hukuman disiplin dikenakan tetapi tiada dakwaan jenayah dikenakan terhadap enam anggota tentera laut dan seorang anggota tentera darat AS itu,'' kata pegawai itu kepada AFP.
Tentera AS mengesahkan siasatan berhubung kejadian itu sudah selesai tetapi tidak mendedahkan maklumat mengenai tindakan disiplin yang akan diambil.
''Siasatan sudah selesai dan hasilnya kini sedang dinilai,'' kata jurucakap tentera, George Wright.
Kejadian pembakaran al-Quran itu mencetuskan rusuhan anti-AS yang menyebabkan 40 orang maut dan mengeruhkan hubungan tentera AS dan sekutunya, Afghanistan selain memaksa Presiden AS, Barack Obama meminta maaf.
Anggota militan, Taliban mengeksploitasikan kejadian itu dan menggesa rakyat Afghanistan membunuh askar asing sebagai membalas dendam.
Komander-komander AS turut mengeluarkan permohonan maaf dan menegaskan ia merupakan satu perbuatan yang tidak disengajakan. - AFP

No comments: